Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 9 April 2010

Alamak, tikus pun nak masuk politik?


Ashadi Zain Mac 18, 10 4:25pm


Ini kisah si ahli politik,
Siang malam tergedik-gedik,
Demi jawatan sanggup berpekik,
Biarlah dirinya yang akhirnya dilantik.

Kawan-kawan memanggilnya Tikus,
Nafsunya mak oii… amatlah rakus,
Apabila sedikit cabaran tercetus,
Mulalah dia tunduk menikus.

Musuh Tikus baik orangnya,
Politik bersih menjadi amalannya,
Gelarannya “Pelopor”, hebat ideanya,
Ingin memajukan nusa dan bangsa.

Bagi Tikus, rasuahlah kawannya,
Makan duit rakyat, dialah juaranya,
Sambil berdiri memakai celana,
Tikus menari tak ingat dunia.

Pelopor cuba membanteras rasuah,
Orang benci dia tak kisah,
Dia memang politikus bermaruah,
Dia tak mahu jiwanya terjajah.

Ashadi Zain

Alamak, tikus pun nak masuk politik? - Bhg II
Ashadi Zain Mac 23, 10 10:02am
Projek sana, projek sini,
Suku-sakat Tikus gembira sekali,
Mendapat projek tanpa henti,
Tikus tersengih, kuningnya gigi.

Pelopor menilai dengan teliti,
Projek yang baik tetap di hati,
Dia ingin terus berbakti,
Rakyat mendapat manfaat yang pasti.

Rasuah bukan hanya duit,
Perempuan yang menggatal taklah sedikit,
Di kiri kanan Tikus perempuan tersepit,
Anak di rumah makan nasi hangit.

Pelopor tak tergoda oleh nafsu,
Rasuah ditawar dia tak keliru,
Khidmat pada rakyat setakat yang mampu,
Biar negara terus jitu.

Tikus anjur majlis di kawasan,
Dia tersenyum, penduduk tak hairan,
“Wah, ramainya datang memberi sokongan”,
Walhal yang datang hanya nak makan.

Ashadi Zain

Alamak, tikus pun nak masuk politik? - Bhg III
Ashadi Zain Apr 3, 10 12:40pm

Apabila Pelopor mengadakan majlis,
Penduduk menderma kacang buncis,
Biarpun hanya dihidangkan ikan bilis,
Orang sanggup datang dari Perlis,

Tikus berucap sangatlah panjang,
Sekali imbas, mukanya macam beruang,
Wajahnya penduduk tak ingin nak pandang,
Malah terasa seperti nak lempang.

Pelopor berucap dengan sederhana,
Ucapannya ikhlas, tiada pura-pura,
Ucapan disampaikan dengan bersahaja,
Penduduk mendengar turut gembira.

Tikus menjanjikan gunung yang tinggi,
Tatkala dituntut, Tikus pun lari,
Apabila tiba hari mengundi,
Pandai pula Tikus mempromosikan diri.

Pelopor tidak suka berjanji,
Melainkan ia dapat ditepati,
Biarlah runtuh langit dan bumi,
Menepati janji, itu yang pasti.

Ashadi Zain

Alamak, tikus pun nak masuk politik? - Bhg IV
Ashadi Zain Apr 9, 10 11:00am

Tatkala tikus dipanggil menteri,
Tikus menyapu bedak, biar wajahnya berseri,
Wajahnya ditenyeh dengan daun kari,
Kononnya biar lembutlah hati menteri.

Menteri juga memanggil pelopor,
Pelopor pun bergerak dari Johor,
Dalam perjalanan memakan pasembor,
Sebelum berjumpa menteri tersohor.

Tikus tiba di pejabat menteri,
Dia terpandang pegawai yang ranggi,
Mata terjegil memandang tuan puteri,
Menteri menyapa, dia suruh ke tepi,

Pelopor diam menunggu giliran,
Berjumpa menteri dengan tujuan,
Dia teringat nasihat dan pesan,
Supaya menjadi politikus beriman.

Akhirnya tikus malu tak sudah,
Menteri tengok mukanya makin menyampah,
Bibir menteri terasa nak menyumpah,
Tiba-tiba, tikus tunduk menyembah!

Ashadi Zain


Tiada ulasan: