Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 20 April 2010

Kesalahan Meminum Arak adalah Kesalahan Had

Kesalahan meminum arak adalah termasuk dalam bab hudud. Kalimah had atau hudud ini bermakna hukuman kepada pelaku maksiat yang melanggar hak Allah. Dalam hudud, tidak ada pemaafan, baik dari hakim mahupun si pendakwa. Malah tidak ada sesiapapun boleh mengampunkannya walau pemerintah sekalipun. Ini kerana hudud merupakan hak Allah secara mutlak. Oleh itu, siapa pun tidak boleh menguggurkannya dalam apa jua bentuk dan keadaannya [Nizhamul Uqubat, Abdul Rahman Al-Maliki, hal 12]. Arak diharamkan berasaskan dalil yang qathi’e di dalam Al-Quran, As-Sunnah dan juga Ijmak Sahabat. Firman Allah,


“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan...” [TMQ Al-Maidah (5):90].


Adapun uqubat (hukuman) untuk peminum arak juga telah dinyatakan dengan jelas oleh hadis Nabi SAW dan juga Ijmak Sahabat iaitu peminum arak wajib disebat sama ada 40 atau 80 kali sebatan. Imam Tarmizi mengeluarkan dari Abi Said,


“Bahawa Rasulullah SAW memukul (para peminum khamar) sebanyak 40 kali dengan pelepah kurma”.


Dalam hadis lain dari Abi Said,


“Pada masa Rasulullah SAW (peminum) khamar disebat 40 kali dengan pelepah kurma, ketika masa Umar, pelepah kurma diganti dengan cambuk”.


Dari al-Husain bin al-Mundzir bahawa Ali ra pernah mencambuk Walid bin Uqbah 40 kali kerana telah minum khamar. Kemudian ia berkata,


“Nabi SAW pernah memukul (peminum khamar) 40 kali, Abu Bakar 40 kali, Umar 80 kali, dan kesemuanya itu adalah Sunnah, namun ini (40 kali) yang paling aku sukai.” [Sahih Muslim].


Manakala bagi seorang peminum arak tegar dan telah dikenakan had (disebat) pada setiap kali minum, kemudian masih mengulanginya lagi, sekiranya pihak penguasa memandang perlu bahawa ia dibunuh, maka hal itu boleh dilaksanakannya. Dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda,


“Jika ada seseorang mabuk (kerana minum arak), maka deralah ia, jika ia mengulangi, maka deralah (lagi) ia, jika mengulangi (lagi), maka deralah (lagi) ia’. Kemudian pada kali keempat, baginda bersabda, ‘Jika ia (masih) mengulangi (lagi), maka hendaklah kalian tebas batang lehernya” [Hasan Sahih: Ibnu Majah & Nasa’i].


Sesungguhnya masih banyak hadis-hadis senada lainnya yang menjelaskan jumlah sebatan sebanyak 40 atau pun 80 kali. Perlu diingat bahawa tidak boleh melakukan sebatan dengan jumlah di antara keduanya (41-79), kerana tidak ada nas yang menjelaskan atau membolehkannya.


Justeru, hukuman terhadap peminum arak adalah terlalu jelas iaitu sama ada 40 kali atau 80 kali sebatan. Tidak boleh 6 kali dan tidak ada hukuman denda. Malangnya pemimpin, ulama dan sebahagian besar dari umat Islam kini terperangkap dengan isu 6 kali sebatan dan isu penangguhan. Walhal sesungguhnya hukuman 6 kali sebatan dan denda RM5,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah adalah langsung tidak syari’e. Inilah isu sebenar yang patut dibincangkan oleh umat Islam (yakni) sama ada hukuman tersebut benar-benar bertepatan dengan hudud atau tidak. Dalam kes ini, jelas bahawa Mahkamah Syariah telah menjatuhkan hukuman buatan manusia (bukannya hukuman Islam) ke atas Kartika. Sebatan 6 kali adalah undang-undang ciptaan manusia, bukannya undang-undang ciptaan Allah. Jika hukuman sebatan adalah sebanyak 39 kali sekalipun, ini tetap undang-undang kufur dan ia amat jauh sekali dari Islam, kerana tidak ada nas yang menetapkannya sebanyak 39 kali. Kita tidak boleh berhujah bahawa ia menghampiri hudud kerana ia langsung bukan hududullah. Sama dengan kes zina di mana jika penzina dijatuhkan hukuman sebat 99 kali, maka ini sesungguhnya bukan hukuman Allah dan langsung jauh dari hukuman Allah, malah adalah satu bid’ah jika ia dikatakan dari Islam. Begitu juga dengan denda RM5,000. Ini adalah undang-undang ciptaan akal manusia, bukannya undang-undang yang datang dari wahyu! Sayang sekali tidak ada seorang pun yang mempertikaikan hukuman denda ini walhal ia sama sahaja statusnya dengan hukuman 6 kali sebatan, kedua-duanya adalah batil kerana bertentangan dengan nas-nas yang qath’ie.


Adapun dari aspek kaifiyat (cara) bagaimana hukuman dijalankan, hudud itu tidak dijatuhkan kecuali bagi orang yang sudah baligh dan berakal, baik lelaki atau wanita, baik muslim mahupun zimmi. Orang yang dikenakan hudud tidak ditelentang atau ditelanjangkan ketika hukuman dijatuhkan. Hal ini berdasarkan perkataan Ibnu Mas’ud,


“Dalam agama kami tidak ada penelentangan, pengikatan, juga tidak ada penelanjangan”.


Tidak diperkeras pukulannya, yakni tidak memperkeras sebatan, sebab yang dimaksud di sini adalah mencegah untuk mencederakannya. Pemukul juga tidak boleh mengangkat tangannya hingga terlihat ketiaknya. Hendaknya berusaha untuk memukul badan. Wajib menjaga kepala, wajah, kemaluan serta anggota badan yang boleh mematikan (bila dipukul) seperti jantung dan testis. Pemukulan terhadap organ tersebut kadang-kadang boleh mengakibatkan kematian atau melenyapkan fungsi organ tersebut. Kaum wanita diperlakukan sebagaimana lelaki akan tetapi dipukul dengan posisi duduk. Ali ra berkata,


“Perempuan dipukul dengan (posisi) duduk, (sedangkan) lelaki dengan berdiri” [Nizhamul Uqubat, Abdul Rahman Al-Maliki].


Demikianlah serba sedikit kaifiyat hukuman yang dapat diterangkan di dalam ruang yang serba terbatas ini.


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Tidak menjalankan hududullah merupakan satu kemaksiatan besar kepada Allah, apatah lagi jika menolak penerapannya. Celakalah bagi orang yang mempertikaikan atau menolak hudud Allah dan mereka pasti tidak akan selamat di padang Mahsyar nanti. Kes Kartika ini menjadi salah satu dari ribuan bukti bagaimana hukum Allah dicampakkan sewenang-wenangnya oleh pemimpin sekular dan menjadi bukti betapa tidak syariahnya Mahkamah Syariah. Apakah kita masih mahu membiarkan pemimpin yang rosak dan sistem yang rosak ini terus menaungi kita? Apakah kita masih tetap mahu berpeluk tubuh melihat agama Allah diperkotak-katikkan oleh golongan sekular? Bangun dan berjuanglah wahai mereka yang masih ada keimanan dan sayangkan Islam. Ayuhlah kita sama-sama berusaha mengembalikan sistem pemerintahan Islam (yakni) Sistem Khilafah, yang akan menerapkan hukum dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya secara kaffah.

Tiada ulasan: