Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 16 April 2010

Saya layak bertanding! - Faizal (Hiburan)




TIDAK habis-habis kontroversi membabitkan penyanyi terkenal Faizal Tahir. Terbaru, dia dikatakan bengang apabila terbaca sebuah artikel yang mempertikaikan kelayakan pencalonan album terbarunya yang berjudul Adrenalin ke Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17).

Disebabkan artikel itu juga, Faizal dikatakan terus meninggalkan pentas pada satu majlis selepas menyanyi sebuah lagu sedangkan dia seharusnya menyanyikan tiga buah lagu pada majlis tersebut.

Menjawab segala persoalan tersebut, Faizal yang ditemui selepas majlis sidang media AIM 17 yang mengumumkan pengacara, penyampai anugerah dan penyanyi yang membuat persembahan baru-baru ini menjelaskan, memang ramai orang yang keliru berikutan album tersebut hanya dilancarkan sekitar Mac lalu sedangkan syarat wajib untuk semua pencalonan AIM adalah album harus dikeluarkan pada tahun lepas.


FAIZAL menolak dakwaan dia mudah melenting dengan pihak media.


"Saya tahu ramai orang keliru saya layak bertanding atau tidak. Hakikatnya memang saya layak bertanding kerana album bentuk digital yang memuatkan tujuh lagu telah dikeluarkan pada bulan Disember tahun lepas, cuma album bentuk fizikal sahaja dikeluarkan pada tahun ini.

"Saya juga telah bertanyakan hal ini kepada Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson," ujarnya.

Tidak menyalahkan pihak yang mempertikaikan kelayakan albumnya itu, Faizal tahu, dia juga bersalah dalam hal ini kerana tidak mempromosikan album dalam bentuk digital itu semuanya gara-gara masalah kesihatannya yang berada di tahap kritikal pada tahun lalu.

"Saya akui, saya dan syarikat rakaman Monkey Bone pun bersalah kerana tidak mempromosikan album digital itu secara meluas menyebabkan ramai yang tidak tahu album saya telah dikeluarkan dalam bentuk digital terlebih dahulu.

"Sebenarnya album digital itu dikeluarkan terlebih dahulu kerana tidak mahu peminat menunggu begitu lama.

"Saya lagi mahu album berbentuk fizikal dikeluarkan secepat mungkin tetapi kerana masalah kesihatan, saya tidak dapat rakam keseluruhan lagu.

"Saya rasakan tujuh buah lagu tidak memadai untuk peminat, sebab itu bila kesihatan saya okey, saya terus rakam dua buah lagu lagi," katanya yang kini sudah semakin sihat.

Mudah melenting?

Seiring dengan namanya yang semakin ranum dalam industri muzik tempatan, Faizal kini dikatakan semakin mudah melenting dan tidak lagi boleh ditegur oleh pihak media.


FIGURA popular ini memberikan kebebasan kepada masyarakat untuk membuat penilaian tentang dirinya.


Menafikan perkara tersebut, Faizal sedar setiap tindak- tanduknya tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

"Saya tidak boleh menjawab soalan itu. Kalau saya jawab takut bunyinya seolah-olah ingin menjaga hati orang lain dan imej diri.

"Terpulang kepada masyarakat untuk menilai saya ini penyanyi yang bagaimana," tuturnya yang pernah memenangi trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik menerusi album, Aku.Muzik.Kamu pada AIM 15.

Tambah Faizal lagi, sebagai manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, dia juga melalui episod suram dalam hidupnya. Bukan setiap hari dia akan menjadi Faizal Tahir yang ceria.

"Saya juga melalui hari-hari yang membuatkan mood saya kurang baik, ada hari mood saya okey.

"Secara jujur sepanjang empat tahun saya rasa saya tidak mudah melenting atau sentap kerana saya sedar sebagai artis saya harus mengharunginya," ungkapnya.

Anak emas

Bertanyakan mengenai kelayakan album Faizal kepada Jennifer, dia menegaskan bahawa Adrenalin sememangnya layak untuk dicalonkan dalam AIM.

Kata Jennifer, dia pelik kenapa ramai yang mempertikaikan Adrenalin dan ingin menjelaskan hal sebenar supaya tiada pertikaian dan sebarang kekeliruan.

"Sebenarnya ketika Faizal sedang sakit, pihak Monkey Bone telah menghubungi saya dan memberitahu mereka tidak dapat memberi album Adrenalin sebelum tarikh tutup penyertaan tetapi sudah menyiapkan lima buah lagu.

"Jadi, saya pun cakap tak perlu risau. Memandangkan syarat penyertaan adalah lima buah lagu minimum, saya minta mereka mengeluarkan lagu-lagu yang telah siap secara digital dahulu," ujarnya.


BERTERUSAN. Majlis Anugerah Industri Muzik kali ke-17 menjanjikan kelangsungan usaha bagi memarbatkan penggiat dan muzik tempatan.


Tambahnya lagi, Faizal bukan anak emas seperti yang ramai katakan bahkan dia juga harus mengikuti proses yang sama seperti calon yang lain.

"Pihak Monkey Bone perlu menunjukkan bukti daripada syarikat-syarikat telekomunikasi bahawa mereka telah pun mengeluarkan lima lagu tersebut dalam bentuk digital berserta dengan salinan asal lagu-lagu tersebut.

"Ini sekali gus melayakkan Faizal untuk tercalon dalam kategori album kerana dia telah mengeluarkan lebih daripada lima buah lagu. Saya harap, kenyataan saya ini jelas dan tiada lagi kekeliruan pada masa akan datang," tegasnya.

Kosmo!

Tiada ulasan: