Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 14 Mac 2011

Band gabungan dua negara


SIFAT muzik yang tidak bersempadan membolehkan lima anak muda berlainan kewarganegaraan bergabung untuk membentuk sebuah band indie yang dinamakan Indie Mice.

Ternyata status kewarganegaraan bukanlah penghalang buat Indie Mice memperjuangkan bakat seni mereka sebaliknya, ia memberi kelebihan dari segi pemasaran dan pengaruh.

Dianggotai oleh tiga pemuda tempatan iaitu Noah sebagai vokalis, Hadi (gitar) dan Hazreq (drum), Indie Mice dilengkapkan dengan dua jejaka dari Indonesia iaitu Dede (basis) dan Ledu (vokalis & gitar).

Menurut Noah, Indie Mice ditubuhkan pada April 2009 tampil dengan album pertama mereka, 1 Rumpun, simbolik kepada hubungan dua negara yang terbina dalam kumpulan itu.

Menjelaskan bagaimana band tersebut boleh bersatu, Noah memberitahu, Hadi dan Hazreq adalah kawannya. Pada masa yang sama Hadi mengenali Dede dan Ledu.

"Setelah berjumpa, secara kebetulan, masing-masing boleh bermain muzik. Jadi, kami lakukan latihan bersama di studio.

"Selepas beberapa kali mengadakan latihan, kami bersetuju untuk membentuk satu kumpulan. Dari situlah Indie Mice mula ditubuhkan," katanya menceritakan sejarah penubuhan bandnya itu.

Popular di Indonesia

Dalam sidang akhbar pelancaran album 1 Rumpun yang diadakan di Borneo Rainforest, Sunway baru-baru ini, Noah turut memberitahu, Indie Mice kini mula mendapat tempat di kalangan peminat muzik di Indonesia.

Bukan itu sahaja, pengamal media di negara jiran itu juga memberi ruang kepada Indie Mice untuk tampil di dada-dada akhbar selain muncul di kaca televisyen terutamanya di Jakarta.

"Lagu Jangan Sesekali sering dimainkan di beberapa stesen radio di sana. Selain itu, muzik videonya juga ditayangkan di stesen televisyen tempatan.

"Setakat ini, kami tidak mempunyai masalah untuk memasarkan produk kami di Indonesia. Mungkin kerana buat masa ini, media di sana tidak tahu kami adalah kumpulan muzik yang berasal dari Malaysia.

"Mungkin mereka beranggapan kami adalah kumpulan muzik dari sana kerana adanya Ledu dan Dede," ujar Noah.

Tatkala ditanya mengapa aktiviti promosi Indie Mice begitu giat dijalankan di Indonesia berbanding Malaysia, Noah menjawab, mereka mendapat sokongan kewangan terlebih dahulu daripada sebuah syarikat pengedar di sana.

Way Be Music Indonesia merupakan sebuah syarikat yang bertanggungjawab memasarkan album 1 Rumpun dan juga merangka siri jelajah untuk mempromosikan Indie Mice pada April ini.

"Selepas selesai siri jelajah kami di sana, Indie Mice akan memulakan siri jelajah di Malaysia pula.

"Sebelum ini, lagu Indie Mice iaitu Helah telah pun dimainkan di beberapa stesen radio tempatan dan dicalonkan dalam Muzik Muzik 2010," ujar Noah.

Bercerita mengenai album mereka, Noah menerangkan, nada dering untuk single pertama, Helah mendapat sambutan yang memberangsangkan sehingga mereka mampu mencatat jualan sebanyak RM70,000.

"Sekarang ini kami sedang mempromosikan Jangan Sesekali sebagai single kedua. Terdapat tujuh buah lagu dan tiga trek bonus yang dimuatkan dalam album ini dan kesemua lagu ini ditulis sendiri oleh ahli kumpulan kami," jelas Noah.

Utusan

Tiada ulasan: