Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 14 Mac 2011

Pengorbanan empat finalis AQ5


KADEMI al-Quran sama juga seperti rancangan-rancangan realiti televisyen (TV) lain yang memerlukan setiap pesertanya memberi komitmen, tumpuan dan sekali gus berusaha merebut gelaran juara pertandingan itu.

Empat finalis Akademi al-Quran musim kelima (AQ5) iaitu Suhaila Zulkifli, Muhamad Nasir Mohamad Salleh, Mohd. Syahrian Syah dan Mohamed Husaini Mahmur tidak terkecuali melalui pengalaman yang sama.

Malah, para peserta rancangan realiti TV terbitan TV9 itu juga terpaksa mengorbankan masa dan tenaga mereka sepanjang 12 episod pertandingan itu bagi meneruskan ke peringkat akhir AQ5 yang akan diadakan pada 26 Mac ini.

Suhaili Zulkifli misalnya, terpaksa mengambil cuti selama tiga bulan daripada meneruskan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semata-mata mahu memberi tumpuan dalam pertandingan mengaji al-Quran tersebut.

“Saya tidak menyangka akan berjaya hingga ke final AQ5. Ini kerana, saya menjangkakan hanya mampu meneruskan saingan hingga ke minggu yang ketiga sahaja. Tetapi tidak diduga pula saya layak bertanding hingga ke final.

“Walau bagaimanapun, sewaktu menyertai pertandingan ini saya telah memohon cuti tiga bulan bagi memudahkan saya jika layak bersaing hingga ke final,” katanya sewaktu sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut siswazah jurusan al-Quran dan Sunnah di UIAM itu, dia sanggup menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu bagi merebut peluang bertanding dalam program realiti TV yang disifatkannya sukar untuk dilepaskan.

Apatah lagi, kata gadis berusia 22 tahun ini, penyertaannya dalam AQ5 bukan setakat mendapat dorongan daripada ibu bapa dan keluarganya tetapi teman-teman sekuliah di UIAM juga memberi sokongan padu.

“Bukan senang untuk menyertai AQ5 kerana setiap pesertanya hebat-hebat belaka. Jangankan hendak bertanding, mahu menyertai sesi uji bakatnya juga terpaksa bersaing dengan ramai ramai peserta yang lain.

“Itu tidak termasuk saingan yang harus ditempuhi sewaktu bertanding dalam AQ5 di mana ia mencabar kredibiliti saya terutamanya apabila berdepan dengan panel juri yang mengadili pertandingan ini.

“Semua itu adalah cabaran saya dan rakan-rakan yang lain. Cabaran itu semakin kuat kerana saya satu-satunya peserta wanita yang bersaing di peringkat akhir AQ5 ini. Itu adalah perjuangan yang harus saya tempuhi,” ujarnya.

Mendalami ilmu

Bagi Mohamed Nasir, dia juga seperti Suhaila yang terpaksa mengambil cuti belajar selama tiga bulan tetapi turut berkorban dengan mempelajari lebih terperinci bacaan ayat-ayat al-Quran daripada bapanya, Mohamad Salleh.

Meskipun mula mempelajari bacaan al-Quran sejak berusia enam tahun tetapi siswazah Universiti Malaya (UM) ini masih mendalami ilmu itu sehinggalah di saat-saat dia terpilih menyertai AQ5 yang bermula 8 Januari lalu.

“Pengorbanan saya untuk menyertai AQ5 ialah saya masih terus belajar membaca al-Quran daripada bapa saya sehinggalah kini. Segala pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya bertanding dalam pertandingan ini.

“Saya lebih berminat dengan bacaan taranum tetapi dalam AQ5 saya juga diajar kaedah bacaan qiraat yang lebih sukar bacaannya. Saya harus lebih banyak berkorban untuk mempelajari kaedah-kaedah bacaan itu.

“Kalau di UM saya berkorban masa untuk lulus pengajian, tetapi di AQ5 saya juga terpaksa berkorban masa bagi mendalami bidang bacaan qiraat yang asing bagi saya. Ini kerana, saya tidak pernah belajar qiraat sebelum ini,” jelasnya.

Siswazah jurusan Usul dan Fiqh berusia 21 tahun ini yang akan menamatkan pengajiannya empat tahun lagi itu berharap penyertaannya dalam AQ5 akan menambahkan lagi pengetahuannya dalam bacaan al-Quran termasuklah qiraat.

Memberi bimbingan

Disebabkan persaingan yang semakin sengit menjelang final AQ5, Mohamed Husaini Mahmur juga sama seperti para peserta lain tidak terkecuali berkorban lebih masa bagi memantapkan lagi bacaan al-Quran.

Bekas pelajar Maahad Ahmadi di Gemencih, Negeri Sembilan ini, sanggup mencari semula guru-guru lamanya bagi memberi bimbingan tambahan menjelang pertandingan akhir program realiti TV tersebut.

“Saya berjumpa semula dengan ustaz-ustaz dan guru-guru lama saya sewaktu zaman persekolahan dulu bagi mengingat serta memantapkan lagi bacaan al-Quran saya. Mereka banyak memberi tips kepada saya.

“Sebagai bekas pelajar jurusan bahasa Arab, saya rasa lebih mudah untuk membaca dan memahami bacaan al-Quran yang saya pelajari selama ini. Saya harap semua pengorbanan saya itu dapat membantu saya bertanding kelak,” katanya.

Persiapan terakhir

Sementara itu, bagi Mohd. Syahrian Syah pula, dia lebih banyak melakukan persiapan terakhir daripada segi vokal dan kawalan suara beberapa minggu sebelum bertanding pada pertandingan yang ditonton 1.5 juta penonton itu.

Katanya, cuti selama tiga bulan sebagai pelajar jurusan Pendidikan Islam di UM akan dipergunakan sepenuhnya bagi memantapkan gaya bacaan terutamanya daripada segi vokal dalam usahanya mahu bergelar juara AQ5.

“Sejak empat minggu sebelum ke final AQ5 lagi saya sudah mula berlatih vokal di mana ada kalanya saya mengaji al-Quran sehingga empat jam sehari. Selain membaca, tumpuan saya daripada segi latihan vokal.

“Ia banyak membantu saya bertaranum kerana selama ini saya mempelajari kaedah itu secara tidak formal. Kombinasi bacaan yang betul dan lontaran vokal yang mantap boleh memperelokkan lagi bacaan saya pada final AQ5 nanti,” tuturnya.

Empat finalis AQ5 itu akan meneruskan saingan bagi meneruskan kesinambungan AQ yang sebelum itu pernah dijuarai oleh Abdullah Fahmi Che Nor (AQ1), Anuar Hasin (AQ2), Fakhrul Radzi Khamaruddin (AQ3) dan Ahmad Tirmizi Ali (AQ4)

AQ5 menampilkan dua pengacaranya iaitu Mohd. Zhafran Zainuldin yang merupakan adik kepada hos Mari Mengaji, Ustaz Mohd. Zamri Zainuldin serta Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga pernah muncul naib juara AQ3.

Utusan

Tiada ulasan: