Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 20 Februari 2015

Liwat II: Hanipa sedia debat dengan Shafee, KJ

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanifa Maidin sedia untuk berdebat dengan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hanipa yang juga peguam PAS itu berkata beliau juga bersedia berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mahu menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan berhubung kes itu.

"Saya merasa terpanggil dan Insya-Allah bersedia menyahut cabaran Shafee atau ketua Pemuda Umno dan bersedia untuk berdebat atau berwacana sama ada dengan Shafie sendiri atau Ketua Pemuda Umno Malaysia berkaitan isu tersebut.

"Maka saya berharap jika respon saya ini mendapat respon balas daripada mereka berdua mudah mudahan satu sesi perdebatan terbuka akan diadakan berkenaan isu tersebut," katanya dalam kenyataan media.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat Anwar.

Selasa lalu, Shafee yang merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan Liwat II mendedahkan pelbagai butiran sensasi berhubung kes itu dalam program anjuran Pemuda Umno di Kelana Jaya.

Malah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam ucapannya di program tersebut berkata BN tidak akan berdiam diri lagi dalam kes liwat itu.

Walaupun Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman terhadap Anwar, namun Hanipa berkata beliau mendapati ada sesuatu yang "tidak kena" dalam kes itu apabila Shafee terus mengeluarkan kenyataan menyerang Anwar yang juga ketua pembangkang.

Justeru, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mencadangkan supaya debat itu perlu diadakan di mana-mana universiti awam dalam negara.

Hanipa juga mencadangkan ia disiarkan secara langsung oleh RTM atau TV3 supaya memastikan seluruh rakyat mendapat maklumat tentang debat itu.

Tiada ulasan: