Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 20 Februari 2015

Wan Ji gesa JAIS bukti kuliahnya 'ajaran sesat'

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuktikan sejauhmana kuliahnya di surau dan masjid di negeri itu dianggap sebagai menyebar ajaran sesat.

Dalam tulisannya di Facebook hari ini, beliau menyuarakan harapannya supaya pihak berkuasa agama itu memberi penjelasaan bagaimana Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan ajaran sesat memberi kesan pada pengajarannya.

Beliau turut menjelaskan terdapat selebriti yang bertaubat memberi ceramah di masjid dan surau di negeri itu, tetapi tidak dianggap bersalah kerana mereka bukan penyebar ajaran sesat.

"Jadi saya perlukan bukti sejauh mana selama saya mengajar ini, dikira sebagai ajaran sesat, sedangkan semasa kuliah tadi, kitab yang saya bawa adalah Fathul Bari, syarah kepada Sahih al-Bukhari," tulisnya dalam Facebook.

Fathul Bari adalah antara kitab yang memberi komentar dan tafsir kepada koleksi hadis Nabi Muhammad SAW yang dikumpul oleh sarjana hadis terkenal Imam Al-Bukhari.

Malam tadi, JAIS dilapor menahan Wan Ji selepas beliau memberi kuliah tanpa tauliah di sebuah surau di Seksyen 17 Shah Alam.

Selepas memberi kuliah, beliau dibawa untuk diambil keterangan selama sejam sebelum dibebaskan sekitar jam 10.30 malam.

Dalam tulisannya juga, Wan Ji diminta hadir ke pejabat JAIS pada Isnin ini (23 Februari) untuk tujuan siasatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Wan Ji berkata beliau akan hadir di pejabat JAIS jam 9 pagi Isnin ini.

"Saya telah memberitahu peguam saya mengenai perkata ini, tetapi saya rasa saya akan pergi ke sana seorang diri," kata sambil menambah seramai lima pegawai JAIS membawanya untuk disoal siasat malam tadi

Beliau turut mengesahkan penahanan beliau semalam adalah buat kali pertama didakwa mengajar tanpa tauliah dan tidak pasti sama ada ada pihak tertentu membuat aduan kepada JAIS sehingga menyebabkan beliau ditahan.

Wan Ji juga berkata beliau akan meneruskan kuliahnya yang dijadualkan di masjid sekitar Selangor.

Tiada ulasan: