Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 18 Januari 2010

Chong Wei tawan Terbuka Korea


aksi Chong Wei merai kejayaannya menumpaskan pemain Denmark, Peter Gade pada perlawanan akhir Terbuka Korea di Seoul, semalam. Chong Wei menang 21-12, 21-11. – AP


KUALA LUMPUR – Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hanya memerlukan 34 minit ketika menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Korea, selepas mudah membenam pemain veteran Denmark, Peter Hoeg Gade pada perlawanan akhir, semalam.

Selepas mempamerkan permainan meyakinkan ke atas pemain China, Chen Jin pada perlawanan separuh akhir kelmarin, Chong Wei meneruskan kecemerlangan bagi meraih kejuaraan sulung kejohanan musim ini, dengan kemenangan straight set 21-12, 21-11.

Kejayaan tersebut bakal menyemarakkan lagi impian Chong Wei, 27, untuk terus memburu gelaran apabila turun mempertahankan kejuaraan Siri Super Terbuka Malaysia, di sini bermula Rabu ini.

Chong Wei, yang tidak beraksi pada Sukan SEA XXV di Laos Disember lalu ,akibat kecederaan lutut, awal-awal lagi melaungkan amaran kepada Gade, selepas meninggalkan lawannya itu, 9-2 pada set pertama.

Walaupun cuba bangkit, Gade gagal merapatkan kedudukan mata, dan pada satu ketika tersekat dengan kedudukan 15-6, sebelum Chong Wei memenangi set pertama 21-12.

Menyedari dia tiada pilihan, Gade cuba bangkit pada set kedua dengan mengutip mata awal sehingga meninggalkan Chong Wei 4-2.

Namun, ketinggalan dua mata tidak menghalang semangat pemain negara kelahiran pemain Pulau Pinang itu.

Sokongan padu penyokong yang rata-rata pelajar Malaysia yang menuntut di negara tersebut, ternyata membangkitkan semangat Chong Wei untuk kembali mengejar lawannya, sehingga mengikat kedudukan 4-4.

Mulai detik itu, Chong Wei tidak lagi memandang ke belakang, apabila semakin menjarakkan kedudukan mata ke atas pemain berusia 34 tahun itu 13-4.

Gade cuba bangkit merapatkan kedudukan 15-11, bagaimanapun ia sudah terlambat.

Chong Wei akhirnya dinobat sebagai juara kejohanan apabila memenangi set kedua 21-11, sekali gus mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama merangkul gelaran kejohanan tersebut.

Sementara itu, China masih menguasai kejohanan itu walaupun tanpa kehadiran bintang utamanya seperti Lin Dan dan Bao Chunlai, apabila merangkul tiga daripada lima gelaran yang dipertandingkan.

Pemain perseorangan wanita mereka, Wang Shixian muncul juara selepas mengenepikan pemain tuan rumah, Sung Ji Hyun 21-10, 25-23.

Bagaimanapun, dendam Korea berbalas dalam saingan beregu lelaki, apabila pilihan utama, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae mengetepikan cabaran pasangan China, Cai Yun-Fu Haifeng 21-11, 14-21, 21-18.

Selain perseorangan wanita China turut meraih gelaran melalui beregu wanita apabila Cheng Shu-Zhao Yunlei menang ke atas pasangan Jepun, Fuji Mizuki-Kakiiwa Reika 21-16, 21-15

Pasangan He Hanbin-Yu Yang mengetepikan rakan senegara, Tao Jiaming- Zhang Yawen dalam aksi beregu campuran 21-15, 21-16.


Chong Wei hampiri gelaran Terbuka Korea


CHONG WEI mara ke final Terbuka Korea selepas membenam Chen Jin 21-11, 21-13 pada aksi separuh akhir semalam.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir untuk meraih kejuaraan pertamanya pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea apabila mara ke perlawanan akhir semalam.

Pemain dari Pulau Pinang yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu ternyata terlalu hebat apabila mudah menewaskan pemain China, Chen Jin 21-11, 21-13.

Chong Wei menguasai hampir kese- luruhan permainan terutama pada set pertama apabila langsung tidak membenarkan Chen Jin yang juga pilihan ketiga kejohanan, merapatkan kedudukan.

Pada set kedua, Chen Jin cuba bangkit apabila terus mendahului sebelum kedudukan terikat 6-6. Sejak itu, Chong Wei kembali menguasai termasuk meraih tujuh mata berturut-turut untuk mencatat kemenangan mutlak dalam masa 37 minit.

Kini, hanya tinggal pemain pilihan kedua, Peter Gade dari Denmark sahaja yang menjadi penghalang untuk Chong Wei menambah koleksi kejuaraan Super Series dalam kariernya.

Untuk rekod, Terbuka Korea merupakan salah satu daripada empat kejoha- nan Super Series yang masih belum pernah dimenangi Chong Wei selain Seluruh England, Terbuka China dan China Masters.

Gade pula mara selepas menewaskan seorang lagi pemain China, Chen Long yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh.

Begitupun, berbeza dengan Chong Wei, Gade dipaksa bekerja keras lebih satu jam sebelum berjaya menundukkan pemain China, Chen Long 21-13, 10-21, 21-17.

Pada pusingan suku akhir kelmarin, Gade mengambil masa satu jam, 19 minit untuk menewaskan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan juga dengan rubber set 17-21, 21-16, 22-20.

Kosmo!

Tiada ulasan: