Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 30 Januari 2010

Kalimah Allah, pemimpin Islam dan Kristian berdialog


Jan 30, 10 9:52pm

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu dialog tertutup di antara pemimpin Islam dan Kristian telah diadakan bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah salah satu usaha kerajaan bagi menyelesaikan isu sensitif tersebut selain membawanya ke mahkamah.

Dialog tersebut menjadikan cadangan penubuhan satu suruhanjaya antara agama tidak lagi perlu diberi perhatian.

Katanya, pada masa ini dialog tertutup yang dilakukan berterusan sudah memadai untuk menangani isu berbangkit.

Muhyiddin Yassin berkata dialog tertutup itu juga dapat membantu mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana aman dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat majmuk di negara ini.


"Kita tidak perlukan suruhanjaya antara agama. Pada ketika ini kita tidak fikir yang ia sesuatu yang perlu, tetapi dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama...Islam dan bukan Islam...sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di Kuala Lumpur, hari ini.

"Kadang-kadang faedahnya lebih baik begitu (secara tertutup)...ini cara berhemah pasal bukan ada kepentingan politik.

"Ini untuk mencari satu titik pertemuan, mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana yang aman dan saling hormat-menghormati," katanya.

Berdialog dengan mahasiswa

Bernama pula melaporkan pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara serta wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan laman web politik rasmi pertama beliau My-Malaysia, yang antara lain memaparkan aktiviti kemasyarakatan dan politik, koleksi ucapan dan liputan berita dalam dan luar negara mengenainya.

Laman web itu juga mempunyai medium interaksi dua hala di antara Muhyiddin dengan rakyat dan boleh dilayari di http://www.my-malaysia.com.my.

"Hari ini, saya telah lancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi. Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita memberikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu.

Muhyiddin berkata penubuhan laman web itu juga sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan dengan anak-anak muda dengan menerima pandangan dan kritikan mereka.

"Anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang telus, dalam erti kata lain menjelaskan dan menjawab apa saja isu yang dibangkitkan (dan) kerajaan komited untuk berbuat demikian. Dan untuk itu, kita akan terus mendekati anak-anak muda melalui media sosial," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga aktif berinteraksi melalui laman web 1Malaysia, Twitter dan Facebook dan anggota-anggota Kabinet juga telah diminta untuk berinteraksi dengan rakyat melalui media sosial itu.

"Justeru itu, saya ingin ingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial dan membuat kritikan secara berhemah. Walaupun kita berbeza pendapat, usah ketepikan adab dan budaya," katanya.

MalaysiaKini

Tiada ulasan: