Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 12 Januari 2010

Tengku Temenggong diperintah jelas sebab (Ceritera)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, memerintahkan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra menjelaskan sebab beliau perlu diberikan perlanjutan masa bagi memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Tengku Mahkota Kelantan yang menggugurkan nama beliau daripada senarai pewaris takhta.


Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 27 Januari ini untuk mendengar penghujahan mengenai isu sama ada Tengku Muhammad Fakhry harus dibenar memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman melebihi masa ditetapkan iaitu 40 hari mengikut Perintah 53 Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi.

Tengku Muhammad Fakhry memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman pada 7 Disember 2009, selepas beliau digugurkan daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan pada 16 September 2009.


Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, bertegas Tengku Muhammad Fakhry terlewat selama 82 hari untuk memfailkan permohonan itu tetapi putera itu mendakwa beliau hanya terlewat dua hari.

Beliau menegaskan permohonan itu difailkan sebaik beliau menerima surat daripada Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan, pada 26 Oktober 2009.

Terdahulu, mahkamah memutuskan demi kepentingan keadilan, isu perlanjutan masa itu mesti didengar secara 'inter-parte' dengan kedua-dua pihak seharusnya dibenarkan mengemukakan hujah berhubung perkara itu.

Mahkamah juga menetapkan 27 Januari ini mendengar penghujahan Tengku Muhammad Faris berhubung isu sama ada hak mutlak Tengku Mahkota berhubung pelantikan dan pembatalan anggota majlis itu boleh diadili serta diputuskan mahkamah.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman mengetepikan keputusan Tengku Muhammad Faris membatalkan pelantikan beliau daripada menganggotai Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Dalam permohonan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah mahkamah mendesak Tengku Muhammad Faris mengembalikan semula kedudukan beliau sebagai anggota majlis berkenaan, dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima lagi anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Tengku Mahkota, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan kerajaan Kelantan sebagai responden pertama, kedua serta ketiga.

Lima lagi turut dinamakan responden ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman. - Bernama

Tiada ulasan: