Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 16 Januari 2010

Hala tuju Anugerah Juara Lagu




SUDAH seminggu Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL 24) berlalu. Banyak pihak memberikan komen positif terhadap keputusan juri dan persembahan artis pada malam Ahad lalu.

Semua seolah-olah bersepakat setuju dengan keputusan panel juri yang diketuai Fauzi Marzuki. Ini kerana tiada sebarang pertikaian tentang persembahan artis yang memberi komitmen sepenuhnya.

AJL 24 mendapat sambutan yang luar biasa. Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dibanjiri lautan manusia yang kebanyakannya adalah di kalangan generasi muda. Dari kawasan arena sehingga tingkat tiga bangunan berkenaan penuh sehingga ada penonton terpaksa duduk di tangga. Mereka bersorak dari saat awal persembahan hingga ke penghujungnya.

Pada masa yang sama AJL 24 juga melakukan banyak perubahan selain dianjurkan ketika industri muzik benar-benar tenat. AJL 24 seolah-olah menjadi titik persimpangan untuk meneruskan hala tuju pertandingan yang sama tahun depan.

Di sebalik kemeriahan sambutan, AJL 24 sebenarnya bergelut untuk mengumpul sebanyak mungkin lagu-lagu ciptaan baru untuk menjadikan persaingan sengit. Tetapi malangnya industri muzik tidak banyak mengeluarkan lagu baru dan AJL 24 berlangsung seolah-olah tanpa persaingan.

Faktor sambutan pengunjung di stadium dan persembahan penyanyi yang dikatakan hebat sebenarnya tidak ada signifikan dengan realiti industri muzik kita yang sangat teruk. Apakah masih wajar dipanggil industri sekiranya tidak ada ciptaan baru di pasaran?

AJL 24 kelihatan sudah hilang kehebatannya. Ini tidak ada kena mengena dengan penganjuran atau produksi AJL 24 sebaliknya masalah ini disebabkan oleh realiti industri muzik masa kini.

Dari sudut lain pula persembahan yang spektakular membuatkan banyak orang terlupa realiti industri muzik jatuh menjunam.

AJL 24 tahun ini kelihatan bergelut dengan usaha untuk melangsungkan acara penganugerahan muzik ketika industri muzik sudah hampir tidak bernyawa. Inisiatif penganjur memang wajar dipuji tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan realiti bahawa AJL 24 tidak ada persaingan sengit.

Bagaimanapun dari sudut lain, format pertandingan tahun ini dianggap yang sewajarnya dilakukan dalam AJL selama ini. Dalam industri muzik yang kecil seperti di negara ini, tidak ada rasionalnya untuk mengkelaskan muzik kepada beberapa kelompok.

Sementara pengkelasan itu pula menimbulkan persoalan kerana lagu-lagu yang tidak ada dalam acuan itu akan terkeluar. Padahal karya muzik tidak harus dikekang oleh bentuk yang sengaja dicipta kalau AJL bertujuan membangunkan karya yang inovatif.

Tetapi kali ini AJL 24 dilangsungkan dengan format yang tepat. AJL 24 mahu mencari lagu terbaik bukannya dari jumlah yang kecil mencari beberapa "juara" seperti sebelum ini.

Kerana itu, tidak keterlaluan kalau mengatakan ini adalah permulaan terbaik kepada AJL untuk berada pada landasan pertandingan yang selayaknya.

Bagaimanapun kelihatan terdapat beberapa persembahan yang sedikit condong ke arah persembahan penyanyi tertentu. Lirik yang indah seakan-akan dipinggirkan apabila persembahan yang diberi kurang memberangsangkan. Ini yang terjadi pada calon-calon yang membuat persembahan secara solo.

Sebab itu kita lihat ada persembahan yang kurang mendapat sambutan di kalangan penonton disebabkan ia bukan calon pilihan. Lantas ia menjejaskan kualiti pertandingan apabila ia dipengaruhi oleh spektakular persembahan. Sedangkan, AJL adalah medan bagi setiap komposer untuk berentap dan bukan penyanyinya.

Dalam sibuk mencari-cari lagu yang paling layak dinobatkan terbaik, lagu Pergi ternyata mengejutkan semua pihak sejurus selepas diumumkan.

Menurut Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Lim Swee Tim, gubahan lagu tersebut sebenarnya mantap kerana ia disokong dengan lirik yang indah.

"Pergi bakal menjadi lagu malar segar. Ia mempunyai unsur-unsur klasik yang mudah didengar. Pergi penuh dengan elemen kemanusiaan dan liriknya bersifat universal. Selain itu, ia disuntik seni kreatif yang amat halus," kata bekas juri AJL 1999, 2001, 2003 dan 2004 ini.

Mengenai muzik indie yang melanda negara ini, katanya, setiap lirik perlulah mantap tidak kira lagu indie atau arus perdana. Ini kerana setiap lirik tidak perlu mendayu tetapi kemantapan idea dalam lirik sangat penting. Peneliti bidang muzik ini juga menganggap lagu tidak mengajar individu itu tetapi lirik adalah sebahagian daripada lagu.

Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: