Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 15 Januari 2010

Mayat merata-rata di Haiti



FOTO PBB menunjukkan mayat mangsa gempa diletak pada satu kawasan depan rumah rumah mayat hospital Port-au-Prince.

Penduduk curi makanan, keadaan selepas gempa umpama zon perang

PORT-AU-PRINCE: Mayat bertimbun dan kes curi makanan mula dilaporkan ketika penghantaran bantuan kepada mangsa gempa bumi Haiti turut bermasalah berpunca daripada keadaan jalan raya yang teruk dan kerosakan di pelabuhan serta lapangan terbang.

Ada mayat dibiarkan di tepi jalan dan hanya ditutup kain. Ada juga yang dikebumikan di tepi bukit tetapi beratus-ratus lagi diletak di depan rumah mayat, tidak jauh daripada mangsa yang terselamat.

"Sukar untuk diceritakan. Bencana dan kemusnahan terlalu besar. Semua orang menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau mayat yang boleh dilihat di mana-mana saja," kata Karel Zelenka, wakil Perkhidmatan Bantuan Katolik.

Palang Merah Antarabangsa menganggarkan 50,000 maut kerana gempa, Selasa lalu. Mayat dibiarkan di tepi jalan dan dekat kediaman supaya saudara mara yang terselamat dapat berusaha mengebumikannya.

Mencuri makanan dan bekalan keperluan juga satu masalah yang sentiasa dihadapi tempat yang dilanda bencana. Di Port-au-Prince, kecurian tertumpu di pusat komersial lama di kawasan dipenuhi kedai, pasar dan sebilangan rumah.

"SEKUMPULAN penduduk mencuri minyak tanah dari sebuah lori tangki di Port-au-Prince."


SEKUMPULAN penduduk mencuri minyak tanah dari sebuah lori tangki di Port-au-Prince.

Suasana seperti zon perang. Beberapa bangunan terbakar, asap menyelubungi hampir semua tempat dan mayat bergelimpangan selepas Haiti dilanda gempa 7 skala Richter.

Keadaan semakin tegang apabila ada sekumpulan pemuda membawa pisau memasuki kedai dan mencuri apa saja barang yang boleh dibawa.

Mereka mundar mandir di jalan raya, mengacu pisau dan bersaing dengan kumpulan lain hingga pergaduhan meletus.

Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) berkata, gudangnya di Port-au-Prince dimasuki pencuri.

Tempat itu menempatkan 15,000 tan makanan simpanan sebelum gempa melanda.

Beratus-ratus ribu rakyat Haiti berada dalam kelaparan selepas gempa itu melanda. Jurucakapnya, Emilia Casella menekankan bahawa kecurian adalah perkara biasa dalam keadaan kecemasan. Agensi/AP

Mayat jadi sekatan jalan


Timbunan beribu-ribu mayat dikumpulkan di kawasan lapang di hadapan rumah mayat Hospital Besar Port-au-Prince, Haiti dua hari selepas gempa berlaku. - AFP


PORT-AU-PRINCE 15 Jan. - Penduduk Haiti yang marah telah bertindak menggunakan timbunan mayat sebagai sekatan jalan raya di bandar ini sebagai protes terhadap kelewatan bantuan kecemasan selepas negara ini dilanda gempa bumi.

Seorang saksi, jurugambar majalah TIME, Shaul Schwarz berkata, dia menyaksikan sekurang-kurangnya dua sekatan jalan raya di pusat bandar yang dibina dengan menggunakan mayat-mayat mangsa gempa bumi dan batu.

"Mereka mula melakukan sekatan dengan menggunakan mayat mangsa, nampaknya keadaan semakin teruk di sini kerana orang ramai semakin kecewa kerana tidak ada bantuan yang diterima," katanya kepada pemberita.

Menurut pasukan Palang Merah Haiti, tiga juta penduduk dilaporkan cedera dan hilang tempat tinggal akibat gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang melanda negara ini Selasa lalu.

Ketika usaha bantuan kecemasan tampak samar, beribu-ribu mangsa masih terperangkap dalam runtuhan bangunan.

"Setakat ini, kami telah menanam kira-kira 7,000 mayat di sebuah kubur yang amat besar," kata Presiden Palang Merah Haiti, Rene Preval.

Seorang pegawai Keselamatan Pantai Amerika Syarikat, Paul Cormier, 54, yang juga pemilik rumah anak yatim di Haiti berkata, jumlah kematian akan meningkat jika ribuan rakyat Haiti yang cedera tidak dirawat secepat mungkin.

Sementara itu, kejadian mencuri di Haiti semakin tidak terkawal apabila ada pihak yang mengambil kesempatan mencuri barang elektrik dan juga makanan.

"Polis sedang sibuk melakukan operasi menyelamat dan tidak ada masa menjaga keselamatan awam," kata seorang pemilik kilang, Manuel Deheusch. - Reuters


Tiada ulasan: