Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 27 Februari 2013

Berita Harian terus mengorak langkah jadi akhbar bahasa Melayu terulung

1 Julai 2012

HARI ini genaplah 55 tahun Berita Harian lahir sebagai sebuah akhbar berbahasa Melayu terulung di negara ini yang berjaya mencatat pelbagai sejarah sejak kelahiran pertamanya pada 1 Julai 1957, seusia dengan kejayaan negara ini mencapai kemerdekaan. Dalam tempoh itu, pelbagai kejayaan sudah ditempa dan pelbagai perubahan juga sudah dilalui sama ada dalam aspek fizikal, pengisian mahupun kepemimpinan.

Bermula edisi pertama pada 1957, akhbar ini menggunakan bahan sama dengan akhbar Straits Times. Pada ketika itu, Berita Harian menggunakan gambar Tunku Abdul Rahman Putra untuk menghiasi muka depannya dengan harga 15 sen.

Seramai hanya lapan orang kakitangan bertugas ketika itu sebelum pelantikan pengarang pertama, Abdul Samad Ismail pada 1958. Dalam tempoh itu, Berita Harian terus berusaha untuk muncul sebagai sebuah akhbar perdana dengan imej tersendiri termasuk melancarkan Berita Minggu pada 10 Julai 1960 dan akhirnya pada 1966 satu konsep baru `masthead' diperkenalkan.

Tahun 1972 menyaksikan tampuk kepemimpinan di Berita Harian diambil alih oleh Abdul Wahab Zain yang sepanjang pembabitannya sebagai pengarang berjaya menambah dua muka surat tambahan menjadikan keseluruhan 12 muka surat pada 1974. Fokus penambahan ketika itu menumpukan kepada ekonomi, nota fotografi, tips menghadapi peperiksaan, lebih penumpuan kepada hiburan, berita luar negara dan rencana umum.

Sebelum beliau mengundur diri pada 1975, Berita Harian berjaya menaikkan harga jualannya kepada 25 sen sebelum akhirnya Abdul Samad Said dilantik menjadi pengarang selama dua tahun bermula 1976 hingga 1978 dan digantikan pula Salim Kajai pada 1978.

Dalam era kepemimpinan Salim Kajai, dua perubahan besar berjaya dicapai iaitu pelancaran Edisi Bandar Berita Harian pada 1979 dan sekali lagi imej baru pada 'masthead' selain seksyen baru yang memberi sedikit penekanan terhadap elemen hiburan dengan kali ini, harga jualan juga meningkat kepada 35 sen senaskhah dan dinaikkan sekali lagi kepada 45 sen sebelum Adibah Amin dilantik sebagai pengarang pada 1983.

Setahun selepas itu, Ahmad Sebi Abu Bakar dilantik menggantikan Adibah dengan jawatan Pengarang Kumpulan dan satu kejayaan terbesar di bawah pimpinannya ialah apabila Berita Harian dan Berita Minggu disatukan di bawah Berita Harian Sdn Bhd pada 1985. Pada 20 Oktober tahun sama, Akhbar Dalam Darjah (ADD) dilancarkan.

Dua tahun memimpin Berita Harian, Ahmad Sebi digantikan A Kadir Jasin yang berperanan besar dalam memperkenalkan Anugerah Bintang Popular pada Disember 1987 sebelum melepaskan kepemimpinan itu kepada Ahmad Nazri Abdullah pada 8 April 1988. Pembabitan Ahmad Nazri selama 10 tahun sebagai Pengarang Kumpulan mencetuskan kelahiran akhbar tabloid sukan, Jaguh pada 8 Ogos 1989 yang mempunyai 16 muka surat.

Berita Harian juga memperkenalkan tema terbaru pada 2 Disember 1991 iaitu 'Sumber Ilmu dan Maklumat Mutakhir'. Pada 1 Jun tahun sama, akhbar keluaran khas harian dikeluarkan iaitu Berita Pelajar, Berita Wanita, Berita Teknologi, Jaguh, Perspektif dan Dunia. Pada 4 Disember 1993, Minda Pelajar diterbitkan dan serentak itu harga Berita Harian dinaikkan kepada 70 sen sebelum pengenalan kepada tabloid 'Didik' pada 23 Januari 1995.

Langkah Berita Harian semakin panjang dalam memenuhi kehendak semua golongan termasuk wanita apabila secara rasmi menerbitkan akhbar mingguan Citra dengan tema 'Bicara Wanita Kontemporari' pada 23 Februari 1995 dan dijual dengan harga RM1.

Antara kejayaan terbesar Berita Harian dalam menarik kelompok pembaca ialah apabila melancarkan sisipan Joran pada 4 Oktober 1996 yang nyata memberi impak besar terhadap akhbar ini menjelang sambutan ulang tahun ke-40nya setahun selepas itu yang menyaksikan Grand Prix Joran diperkenalkan.

Selepas 10 tahun memimpin Berita Harian sehingga Julai 1998, tempat Ahmad Nazri diambil alih Ahmad Rejal Arbee yang sekali gus menaikkan harga Berita Harian kepada RM1.20 serta merombak beberapa pengisian dalam akhbar ini. Tidak puas dengan semua itu, beliau mengorak langkah merubah rupa bentuk Berita Harian pada 2000 yang menggunakan `masthead' baru dengan grafik lebih menarik dan penambahan kepada ruang berita, rencana dan analisis.
Tahun pendidikan. Itulah gelaran paling tepat untuk 2001 kerana ketika itu, dua tabloid dijadikan sisipan percuma untuk pembaca Berita Harian yang mana Didik diberi secara percuma bermula isu 6 hingga 12 Februari dan Minda Pelajar pada 5 hingga 11 Februari sebelum Skor pula dilancarkan pada 26 April 2001 sebagai tabloid pendidikan ketiga, memfokuskan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menyedari kepentingan menarik golongan muda, Berita Harian mengubah reka letaknya pada 6 Januari 2003 kepada sesuatu yang lebih segar dan mesra pembaca dengan pengisian mendekati pembaca muda. Tahun sama juga menyaksikan Hishamuddin Aun dilantik sebagai Pengarang Kumpulan yang kekal memimpin Berita Harian selama tiga tahun.

Pelantikannya mencorak satu lagi imej baru apabila satu sisipan baru diperkenalkan pada 4 Oktober 2003. Sisipan itu, Ikon nyata sekali menyasarkan golongan muda dan diselitkan bersama akhbar ini pada setiap Sabtu. Pada tahun sama juga, satu lagi sisipan diperkenalkan iaitu EPG (Emas, Perak, Gangsa) yang menggantikan edisi Jaguh sebagai sisipan sukan.

Semua usaha keras warga Berita Harian mula menampakkan hasil apabila pada Januari 2004, purata jualan akhbar ini mencapai 238,000 naskhah sehari yang menjadi titik tolak kepada kemunculan edisi muka depan untuk Wilayah, Tengah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah - Sarawak, Timur, Utara dan Selatan. Pada tahun sama, Berita Harian memperkenalkan kolum 'Hello YB'. Pada 23 Ogos 2004, edisi Tengah ditukar nama kepada Sentral.

Harga Berita Harian dinaikkan sekali lagi pada 2005 kepada RM1.50 dan sekali lagi Berita Harian merubah reka letak dan grafiknya untuk kelihatan lebih muda serta dinamik pada 20 Jun 2005. Penggunaan maklumat ringkas dan fakta nombor menjadi satu elemen baru yang diperkenalkan.
Pelantikan Hishamuddin sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP membolehkan Datuk Manja Ismail dilantik Pengarang Kumpulan pada 1 April 2006. Pengenalan kepada RakanBH pada 10 April 2006 membolehkan pembaca berpeluang berkongsi pandangan serta komen menggunakan telefon bimbit.

Satu lagi kejayaan sekali gus dianggap sebagai sejarah dalam rekod Berita Harian ialah apabila merubah bentuknya kepada akhbar kompak pada Julai 2008 selepas 51 tahun bertahan dengan imej 'broadsheet.' selepas rakan dalam satu syarikat, News Straits Times dan New Sunday Times memulakan transformasi itu pada April 2005.

Pada 1 Julai 2009, Datuk Mior Kamarul Shahid dilantik menggantikan Manja sebagai Ketua Pengarang yang kini mengetuai Berita Harian untuk terus mengorak langkah cemerlang muncul sebagai akhbar bahasa Melayu arus perdana terulung di negara ini sempena sambutan ulang tahun Berita Harian ke-53 hari ini.

Apa yang pasti, selepas semua kejayaan yang dicapai, semua warga Berita Harian mempunyai keyakinan tinggi untuk mencapai misi itu dan seiring dengan sasaran Media Prima Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd yang dalam transformasi agresif pada semua jabatan di bawahnya.

Tiada ulasan: