Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 23 Februari 2013

Nik Aziz pertahan kenyataannya tentang BR1M



Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya bahawa langkah kerajaan Persekutuan memberi bantuan wang termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada rakyat umpama memberi makanan kepada haiwan, untuk menarik sokongan.
  
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata ini berbeza dengan kerajaan PAS Kelantan yang mengunakan ilmu agama untuk menarik rakyat menyokong perjuangan parti tersebut.
  
Bagaimanapun, beliau mahu rakyat terus menerima sebarang bentuk bantuan yang diberikan kerajaan Persekutuan kerana wang tersebut bukan wang parti tetapi wang kerajaan yang menjadi hak rakyat.
  
"Saya kata beri duit, terima, tapi pangkah PAS, duit itu masih hak mereka kerana duit kerajaan bukan Umno," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kota Bharu hari ini.
  
Nik Abdul Aziz dikritik pelbagai pihak berikutan kenyataannya Rabu lepas yang menyamakan usaha murni kerajaan pusat memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.
  
Ditanya adakah beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu lebih awal bagi memberi laluan kepada pilihan raya, Nik Abdul Aziz berkata pembubaran DUN itu akan dibuat serentak dengan pembubaran Parlimen kelak.
  
Mengenai senarai calon PAS untuk bertanding di negeri ini, beliau berkata sebahagian besar senarai calon itu sudah selesai.
  
Sementara itu, ketika berucap di majlis itu, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat menjadikan semua penjawat awam negeri itu memiliki ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.
  
Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri mewujudkan sekolah agama aliran sains bagi membolehkan pelajar mempunyai pendidikan bukan sahaja ilmu agama tetapi juga ilmu sains dan teknologi.

- Bernama


Najib: Kenyataan Nik Aziz menghina rakyat
 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan penerima bantuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan, sebagai menghina rakyat dan amat keterlaluan.

Beliau turut mempersoal kenyataan itu yang tidak konsisten memandangkan pakatan pembangkang terutamanya di Selangor turut menjanjikan beberapa perkara yang bersifat kewangan.

"Apa beza dengan janji dia (pakatan pembangkang) di Selangor. Elaun untuk ibu tunggal, bayaran elaun anak ke tadika, janji air percuma...itu kan pemberian kewangan juga? Apa beza dengan BR1M? Jadi takkanlah Nik Aziz nak kutuk bila kita buat dan bila pakatan buat dia tak kata apa-apa?.

"Itu pendirian tidak konsisten kalau itu (BR1M) dikira amalan tidak baik dan disama dengan haiwan...kenapa dia tak kata apa-apa bila pakatan janji... janji itu pula tidak ditunaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Majlis Tertinggi komponen parti BN negeri di Kuching hari ini.

Najib mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang menyamakan usaha murni kerajaan memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

Mengulas lanjut, Najib berkata amalan memberi bantuan kepada rakyat sudah lama dilaksanakan kerajaan secara subsidi tidak langsung, manakala BR1M bersifat lebih fokus kepada kumpulan sasaran.

"Setiap tahun kerajaan belanja lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi, kita beri dalam bentuk subsidi secara tidak langsung... orang tak layak seperti orang kaya pun terima dan berlakunya ketirisan seperti penyeludupan serta penjualan diesel di luar sempadan dan sebagainya.

"Jadi kita pilih beri subsidi diesel secara lebih fokus lagi, dan cara lebih fokus ini termasuk BR1M dimana kita tentukan mereka betul-betul layak mengikut tafsiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya mereka akan terima bantuan kewangan," katanya.

Beliau berkata kerajaan melihat BR1M bukan sahaja bantuan kepada rakyat, tetapi turut akan mempergiatkan kegiatan ekonomi di sesebuah kawasan.

"Bantuan kewangan ini akan cetus kegiatan ekonomi di kawasan tempatan, ia beri pekedai serta peruncit manfaat dan rakyat (penerima) sendiri punya kuasa untuk tentukan cara untuk belanjakan duit itu.

"Jadi ini tidak ada bezanya dengan amalan di sesetengah negara lain seperti Singapura dimana mereka kreditkan kepada akaun CPF untuk bantu rakyat, di Indonesia pun ada juga pemberian secara langsung kepada rakyat," katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: