Jumlah peserta perarakan dari Tambunan ke Penampang bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil di Sabah yang memasuki hari kedua hari ini bertambah 10 orang lagi menjadikan jumlah keseluruhan seramai 57 orang.

Aktivis yang mewakili perjalanan itu, Andrew Ambrose berkata, tambahan peserta seramai 10 orang yang menyertai perjalanan itu tiba dari Kota Kinabalu pagi tadi.

Sabah march day 2Katanya, bagi perjalanan hari ini, kumpulan itu mula bertolak dari hentian terakhir mereka semalam iaitu di Kampung Tagudon pada jam 10 pagi.

Menurut Andrew, sebuah kereta peronda polis turut kelihatan lalulalang semasa mereka sedang berjalan. Bagaimanapun, tiada sebarang sekatan atau gangguan yang berlaku.

Andrew, mereka sedang bersiap untuk memulakan perjalanan menuju ke hentian seterusnya iaitu di Morog selepas berehat selama 30 minit di Guramboi.

Beliau berkata, kesemua peserta kelihatan bersemangat untuk berjalan pada hari ini walaupun semalam kira-kira jam 6 petang hujan lebat dan cuaca sejuk semasa mereka melalui Gunung Alab.

Sabah march day 2"Kami sekarang sedang berehat di Guramboi. Dan semasa di sini, kami disambut dengan meriah oleh penduduk kampung. Sama seperti  tempat kami bermalam di Kampung Tagudon, turut disambut meriah dan kami diberi makanan.

"Semasa di Guramboi, kita adakan aktiviti ceramah bersama penduduk untuk berkongsi dan memberi sedikit gambaran tentang isu semasa.

"Polis ada lalulalang dengan sebuah kereta peronda (semasa berjalan). Mereka lalu sahaja. Langsung tidak beri perlindungan kepada kami walaupun kita dah beritahu balai polis Penampang dan balai polis Keningau kerana keadaan lalulintas di sini bahaya. Pagi-pagi lori-lori besar akan naik atas bukit. Cuma sekarang kami ada renjer kami sendiri untuk mengawal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini tengahari tadi.

Sabah march day 2Acara berjalan dari Tambunan ke Penampang sejauh kira-kira 60 kilometer yang digelar 'Tak Berdiam Lagi-Bangkit dan Jalan' itu akan merentasi banjaran Crocker dan dijadualkan berakhir di Dewan Pegansakan, Penampang esok.

Mereka memulakan perjalanan dari Pekan Tambunan, semalam pada jam 10.45 pagi sebelum berhenti untuk bermalam di Kampung Tagudon.