ULASAN Pilihan raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya yang amat dinanti-nantikan, paling menarik dan mendebarkan dalam sejarah negara.
  
Spekulasi berhubung tarikh pilihan raya menjadi teka-teki selama hampir setahun. Pilihan bagi tarikh mengadakan pilihan raya semakin pendek. Dijangkakan PRU-13 akan diadakan pada 14 atau 21 April 2013.
  
Terdapat tiga kemungkinan keputusan pada pilihan raya akan datang:
  
Senario 1 : Status quo semasa kekal
  
Senario 2 : Majoriti yang berkurangan bagi BN
  
Senario 3 : BN memperoleh semula majoriti dua pertiga.
  
Terdapat 222 kerusi parlimen di negara ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 150 adalah kerusi Melayu/Bumiputera, 30 kerusi campuran dan 42 kerusi majoriti Cina.
  
2008 elections who got what parliament seatDalam pilihan raya 2004, BN memenangi 140 kerusi dan Pembangkang
pula menang 82 kerusi. Huraian selanjutnya menunjukkan Umno memenangi 79 kerusi, MCA 15 kerusi, MIC 3 dan Gerakan 2, PKR 31, DAP 28 dan PAS 23 kerusi.
  
Daripada analisis kami, semakin jelas bahawa sebahagian besar penduduk luar bandar telahpun beralih semula kepada BN, khususnya kaum Melayu luar bandar yang sebahagian besarnya kembali semula ke pangkuan Umno.
  
Dalam hubungan ini, Umno dijangka memenangi lebih banyak kerusi berbanding pada 2008. Umno berkemungkinan menang 85 hingga 90 kerusi parlimen, iaitu satu peningkatan berbanding 79 kerusi sedia ada. Turut menjadi trend yang jelas ialah pengundi India di kawasan luar bandar dan separa bandar beralih semula  kepada BN. Bagaimanapun, sebahagian besar pengundi bandar masih bersama Pembangkang.

NONESungguhpun pengundi Melayu di bandar mungkin menyokong Pakatan dan malah jika lebih ramai kaum Melayu di bandar menyokong
Pakatan bagi kerusi bandar, ini tidak akan meningkatkan jumlah kerusi bagi Pakatan memandangkan kerusi bandar terbabit telahpun dimenangi DAP.

Bagaimanapun pengundi bandar masih tetap menyokong Pembangkang. Masyarakat Cina bandar menyokong kuat DAP.
  
Kira-kira 85 peratus masyarakat Cina bandar mungkin mengundi DAP. Ini akan meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP kepada 35-40 kerusi, meningkat daripada 28 kerusi yang dimenangi DAP pada 2008, menjadikan DAP parti pembangkang terbesar dalam Pakatan.
  
Harapan perdana menteri ialah pelbagai program mendekati rakyat yang beliau laksanakan terhadap kaum Cina akan mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina atas pagar namun ia masih merupakan cabaran yang besar. Sebahagian besar masyarakat Cina nampaknya telahpun membuat keputusan mereka.

dong zong cny open door 170213 05Sesetengah kaum Cina yang telahpun berusia dan kalangan ahli perniagaan Cina mungkin mahu memberi peluang kepada Datuk Seri
Najib Tun Razak. Mereka menghargai keamanan, kestabilan serta kemakmuran dan menyukai cara Datuk Seri Najib mendampingi rakyat, misalnya kehadiran beliau pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dong Zong.
  
Dalam rundingan meja bulat dan kajian yang dijalankan baru-baru ini berhubung perkara yang menjadi kebimbangan kaum Cina anjuran Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli), isu utama yang dikenal pasti sebagai membimbangkan kaum Cina adalah jenayah dan rasuah, pendidikan, kos sara hidup, keadilan dan kesaksamaan, isu kebudayaan dan agama, kekurangan penyertaan dalam perkhidmatan awam dan kurang meritokrasi.
  
Ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengundi Cina.
  
NONEBagaimanapun jika sokongan semula pengundi Melayu dan India kepada Umno/BN adalah kuat, ini akan membantu MCA dan Gerakan dalam mengalih undi Melayu dan India kepada calon MCA dan Gerakan bagi kerusi campuran di mana pengundi Melayu terdiri daripada lebih 40 peratus dan pengundi India adalah antara 10-15 peratus di kawasan pilihan raya, misalnya Padang Serai dan Gopeng.
  
Ramai pengundi atas pagar mengharapkan untuk melihat siapakah calon yang diketengahkan oleh parti dan cara kempen dijalankan. Sebarang kesilapan akan membawa padah semasa tempoh berkempen.
  
Kempen boleh menjadi kotor apabila banyak serangan peribadi dan tuduhan yang dilontar kedua-dua pihak. Kejutan juga boleh berlaku semasa berkempen.

Datuk Seri Najib akan berkempen dari landasan yang kukuh. Populariti, personaliti dan kerja kuat serta ketabahannya akan memberi beliau banyak sokongan. Apa yang nyata, beliau lebih popular daripada partinya.
  
Rekod pencapaian Najib yang dibuktikan menerusi program transformasi dan pencapaian ekonomi dengan mencatat pertumbuhan 6.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada suku keempat 2012 meletakkan beliau dan kerajaan BN dalam kedudukan yang baik.
  
NONESebaliknya, terdapat perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengundi bandar berhubung penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan rasuah.
  
Di Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan memberi kemenangan 100 peratus kerusi PBB yang dipimpinnya kepada BN dan seterusnya menjamin kemenangan majoriti di Sarawak. Bagaimanapun PRS dan SPDP mungkin kehilangan beberapa kerusi Dayak kepada PKR.
  
SUPP akan berdepan cabaran getir daripada DAP dan mungkin kehilangan semua kerusi majoriti Cina kepada DAP tetapi memenangi semula Sibu dengan calon baharu yang lebih kuat serta mengekalkan kerusi majoriti Dayak yang disandang Timbalan Presidennya Datuk Richard Riot, sekali gus memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen.
  
Di Sabah, Umno Sabah mampu melakar pencapaian yang baik dan memimpin BN untuk menguasai semula pentadbiran kerajaan negeri. DAP akan menang beberapa lagi kerusi majoriti Cina.
    
NONEDi Semenanjung Malaysia, kerusi MCA yang akan menjadi rebutan hebat ialah Gelang Patah, Kulai dan Tajung Piai di Johor dan Lumut di Perak. Kawasan-kawasan ini boleh ditembusi.
  
Sebaliknya, MCA mempunyai peluang cerah memenangi kembali Padang Serai, Gopeng dan Selayang jika sokongan kuat Melayu dan India kembali ke BN.  
  
Di pertandingan peringkat negeri, Pakatan seharusnya kekal menguasai Kelantan dan Pulau Pinang tetapi menghadapi cabaran kuat daripada BN.
  
Di Pulau Pinang, jika undi Melayu kukuh, Umno mungkin memenangi 17 kerusi Melayu dan jika MCA dan Gerakan boleh memenangi empat kerusi saja lagi, BN akan menang tipis dan menguasai semula Pulau Pinang.
  
Persaingan di Selangor paling sengit dan 50:50 bagi salah satu pihak untuk menang. BN seharusnya memenangi Kedah dan Perak dengan sokongan Melayu berbalik kepada Umno.
  
Ini dapat membantu Umno menguasai kembali kerusi negeri daripada tangan PKR dan PAS di Perak walaupun DAP berkemungkinan terus mengekalkan semua kerusi majoriti Cina di negeri itu.
  
NONEDalam perhitungan terakhir, BN akan memenangi Pilihan Raya Umum
ke-13. Apa yang tidak pasti hanyalah jumlah majoriti. 
  
Daripada analisis kami, BN dijangka memenangi antara 123 dan 135 kerusi. Ini keputusan yang paling mungkin.
  
Namun, jika sokongan semula Melayu dan India kepada BN begitu kukuh dan Najib dapat menarik kembali lebih banyak pengundi Cina atas pagar, BN boleh memenangi hingga 150 kerusi, yang akan mengembalikan majoriti dua pertiga BN.
  
Keputusan ini merupakan cabaran berat.
  
Senario ketiga ialah BN mengekalkan jumlah kerusi yang kira-kira sama sekitar 140, yang dimenanginya pada 2008. 
  
Apapun, yang agak pasti ialah dua pemenang besar dalam pilihan raya umum kali ini ialah Umno dan DAP.
  
Satu lagi yang penting untuk diambil kira ialah bentuk kerajaan pasca PRU-13.

Apakah akan wujud penjajaran politik baharu? Apakah Umno akan berusaha mengadakan gabungan baru dengan PAS demi perpaduan Melayu dan Islam dan bagaimana ini akan memberi impak kepada bukan Melayu dan bukan Islam?.
  
Apakah dua pemenang besar pilihan raya ini, Umno dan DAP akan mengusahakan penjajaran politik baharu?.
  
Tidak ada yang tidak mungkin selepas Pilihan Raya Umum.  
Memang, tidak ada teman atau musuh yang kekal dalam politik.   
Inilah bentuk senario pasca pilihan raya yang perlu turut diambil kira.

TAN SRI MICHAEL YEOH ONN KHENG adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) & Timbalan Pengerusi Pusat bagi Kajian Dasar Awam (CPPS).
  
- Bernama