Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 19 Februari 2010

AS tidak akan campur tangan

KUALA ROMPIN 18 Feb. - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak akan campur tangan dalam pertuduhan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, dalam pertemuan dengan Rumah Putih sebelum kembali ke tanah air baru-baru ini berkata, AS tidak mengeluarkan sebarang pendirian berhubung pertuduhan Anwar itu.

''Sebelum balik ke sini (Malaysia), AS tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas pelancaran projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) peringkat kebangsaan di Kampung Sepayang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dan Pegawai Daerah Rompin, Datuk Roslan Harun.

Beliau mengulas laporan agensi berita asing baru-baru ini mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat AS, John Kerry yang mahu sistem kehakiman di Malaysia berhubung kes pertuduhan liwat Anwar itu dilakukan secara adil.

Kenyataan itu berbeza dengan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby yang menganggap pendakwaan liwat kali kedua ke atas Anwar merupakan sesuatu yang memalukan sistem demokrasi di Malaysia.

Danby yang mewakili 50 ahli Parlimen negara terbabit menyerahkan surat protes kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia, Datuk Salman Ahmad meminta Malaysia tidak meneruskan dakwaan terhadap Anwar.

Mengulas lanjut, Jamaluddin menegaskan, Kerry tidak mempertikaikan sistem perundangan Malaysia tetapi mahu ia dilaksanakan secara adil.

"Saya rasa kenyataan John Kerry itu lebih kepada pendirian secara terbuka. Memang sistem kehakiman yang dijalankan di negara ini adil dan saksama," katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak terkejut dengan tindakan Anwar ke luar negara untuk mencari sokongan dan simpati dunia terhadap kesnya.

"Ini kerana perbicaraan kes tersebut tidak seperti kes liwat yang dahulu dan disebab itulah dia kena mendapatkan sokongan dari luar untuk kesnya," ujarnya.

Tegas beliau, Malaysia boleh menyelesaikan kes berkenaan tanpa memerlukan campur tangan pihak luar.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: