Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 19 Februari 2010

Penawar rindu

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my




Filem My Name Is Khan kembali jalinkan kasih Kajol dan Shah Rukh Khan

SEKIAN lama, gandingan Kajol Devgan (dulunya dikenali dengan Kajol Mukherjee) dan Shah Rukh Khan (SRK) antara yang dinanti-nanti peminat setia filem Bollywood. Mereka antara pasangan yang dilihat begitu serasi di layar perak. Filem Dilwale Dulhania Le Jayenge dan Kuch Kuch Hota Hai antara contoh yang mencetuskan fenomena dan kegilaan peminat terhadap mereka.

Kali terakhir mereka bergandingan ialah pada 2001 menerusi filem Kabhi Khushi Kabhie Gham. Tahun ini, kerinduan pasti terubat apabila pengarah filem, Karan Johar sekali lagi menyatukan mereka dalam filem penuh kontroversi, My Name Is Khan (MNIK). Ia mula ditayangkan serentak di beberapa negara termasuk Malaysia sejak 12 Februari lalu.

Namun jika ada yang bertanggapan filem MNIK seperti filem melodrama yang penuh dengan air mata dan emosi, barangkali persepsi itu harus dibuang ketepi. Tak mustahil akan ada yang keluar panggung dengan perasaan hampa. Ironinya, karya Karan ini tidak seperti filemnya yang terdahulu. Karan sebenarnya mahu menyuntik idea segar.

Hal itu diakui sendiri isteri Ajay Devgan yang menyifatkan Karan cuba lari daripada sisi klise filem Bollywood. Bagi Kajol yang sudah bergelar ibu kepada anak bernama Nysa, apa yang dilakukan Karan seiring dengan haluan pemikirannya yang semakin matang. Setiap perubahan itu perlu, cuma ia mengambil masa untuk memberi pemahaman kepada sesiapa yang menerimanya.

“Barangkali akan ada yang menyangka filem ini bukan hasil arahan Karan kerana ternyata ia sangat berbeza dengan sentuhannya selama ini. Ia adalah filem baru yang penuh dengan pelbagai aspek baru termasuk dari segi teknik mahupun garapannya,” kata Kajol mengenai filem MNIK.

KARAN JOHAR bersama Kajol dan SRK.

Mengenai gandingan bersama SRK selama lapan tahun, Kajol memberitahu dia tidak boleh menidakkan keserasian berlakon dengan SRK terus wujud. Karan sendiri bersetuju dengan cara mereka menghidupkan watak yang diberi. Lagipun mereka bersahabat baik dan gerak hati mereka juga sering sama secara kebetulan.

“Sepanjang mengenali dan berlakon di sampingnya, saya bertuah kerana dapat menimba pengalaman berharga. SRK memang seorang pelakon yang hebat. Biarpun sudah terkenal, dia masih tetap seperti dulu. Dia bukan saja menghafal skrip sendiri sebaliknya lontaran dialog pelakon lain,” kata Kajol yang dijadualkan muncul dengan tiga buah filem lagi pada tahun ini.

Penuh kontroversi

MNIK bukan karya komersial Hindustan yang biasa. Selain cinta dan kegembiraan, sebaliknya MNIK dilihat sebagai pendekatan lain yang menyentuh aspek politik dan agama. Percubaan Karan juga dilihat terlalu kebaratan seperti membikin sebuah filem yang berwajah Hollywood.

ANTARA kekecohan yang berlaku di India gara-gara kemunculan filem ini dan kenyataan SRK. - Foto Reuters

Tapi setidak-tidak filem edaran Fox Star Entertainment ini mencatat sejarah tersendiri apabila diundang menyertai Festival Filem Berlin yang diadakan sejak 11 hingga 21 Februari ini. Bagaimanapun, di beberapa lokasi di India, SRK turut menimbulkan kemarahan pengikut parti pelampau Hindu, Shiv Sena berhubung kenyataannya mengenai Liga Kriket Perdana India (IPL).

Pelakon itu yang mempunyai pasukan IPL, Kolkata Knight Riders dikecam oleh parti itu kerana memuji pemain Pakistan. Selama ini parti berkenaan tidak boleh bertolak ansur dengan sesiapa yang memuji kehebatan rakyat Pakistan dan mereka cuba menghalang tayangan filem lakonan Shah Rukh itu di Mumbai sebagai tanda protes.

Kemarahan mereka nyata meluap luap apabila ada yang mengoyak poster filem itu. Malahan protes ini turut menyaksikan campur tangan aktivis India Muslim di sana. Aktivis ini mendakwa aktor Bollywood yang berakhir dengan nama Khan seperti Aamir Khan, Salman Khan dan Shah Rukh Khan sendiri sebagai anti nasionalis.

Bukan cerita pengganas

APA juga kontroversi yang melanda filem ini tidak sesekali menjadi penghalang kepada peminat setia Kajol mahupun SRK untuk menyerbu panggung.

Kajol membawakan watak Mandira seorang janda anak satu yang bekerja di salun rambut. Dalam perjalanan kehidupannya, Mandira (wanita Hindu) bertemu dengan Rizwan Khan lakonan Shah Rukh. Bagaimanapun karakter Rizwan berbeza seperti yang pernah dilakonkan. Rizwan ialah lelaki Muslim yang menghidap penyakit autisme, sindrom Asperger. Selepas Rizwan dan Mandira berkahwin (biarpun berlainan agama), kebahagiaan mereka diragut sekelip mata.

Semuanya bermula selepas serangan 11 September 2001 (9/11) yang terjadi di Amerika Syarikat. Rentetan itu, mereka mula berdepan dengan masalah apabila perbezaan agama Islam mula diperbesarkan di sana. Nama Khan yang dimilikinya dan juga anak tirinya, Sameer Khan (Sam) mula menjadi masalah kepada mereka.

Sam meninggal dunia ketika berbalah dengan rakannya apabila soal agama mula diperkotak-katikkan. Tragedi kematian anak mereka mula mencetuskan konflik di antara Rizwan dan Mandira hingga perpisahan terjadi apabila Mandira menggesa Rizwan untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat.

Mandira mahu Rizwan berjumpa Presiden Amerika Syarikat dengan menyampaikan satu mesej berbunyi, “Nama saya Khan, saya bukannya pengganas.” SRK dalam satu temu bual yang diadakan pada Ogos 2009 menafikan filem berkenaan berkisar kepada pengganas atau kesan serangan tarikh peristiwa 9/11.

“Sebaliknya, ia adalah mengenai hubungan membabitkan dua manusia dan kepentingan seseorang dalam melakukan pengorbanan untuk negaranya. Selain itu, ia juga membabitkan kisah cinta, agama dan kesengsaraan hidup. Secara tidak langsung filem ini menekankan hubungan negara Barat dengan orang Islam sejak beberapa tahun ini.

“Filem ini bukan mengenai orang kurang upaya yang berjuang terhadap skeptikal kekurangan dirinya. Sebaliknya mengenai lelaki kurang upaya yang berjuang terhadap kekurangan yang melanda dunia sekarang ini yakni mengenai keganasan, kebencian dan perbalahan,” kata SRK yang wajar dipuji kerana melakonkan watak Rizwan.

Berita Harian

Tiada ulasan: