Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 19 Februari 2010

Penangan anak Normadiah

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


GANDINGAN Azlina, Musly dan Liza meninggalkan kenangan manis kepada penonton Imbauan 2.

Vokal Azlina dan Liza dalam Program Imbauan 2 di Dewan Filharmonik Petronas bangkitkan nostalgia

SIAPA yang tak kenal dengan Allahyarhamah Seniwati Normadiah. Setiap kali figura hebat ini muncul di layar lebar, pasti akan ada yang menjuih bibir sebagai tanda membenci pelakon yang sering membawakan watak antagonis ini. Watak ibu tiri, isteri yang curang memang sering diberikan padanya. Namun, hakikatnya, Normadiah adalah antara pelakon yang cukup berkarakter pada zaman kegemilangannya.

Berikan apa saja watak padanya, pasti dia akan merealisasikan dengan baik. Namun pemilik nama asal, Norma Abdullah ini bukan saja hebat di pentas lakonan malahan dia juga berbakat dalam bidang nyanyian. Kerap juga suaranya digunakan sebagai penyanyi latar untuk sesebuah filem. Paling membanggakannya apabila dia diberi kepercayaan untuk berduet dengan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi lagu Bulan Dan Juga Angin yang dipetik menerusi filem Panggilan Pulau yang diterbitkan sekitar 1954.

Sehingga kini, lagu nyanyiannya masih terus dialunkan oleh penyanyi masa kini dan ada juga yang dirakam semula. Antara penyanyi yang pernah merakamkan lagu seniwati ini ialah Datuk Sheila Majid, Noraniza Idris dan juga anak kandung penyanyi itu sendiri, Azlina Aziz. Bak kata pepatah lama, ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Dan vokal milik Azlina dan juga adiknya Liza jelas saling tak tumpah seperti arwah ibunya.

Dan kelunakan serta kemerduan vokal mereka berdua itu dilontarkan mereka ketika menjayakan program Imbauan 2, yang berlangsung di lokasi berprestij, Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, malam minggu lalu. Sebagai pewaris kepada seniwati terkenal itu, Azlina dan Liza dengan dibantu rakan duet, Musly Amir mereka menyampaikan kembali lagu yang pernah dinyanyikan Normadiah suatu ketika dulu.

Persembahan malam itu dimulakan dengan segmen prelude, iaitu persembahan muzik secara instrumental yang dialunkan oleh Kumpulan Seni Persembahan Petronas seramai 51 orang pemuzik itu. Setiap melodi yang dialunkan mempunyai terjemahan tersendiri terhadap karakter seniwati tersohor itu. Sewaktu segmen itu berlangsung, perhatian audiens tertumpu pada layar lebar yang menayangkan klip lakonan Normadiah bersama suaminya Allahyarham Aziz Jaafar.

GUBAHAN muzik pimpinan Ahmad Muriz buat penonton kagum.

Usai segmen itu, muncul Azlina mengenakan gaun labuh rona lemak ketam membawakan lagu Jangan Merajuk, yang dipetik dari album solo ibunya itu yang berjudul Sumbangsih-Ku.Tak perlu dipertikaikan kehebatan penyanyi yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang seni ini. Nyata, vokal gemersiknya adalah senjata utama untuk menyihir penonton untuk terus menyaksikan persembahan seterusnya.

Mengambil alih pentas selepas itu, Liza menyampaikan lagu Dewa Dewi. Lagu berentak inang ini dirakamkan oleh Normadiah di dalam album kompilasinya yang berjudul Dua Biduanita. Lagu ini juga pernah dirakamkan oleh Azlina sekitar tahun 80-an. Untuk persembahan malam itu, Dewa Dewi digubah semula oleh Mohd Husin Osman.

“Terima kasih kerana sudi hadir malam ini. Saya akui teruja dengan sambutan yang diberikan,” ujar Liza sambil diiringi tepukan gemuruh penonton yang terhibur dengan persembahannya itu.

Sesuai dengan tajuknya Imbauan, malam itu juga adalah malam mengimbas kembali nostalgia lama. Kedengaran juga ada tetamu yang bernyanyi-nyanyi kecil mengikut lirik yang dilantunkan kedua-dua penyanyi itu. Mungkin ada kenangan manis atau pahit yang terjadi membuatkan lagu yang dinyanyikan malam itu begitu dekat di hati mereka. Selain persembahan memukau Azlina dan Liza, turut cemerlang malam itu ialah Musly.

Azlina Aziz

Dengan pengalaman yang ada, Musly dengan mudah menjadikan pentas itu miliknya menerusi nyanyian dan lakonan bersahaja. Pemilihan Musly sebagai gandingan untuk kedua-dua penyanyi itu memang tepat kerana dia dengan mudah memberikan impak yang begitu baik terutama untuk lagu nostalgia seperti ini. Gaya nyanyiannya yang menyerupai Seniman Agung itu ditambah dengan aksi melucukan membuatkan hadirin yang hadir tak kering gusi dengan telatahnya itu.

Bekas juara Pertandingan Bintang P Ramlee 1984 itu menyampaikan lagu Mengapa Riang Ria bersama Liza dan bergandingan dengan Azlina menerusi lagu Itulah Sayang. Dia juga menyanyikan lagu medley Cinta Sejati, Sejiwa, Jangan Menjeling serta Apek dan Marjinah yang dipetik dari filem Ali Baba Bujang Lapuk. Lagu lain yang dinyanyikan termasuklah Penggodaan, Membelai Asmara, Janji Diikat dan Cahaya. Manakala lagu Seri Dewi Malam, Selendang Sayang serta Bulan Dan Juga Angin adalah lagu yang disampaikan secara instrumental oleh KSPP yang dipimpin oleh Ahmad Muriz Che Rose.

Program yang diterbitkan Hartini Abdullah ini dibuat atas dasar ingin memberi ruang dan peluang kepada pemuzik muda KSPP untuk mengubah kembali lagu dari tahun 1950-an dan 1960-an dalam bentuk simfoni orkestra supaya menjadi lebih segar untuk diperdengarkan kepada penonton. Pada 2008, artis yang terpilih untuk menjayakan program ini ialah Datuk Khatijah Ibrahim.

Persembahan yang berlangsung selama dua malam berturut-turut itu turut dihadiri ramai selebriti tanah air seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Aziz Sattar, Azean Irdawaty, Nassier Wahab, Julie Dahlan, Fetty Dzul, Hail Amir dan Latiff Ibrahim.

Berita Harian

Tiada ulasan: