Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 4 Februari 2010

Kes pasir: 6 termasuk Inspektor didakwa rasuah

SHAH ALAM 4 Feb. - Tiga kakitangan kerajaan termasuk seorang polis berpangkat Inspektor dan tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM21,700 berhubung aktiviti pengeluaran pasir di Hulu Langat sejak dua tahun lalu.

Penolong Pengarah Tanah, Abdul Halim Khailani, 47; Penolong Pengurus Tanah, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., Abd. Wahab Nordin, 55; Inspektor Abdul Amir A. Wahab, 40; Hamzah Che Hassan, 43; Azman Annhar, 43, dan Latifah Mahfodz, 45, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Abdul Halim yang bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat didakwa meminta dan menerima rasuah RM2,000 daripada Khairul Anuar Ahmad, 33.

Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Khairul Anuar yang mengeluarkan pasir tanpa permit di Lot 1519 dan Lot 3654, Batu 19 1/2, Jalan Sungai Lui, Hulu Langat dekat sini.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabatnya dan di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi pada 23 dan 24 April tahun lalu.

Sementara Abd. Wahab yang berkhidmat dengan anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu didakwa menerima suapan RM3,000 daripada Mohd. Shafiq Idrus di Maybank Cawangan Kajang, Jalan Tukang, Pekan Kajang pada pukul 3 petang, 18 September tahun lalu.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk dia memproses permohonan Mohd. Shafiq bertarikh 6 Oktober tahun lalu bagi mengusahakan kawasan pasir di sepanjang Sungai Langat, Sepang.

Abdul Amir pula didakwa atas lima tuduhan menerima suapan sebanyak RM6,200 daripada Lee Keen Seng, 43, dan Wong Yun Fui, 32, antara 6 November 2008 dan 4 Mac tahun lalu.

Ia sebagai dorongan untuk pegawai polis yang bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori pasir milik kedua-duanya yang membawa lebih muatan.

Sementara Hamzah yang didakwa bertindak sebagai orang tengah pula dituduh menerima RM500 daripada Tea Ming Kun, 40, di Restoran & Cafe Anjung, No.70, Jalan Temenggong, Cheras pada pukul 10.30 pagi, 22 Oktober 2009.

Suapan itu didakwa untuk tertuduh membantu mendapatkan permit pengeluaran pasir di Lot 3512 dan Lot 3513 Ulu Sungai Long, Hulu Langat serta bagi pengeluaran pasir di Stock Pile milik kilang Cheras Kaolin Sdn. Bhd. dari Kumpulan Semesta Sdn. Bhd.

Azman dan Latifah, ibu tunggal yang juga suri rumah didakwa bersama-sama meminta rasuah RM10,000 daripada Adnan Abd. Mokhtar, 41, di Restoran Thoiba di Jalan 2, Batu 9, Cheras pada pukul 10 malam, 14 Januari lalu.

Mereka juga didakwa menerima jumlah yang sama daripada Nur Aida Arifin, 24, di Starbuck Coffee, Aeon Cheras Selatan Shopping Centre pada 5.25 petang, 18 Januari lalu.

Wang itu kononnya untuk diberikan kepada penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak mengambil tindakan terhadap Adnan yang menjalankan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah di tanah kerajaan Bukit Enggang, Hulu Langat.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997, Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 24 akta sama. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana satu yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ng Siew Wee. Abdul Halim dan Abdul Wahab diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, Azrul Zulkifli Stork mewakili Abdul Amir, Zainuddin Abdul Razak mewakili Hamzah dan Azman sementara Muhamad Izzam Zailani mewakili Latifah.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan antara RM2,500 dan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 dan 22 Mac ini.

Utusan Malaysia

Peluit:

Saya pernah menyuarakan masalah ini berlaku di Lembah Kinta ia itu Mukim Teja. Sebaiknya kerajaan memantau permasalahan jualan pasir ini yang banyak telah mencemar alam sekitar. Terutama pembiakan ikan di tapak lombong sana.

Kenapa ada kalangan individu mendapat lesen & tidak diuruskan dengan sebaiknya oleh syarikat yang berdaftar.

Tiada ulasan: