Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 4 Februari 2010

Bakar surau, tiga remaja mengaku tak salah


Feb 4, 10 4:37pm
Tiga remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar atas tiga tuduhan membakar dua surau bulan lalu.

Seorang daripada mereka juga dituduh membuat laporan palsu.

Dua daripada tertuduh itu berusia 17 tahun dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala remaja ketiga berumur 16 tahun tetapi sudah berhenti sekolah.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat sehingga menyebabkan kebinasaan di Surau Parit Beting, Jalan Salleh, di Muar, pada kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi, 21 Jan lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh melakukan khianat sama, di Surau Silaturrahim, Jalan Ismail, di Muari, pada jam 2 hingga 3.15 pagi, tarikh yang sama.

Semua mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Lydiana Mansor menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan itu. Beliau menetapkan 6 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, menurut Bernama seorang daripada remaja berumur 17 tahun itu, didakwa atas tuduhan memberikan maklumat secara bertulis palsu di Pejabat Pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada pukul 3.45 pagi, pada tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Lydiana menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 serta 6 April depan untuk sebutan semula.

Tertuduh berumur 17 dan 16 tahun dibebaskan selepas menjelaskan ikat jamin masing-masing manakala seorang lagi juvana berumur 17 tahun gagal menjelaskan wang jaminannya menyebabkan dia dihantar ke Asrama Akhlak Bukit Baru, Melaka.

Pendakwaan terhadap mereka, yang tidak diwakili peguam, dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar.

MalaysiaKini

Tiada ulasan: