Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 8 Februari 2010

Zambry diisytihar MB Perak yang sah


Hafiz Yatim
Feb 9, 10
11:11am

Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Seri Zambry Abd Kadir dari BN adalah menteri besar Perak yang sah.

Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut.

Yang lainnya ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Istana Keadilan di Putrajaya, menjadi tumpuan sejak jam 7 pagi tadi apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan pas masuk ke dewan mahkamah. Begitu juga penyokong BN dan Pakatan.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan hujah para peguamnya selama enam jam, tetapi telah menangguhkan keputusannya.

Sebelum itu, mahkamah telah menolak permohonan Nizar supaya panel penuh 11 orang hakim atau tambahan bilangan panel hakim, untuk mendengar kesnya itu.

BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak apabila tiga ADUN Pakatan rakyat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Berikutan itu, Pakatan telah membawa perkara itu ke mahkamah.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan bahawa Nizar merupakan menteri besar Perak yang sah.

Zambry kemudiannya membuat rayuan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, dengan alasan hakim berkenaan telah gagal untuk mengambilkira keseluruhan bukti yang dikemukakan.

Nizar diwakili oleh para peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Zambry.

MalaysiaKini

Tiada ulasan: