Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2010/03/27
JPA perketat permohonan berikutan kedudukan kewangan semasa, elak kekurangan pegawai terlatihPUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP). Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran, sekali gus seperti sebelum ini. Katanya, baki ganjaran akan dibayar bergantung kepada keputusan kerajaan, tetapi tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit.
Namun, Yeow berkata, kelonggaran kakitangan menerima ganjaran penuh ketika bersara pilihan hanya diberikan bagi kes khusus, iaitu membabitkan keperluan rawatan perubatan petugas atau keluarga, perbelanjaan pendidikan sendiri atau keluarga dan kakitangan memerlukan wang untuk mengelakkan daripada tindakan bankrap yang semuanya memerlukan bukti bertulis.
Beliau berkata, kali pertama JPA mengambil langkah sama ialah pada 1998 berkuat kuasa selama 18 bulan.
Yeow berkata, JPA perlu meminimumkan jumlah kakitangan bersara pilihan demi kepentingan jentera pentadbiran berikutan inisiatif GTP yang sedang dilaksanakan, sekali gus mengelakkan jabatan kehilangan tenaga kerja berpengalaman.
"Waktu ini adalah era perkhidmatan awam yang penuh cabaran dan kerajaan sedang melakukan pelbagai penambahbaikan dalam skim perkhidmatan awam untuk menangani keadaan semasa," katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, kerajaan membayar RM1.1 bilion setahun ganjaran kepada kakitangan yang bersara pilihan dan pencen wajib, tetapi dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion tahun ini apabila kumpulan pertama yang usia bersara wajib dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun bersara mulai 1 Julai ini.
Yeow juga menjelaskan bersara pilihan adalah keistimewaan yang dipertimbangkan bagi kakitangan sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan dan keadaan kewangan negara.
Beliau berkata, bagi tempoh antara 1 Februari tahun ini hingga Khamis lalu, JPA menerima 426 permohonan bersara pilihan dan 200 daripadanya diluluskan dengan bayaran ganjaran 20 peratus yang membabitkan penangguhan bayaran sebanyak RM11.5 juta.
Sebanyak 121 permohonan lagi diluluskan dengan pembayaran ganjaran penuh, manakala 105 menarik balik permohonan yang membabitkan penangguhan bayaran ganjaran RM9.3 juta.
Pada masa ini, ada 1,253,026 kakitangan termasuk anggota polis dan tentera dalam perkhidmatan awam. Tahun lalu, 3,553 kakitangan awam bersara pilihan, 2,991 pada 2008, 3,331 pada 2007, 3,306 pada 2006 dan 3,033 pada 2005. Selain itu, kira-kira 15,000 kakitangan awam bersara wajib setiap tahun.
Sementara itu, dalam surat edaran JPA bertarikh 25 Januari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata baki ganjaran 80 peratus akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan tetapi tidak melampaui umur persaraan wajib kakitangan terbabit.
Bagaimanapun, wang untuk gantian cuti rehat dan pencen bulanan akan dibayar mengikut undang-undang.
Berita Harian






























Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas setiausaha politik menteri kanan (Gambar kiri - Hasbie Satar) yang ditahan bersama wang tunai 


"Saya SUDI". Kartika menegaskan pendiriannya bahawa beliau tidak akan membuat rayuan ke atas hukuman sebat yang dikenakan ke atasnya kerana minum arak. Kartika menegaskan bahawa rayuan kepada Sultan Pahang tidak akan dibuat olehnya sekalipun ditawarkan oleh Mahkamah Shariah dan Tengku Mahkota.

TASEK GELUGOR, 9 Mac: Biarpun dua tahun pakatan rakyat memerintah Pulau Pinang, Umno dan Barisan Nasional (BN) masih dilihat 'gila talak' dan sukar menerima hakikat mereka kini bergelar pembangkang di negeri itu.
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu Kementerian Pelajaran Malaysia (MOE) memansuhkan bayaran bagi permohonan untuk menduduki Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia (Malaysian Teacher Selection Test - MTeST). DPPWP mempersoalkan kewajaran bayaran permohonan seperti yang diminta oleh MOE itu. Menurut iklan yang dikeluarkan oleh Kementerian berkenaan sebelum ini, para pemohon dikehendaki membuat bayaran RM 6 dikaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mendapatkan nombor Pengenalan Individu (PIN) sebelum dibenarkan mengisi borang permohonan secara on-line.