Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 12 Mac 2010

Kes cerai talak tiga bukan difailkan Sultan Kelantan


Mac 11, 10 4:19pm

Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, hari ini mengesahkan bahawa kes perceraian talak tiga Sultan Kelantan terhadap isteri keduanya, Che Puan Elia Suhana Ahmad, bukan difailkan sendiri oleh baginda.

Ketua Pendaftarnya, Abu Bakar Abdullah Kutty berkata kes itu difailkan oleh seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, yang bertindak sebagai plaintif.

Katanya dari segi prosedur, pendaftaran itu sah dan pihak pendaftar mahkamah boleh menerima permohonan memfailkan kes perceraian itu tanpa mengira siapakah individu berkenaan.

"Soal keputusan sama ada perceraian itu sah atau tidak mengikut undang-undang Islam, bergantung kepada keputusan Mahkamah yang akan mendengar kes berkenaan.

"Saya hanya boleh mengesahkan menerima permohonan untuk mendaftar kes penceraian antara Sultan Kelantan dengan isteri keduanya, Che Puan Elia... berdasarkan dokumen dan fail yang ada pada saya... itu saja," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, hari ini, lapor Bernama.

Abu Bakar bagaimanapun enggan menjelaskan siapakah Nik Rorhana serta pertalian hubungan dengan Sultan Kelantan bagi membolehkan beliau bertindak memfailkan permohonan cerai itu.

Beliau diminta mengulas mengenai status kes tuntutan perceraian talak tiga yang didakwa difailkan oleh Sultan Kelantan di Mahkamah Tinggi Syariah, Selasa lalu.

Dua hari lalu, peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pihaknya telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Elia Suhana di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

Dalam kenyataan itu Zainul Rijal berkata mereka telah dititahkan oleh Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai berkenaan antara Tuanku dan Elia Suhana.

Zainul Rijal dalam kenyataan itu berkata baginda tuanku telah melafazkan sendiri cerai talak tiga tersebut terhadap Elia Suhana pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa saksi dan mahkamah menetapkan 21 Mac ini bagi mendengar permohonan berkenaan.

Abu Bakar berkata Nik Rorhana, dari Taman Petranis, Jalan Sultanah Zainab II, Kota Baharu, bertindak selaku plaintif manakala Elia Suhana dinamakan defendan.

"Tuanku bukan sebagai pihak yang mendakwa, tidak sebagaimana yang laporkan dalam media sebelum ini.

"Dari prosedur, kita boleh terima pendaftaran ini, sekiranya ada dalam peruntukan dan tidak dihalang oleh Perlembagaan," katanya. Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Elia Suhana, 31, musykil dengan kesahihan lafaz cerai yang difailkan oleh peguam suaminya semalam kerana beliau mendakwa pada ketika itu Tuanku Ismail Petra sedang gering.

Utusan memetik peguam Elia Suhana - Fakhrul Azman Abu Hasan - sebagai berkata, perkara tersebut disampaikan oleh anak guamnya itu selepas permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan dilaporkan secara meluas oleh media semalam.

Katanya, beliau telah memberitahu anak guamnya mengenai permohonan itu selepas membaca laporan akhbar.

Tiada ulasan: