Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 27 Mac 2010

Syarat baru bersara pilihan

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

2010/03/27

JPA perketat permohonan berikutan kedudukan kewangan semasa, elak kekurangan pegawai terlatih

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP). Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran, sekali gus seperti sebelum ini. Katanya, baki ganjaran akan dibayar bergantung kepada keputusan kerajaan, tetapi tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit.

Namun, Yeow berkata, kelonggaran kakitangan menerima ganjaran penuh ketika bersara pilihan hanya diberikan bagi kes khusus, iaitu membabitkan keperluan rawatan perubatan petugas atau keluarga, perbelanjaan pendidikan sendiri atau keluarga dan kakitangan memerlukan wang untuk mengelakkan daripada tindakan bankrap yang semuanya memerlukan bukti bertulis.

Beliau berkata, kali pertama JPA mengambil langkah sama ialah pada 1998 berkuat kuasa selama 18 bulan.

Yeow berkata, JPA perlu meminimumkan jumlah kakitangan bersara pilihan demi kepentingan jentera pentadbiran berikutan inisiatif GTP yang sedang dilaksanakan, sekali gus mengelakkan jabatan kehilangan tenaga kerja berpengalaman.
"Waktu ini adalah era perkhidmatan awam yang penuh cabaran dan kerajaan sedang melakukan pelbagai penambahbaikan dalam skim perkhidmatan awam untuk menangani keadaan semasa," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, kerajaan membayar RM1.1 bilion setahun ganjaran kepada kakitangan yang bersara pilihan dan pencen wajib, tetapi dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion tahun ini apabila kumpulan pertama yang usia bersara wajib dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun bersara mulai 1 Julai ini.

Yeow juga menjelaskan bersara pilihan adalah keistimewaan yang dipertimbangkan bagi kakitangan sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan dan keadaan kewangan negara.

Beliau berkata, bagi tempoh antara 1 Februari tahun ini hingga Khamis lalu, JPA menerima 426 permohonan bersara pilihan dan 200 daripadanya diluluskan dengan bayaran ganjaran 20 peratus yang membabitkan penangguhan bayaran sebanyak RM11.5 juta.

Sebanyak 121 permohonan lagi diluluskan dengan pembayaran ganjaran penuh, manakala 105 menarik balik permohonan yang membabitkan penangguhan bayaran ganjaran RM9.3 juta.

Pada masa ini, ada 1,253,026 kakitangan termasuk anggota polis dan tentera dalam perkhidmatan awam. Tahun lalu, 3,553 kakitangan awam bersara pilihan, 2,991 pada 2008, 3,331 pada 2007, 3,306 pada 2006 dan 3,033 pada 2005. Selain itu, kira-kira 15,000 kakitangan awam bersara wajib setiap tahun.

Sementara itu, dalam surat edaran JPA bertarikh 25 Januari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata baki ganjaran 80 peratus akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan tetapi tidak melampaui umur persaraan wajib kakitangan terbabit.

Bagaimanapun, wang untuk gantian cuti rehat dan pencen bulanan akan dibayar mengikut undang-undang.

Berita Harian

Tiada ulasan: