Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 10 Mac 2010

Zulkifli tarik diri wakili Anwar


KUALA LUMPUR 9 Mac – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini menarik diri daripada mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam permohonan qazaf beliau berkuat kuasa serta-merta.

Pendirian Zulkifli itu dibuat sehari selepas beliau mengkritik isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail kerana tidak mempertahankan beliau dalam isu kalimah Allah sehingga dipecat daripada parti pada Sabtu lalu.

Zulkifli memaklumkan penarikan diri itu dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan dan telah dimuat naik dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com/, petang ini.

“Dimaklumkan bahawa berdasarkan kedudukan mutakhir yang sedia dimaklumi, saya tidak bersedia mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kes permohonan di atas (qazaf).

“Saya dengan ini memaklumkan menarik diri dan terhenti daripada mewakili dan/atau bertindak sebagai peguam syarie Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa serta merta,” tulisnya dalam surat berkenaan.

Dalam surat berkenaan, Zulkifli turut memohon kebenaran dan kemaafan pihak Pendaftar Mahkamah itu untuk tidak hadir pada sebutan kes yang dijadualkan esok.

Salinan surat berkenaan turut dihantar kepada peguam syarie Anwar, Tetuan Kamar Ainiah, Raziff & Zashidi, peguam syarie responden, Tetuan Zainul Rijal & Associates dan Anwar sendiri.

Pada 7 Januari lalu, Anwar memfailkan permohonan qazaf bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain supaya mendakwa Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan tuduhan qazaf kerana mendakwa diliwat Penasihat PKR itu.

Beliau menamakan Shamsuddin, Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom sebagai responden pertama hingga ketiga.

Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki.

Seksyen ini adalah bagi mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.

Utusan

Tiada ulasan: