Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 12 Mac 2010

Sanggup tidur di surau

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

2010/03/12

CYBERJAYA: Pengorbanan seorang bapa yang sanggup ‘berkampung’ kira-kira sebulan di surau sekolah hanya bagi menemani anaknya yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbaloi apabila pelajar itu diumumkan antara tiga pelajar terbaik di Sekolah Seri Puteri di sini, semalam.

Pendekatan dilakukan bapa Noor Khairin Nazifa Khalid, 18, dari Marang, Terengganu memberi sokongan moral kepadanya untuk melakukan yang terbaik bagi membalas jasa dan pengorbanan bapa yang sanggup meredah perjalanan sejauh kira-kira 400 kilometer semata-mata untuk menemaninya.

Noor Khairin berkata, bapanya Khalid Abdullah, 59, yang juga seorang kontraktor sanggup tinggal dalam keadaan tidak selesa di surau sekolah bagi memastikan dia sentiasa berada di samping anak bongsu lima beradik itu.

“Kehadiran ayah memberi sokongan kepada saya dan rakan lain untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Malah, rakan saya amat menyenangi kehadiran bapa yang dianggap sebagai pengganti ibu bapa masing-masing.

“Alhamdulillah, kejayaan memperoleh 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil hadiah paling istimewa untuk bapa dan ibu, Che Mek Kamariah Che Yem,” katanya.

Noor Khairin yang bercita-cita menjadi doktor gigi berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua atau kaedah tertentu selain memperbanyakkan belajar secara berkumpulan dan mematuhi jadual belajar yang dibuat bagi mendisiplinkan diri.

Selain Noor Khairin, dua lagi rakan sekelasnya Nur Syazwani Aiman Abu Bakar dari Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Nor Ashikin Mohd Tahir dari Seremban, Negeri Sembilan turut mengharumkan nama sekolah terbabit apabila memperoleh keputusan 9A+ dalam semua mata pelajaran.

Nur Syazwani berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh hasil usahanya yang bijak menyeimbangkan waktu belajar dan bersosial bagi mengelakkan diri tertekan terutama sebelum menghadapi peperiksaan.

Harian Metro

Tiada ulasan: