Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 7 September 2009

Filem komedi lebih sukses




SETIAP tahun menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, penerbit-penerbit filem tempatan akan berebut-rebut dengan harapan filem mereka akan dipilihkan untuk mengisi ruang pawagam pada musim perayaan.

Saingannya cukup hebat kerana hanya dua buah filem menerusi Skim Wajib Tayang yang disyaratkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan dipilih untuk mengisi skrin besar selama dua minggu itu.

Tidak seperti Hollywood yang menerbitkan filem-filem khas sempena sambutan Hari Krismas dan Hong Kong yang menceriakan audiens dengan karya Tahun Baru Cina, Malaysia sebenarnya tidak mempunyai filem yang boleh diklasifikasikan sebagai filem raya. Maka, ini membuatkan orang ramai beranggapan filem yang ditayangkan sepanjang perayaan itu adalah filem raya.

Walaupun tidak mempunyai filem yang dibuat khas untuk santapan hari raya, penerbit yang menyimpan impian untuk menayangkan produk mereka pada jangkamasa itu terlebih dahulu sudah mempunyai modul yang bersesuaian dengan tema hari raya dalam cerita mereka.

Elemen komedi, fantasi, kekeluargaan dan lebih bersifat ketimuran menjadi resipi utama yang diambil kira penerbit jika mereka mahu karya taruhan itu berjaya di pawagam. Itu pandangan tiga penerbit terkemuka negara, David Teo (Metrowealth Movies Production), Norman Abdul Halim (KRU Studios) dan Ahmad Puad Onah (Primeworks Studios Sdn Bhd dulu dikenali sebagai Grand Brilliance).

Mengikut sejarah, statistik kutipan untuk filem-filem yang ditayangkan semasa raya mencatatkan lebih 30 peratus keuntungan berbanding filem-filem tempatan yang ditayangkan pada hari biasa. Itu menjadi salah satu sebab ramai penerbit bersaing untuk mendapat slot itu.

Menurut David: "Penerbit memilih slot semasa hari raya kerana ia satu bonus untuk kutipan filem. Ditambah lagi jika filem itu berkualiti, kutipannya pasti lebih tinggi daripada sasaran box-office."


MOMOK THE MOVIE


Norman yang mempertaruhkan filem raya pertama kali ini, Jin Notti mengakui karya itu sebenarnya sudah lama siap dibikin, namun, disebabkan mahu menunggu slot raya, filem itu hanya akan ditayangkan pada 20 September ini, iaitu pada hari raya pertama.

"Seperti penerbit lain, kami mahu menunggu hari raya kerana cuti panjang. Dalam jangkamasa itu, ramai orang akan balik kampung dan mereka perlu mengisi masa lapang selain daripada berkunjung ke rumah sanak-saudara.

"Jadi ramai yang akan memilih untuk melepak di pusat beli-belah. Maka, musim perayaan menawarkan satu pakej yang baik kerana orang ramai mempunyai mood untuk keluar berhibur bersama kawan-kawan dengan menonton filem Melayu terbaru di pasaran," katanya.

Bagi Ahmad Puad Onah, rebutan slot raya itu bagaikan sudah menjadi satu tradisi. Ini kerana penerbit memahami polar penonton yang gemar mengisi ruang pawagam terutama remaja, selepas mendapat duit raya.

"Apabila anak-anak dapat duit raya dan sedang bercuti, mereka akan mengambil kesempatan untuk keluar menonton wayang. Inilah masa untuk mereka bergerak bebas dengan kawan-kawan atau meluahkan masa bersama keluarga.

"Malah, rekod kutipan sebelum itu membuktikan, dua filem yang ditayangkan serentak semasa raya selalunya akan mencatatkan kutipan RM5 juta walaupun kedua-duanya tidak akan mendapat pulangan seimbang," kata Ahmad Puad Onah.

Filem-filem terbitan Metrowealth seperti Mami Jarum (2002), Anak Mami Kembali (2005) dan Senario The Movie: Episode 1 (2008) adalah contoh filem yang disukai oleh penonton semasa raya. Tapi David tidak hanya bergantung kepada tayangan semasa raya untuk mengaut keuntungan kerana ada filem raya sebelum itu terlingkup begitu sahaja.


SENARIO THE MOVIE: EPISOD 1


"Walaupun filem-filem yang ditayangkan semasa raya mempunyai peluang lebih cerah untuk mencatat box-office, tetapi kutipannya tidak semestinya tinggi. Contohnya seperti filem Jangan Pandang Belakang Congkak (2009) yang berjaya mengutip RM6.3 juta dan ia tidak ditayangkan semasa raya.

"Filem Senario The Movie: Episode 1 (2008) sebaliknya hanya mencatat kutipan RM4.8 juta. Metrowealth juga ada mengedarkan filem Budak Lapok pada tahun 2007. Filem itu gagal di pawagam.

"Nasib yang sama juga diterima oleh filem Cinta 200 Ela yang ditayangkan pada tahun 2002. Ini kerana ada filem yang lebih bersesuaian dengan mood raya iaitu Mami Jarum ditayangkan pada sambutan raya itu. Maka, tayangan pada hari raya sahaja tidak cukup untuk memberi jaminan," kata David.

Menggabungkan Mawi, Fara Fauzana dengan kehebatan kesan khas dalam filem komedi fantasinya, Norman yakin orang ramai akan menonton Jin Notti kerana pakej yang ditawarkan. Namun, dia mempunyai pendapat sama seperti David dari segi kandungan filem raya.

Beritahu Norman, genre untuk filem raya juga penting dalam menarik perhatian penonton. Ketika beraya, tidak ramai yang mahu menonton filem berbentuk drama berat, seram atau sedih. Apa yang penting adalah elemen komedi dan kaya dengan mesej kekeluargaan.

Ahmad Puad Onah yang menyenaraikan filem seperti I Know What You Did Last Raya (2004), Nana Tanjung (2006) dan Senario The Movie: Episode 1 (2008) dengan kerjasama Metrowealth sebagai antara filem raya paling berjaya untuk syarikat yang diterajuinya turut percaya dengan keperluan elemen komedi sebagai pengisi panggung raya.

"Kalau orang mahu tengok cerita sedih, mereka boleh menonton TV secara percuma. Banyak program dan drama serta telefilem yang akan membuatkan penonton mengalirkan air mata. Tapi kepada mereka yang membayar RM10 untuk ke pawagam, mereka mahu berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan.

"Jika terlalu berat atau urban seperti filem KAMI (2008) yang gagal tahun lalu, ia tidak boleh diterima semua lapisan penonton. Filem itu hanya untuk penonton bandar dan ironinya semasa hari raya, ramai orang luar bandar yang keluar menonton filem. Maka, menjaga selera penonton luar bandar amat penting dalam pembikinan filem," katanya.

Menyasarkan tayangan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys yang diterbitkan dengan kerjasama Metrowealth dan Primeworks Studios untuk menceriakan audiens pada hari raya ini, namun disebabkan kelewatan seminggu, filem lain terlebih dahulu mendapat slot raya itu.

Maka filem Senario The Movie Episode 2: Beach Boys itu hanya akan ditayangkan pada 19 November nanti.

"Walaupun tahun ini Metrowealth tidak ada filem raya, tapi kami ada mengedarkan filem Momok The Movie. Kami amat yakin dengan filem itu kerana ia mengandungi elemen seram komedi serta ketimuran. Rasanya ia lebih sesuai untuk ditonton bersama keluarga.

"Setiap tahun ramai penerbit inginkan slot raya. Tapi filem itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) empat bulan sebelum tayangan. Malangnya Senario dihantar lambat seminggu," jelas David.

Walaupun dengan lambakan tayangan filem di kaca TV semasa raya, ketiga-tiga penerbit itu bagaimanapun yakin dengan perkembangan industri perfileman yang boleh dilihat menerusi penambahan pawagam.

Kata mereka, ramai orang masih memilih untuk menyaksikan filem semasa raya kerana mahu aktiviti itu boleh mengintimkan hubungan antara keluarga serta sahabat-handai. Saingan filem di kaca TV sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan.

Menurut Norman, "Saya yakin orang ramai masih akan pergi ke pawagam. Semua orang tahu pengalaman menonton filem di skrin besar memberikan pengalaman berbeza berbanding TV.


DAVID TEO


"Ditambah dengan filem-filem yang ditayangkan di kaca TV adalah karya lama, tuntutan penggemar filem yang mahukan udara segar tetap memilih panggung wayang untuk menonton."

Persoalannya kali ini, mampukah Momok The Movie dan Jin Notti mengaut keuntungan bersandarkan slot hari raya?

Menoleh sejarah filem raya seperti Senario The Movie: Episode 1 dan KAMI (2008), Otai dan Budak Lapok (2007) serta Bilut dan Diva Popular (2006), dapat disimpulkan bahawa lebih banyak yang filem yang gagal berbanding berjaya. Terkecualikah Momok The Movie dan Jin Notti daripada kelompok filem yang gagal? Musim Aidilfitri 2009 bakal memberikan segala kepastian.

Kosmo!

Tiada ulasan: