Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Ahad, 6 September 2009

Industri seks dorong eksploitasi


KANAK-KANAK di kem pelarian juga berisiko untuk diseludup oleh pihak penjenayah terancang. - Gambar hiasan


TERPEDAYA kepada janji indah tentang peluang pekerjaan dan anggapan palsu bahawa keluarga sanggup menerima apa sahaja tindakan demi sokongan ekonomi adalah antara penyebab sebuah kehidupan boleh terjerumus dalam kekesalan.

Mungkin muslihat itu terlalu biasa, namun rumusan itu paling tepat jika hendak mengulas mengenai mereka yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan.

Bukan sekadar orang dewasa, kes penyeludupan terutamanya bagi tujuan eksploitasi seks turut melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja.

Walaupun kes seumpamanya sering dilaporkan dalam media, data sebenar statistik mengenai kanak-kanak yang diseludup masuk dan keluar negara ini masih samar.

Sebuah kajian kumpulan bebas menganggarkan terdapat hingga kira-kira 32,000 orang diseludup di Sabah. Data itu walau bagaimanapun tidak mengasingkan angka penyeludupan kanak-kanak dan orang dewasa.

Malaysia tidak terkecuali disenarai sebagai transit dan destinasi bagi sindiket penyeludupan dari sekitar negara-negara Asia Tenggara.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat golongan remaja seawal usia 16 hingga 17 tahun yang turut menjadi mangsa,” ujar koordinator Tenaganita, Aegile Fernandez.

Tanpa usaha mempertingkat penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran dalam masyarakat, tidak mustahil jika ada di kalangan wanita dan kanak-kanak yang berada di negara ini sedang dibawa keluar ke negara-negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Kanada, Amerika Syarikat dan Australia untuk ‘didagangkan’.

Taktik perkahwinan

Pada masa yang sama, wanita dan kanak-kanak dari Kemboja, China, Colombia, Ecuador, India, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Rusia, Thailand, Uzbekistan dan Vietnam pula dibawa melepasi pintu sempadan negara untuk dilacurkan atau dibekalkan sebagai tenaga buruh paksa.

Menurut Aegile, sindiket itu didalangi kumpulan tertentu yang bertindak dalam rangkaian antarabangsa.

Pencabulan hak dan maruah ini masih berlangsung dalam diam kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi golongan bawah umur untuk disalurkan ke rumah-rumah pelacuran.

Latar belakang penyeludup ini terdiri daripada orang atau kumpulan yang tidak dikenali ataupun yang dikenali oleh mangsa, seperti saudara mara, kawan atau individu yang menyamar seperti teman lelaki atau wanita.

“Penyeludup ini ada yang dikenali sebagai ejen yang menawarkan peluang pekerjaan di negara lain.

“Pernah dilaporkan tentang kes seorang lelaki yang menggunakan taktik perkahwinan untuk membawa keluar ‘isterinya’ itu ke negara destinasi penyeludupan seks,” terang Aegile.

Di Malaysia, kumpulan jenayah terancang antarabangsa dipercayai terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak negara ini ke negara lain melalui penyediaan dokumen diri dan dokumen perjalanan palsu.

“Dengan banyak kes laporan penculikan kanak-kanak serta remaja yang hilang di negara ini, kami bimbang sekiranya ia mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket tersebut,” ujarnya.

Jabatan Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNODC) melaporkan bahawa dari tahun 2003 hingga 2006, lebih kurang 160 orang telah disabitkan kesalahan menculik dan menyeludup kanak-kanak.

Majoriti daripada jumlah pesalah itu menyeludup kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi seks. Gadis-gadis daripada kumpulan etnik pribumi dan yang berasal dari kawasan pedalaman juga cenderung untuk ditipu.

Dari sudut lain, faktor kemiskinan, keganasan domestik, pengabaian, diskriminasi serta keinginan untuk mengecapi kehidupan yang lebih senang membuatkan golongan usia muda ini mudah terpedaya.

Asingkan mangsa

Kanak-kanak menjadi sasaran utama penipuan ini kerana mereka lazimnya tidak berpendidikan, mudah dikuasai dan tidak sukar dipengaruhi melalui pujukan.

Usia mentah juga meletakkan mereka dalam pertimbangan situasi yang kononnya mereka perlu melakukan sesuatu untuk keluarga.

Ada kanak-kanak yang beranggapan bahawa keluarga ‘membenarkan’ mereka dijual atau dibawa pergi untuk membantu keluarga.

Kanak-kanak sama ada di jalanan atau di kem pelarian, kanak-kanak yang datang daripada keluarga dan komuniti yang pincang moral serta tanpa jagaan adalah berisiko tinggi untuk diseludup.

Bergantung kepada tujuan penyeludupan, sesetengah negara dikenal pasti sebagai sumber untuk ‘penghantaran’ mangsa, sementara ada negara yang bertindak sebagai ‘transit’ manakala sesetengahnya ‘destinasi’ penyeludupan. Malaysia dilabel sebagai negara yang menjalankan ketiga-tiga aspek tersebut.

Walaupun Kerajaan Malaysia mempunyai undang-undang antipenyeludupan manusia dan telah membina kemudahan sokongan bagi mangsa, ia perlu dikuatkuasakan dalam skala yang lebih hebat demi menangani pelbagai dimensi ancaman penyeludupan.

Ini termasuklah mengasingkan mangsa penyeludupan secara berasingan daripada golongan pendatang yang ditahan kerana memasuki sempadan negara tanpa permit dan pesalah industri pelacuran.

“Kita juga perlu menyediakan kem perlindungan dan mekanisme penghantaran pulang yang lebih selamat dan berkesan bagi memastikan mangsa-mangsa penyeludupan itu tidak terdedah kepada ancaman lanjutan atau hukuman yang tidak sewajarnya,” jelas Aegile.

Undang-undang yang dikuatkuasakan itu juga tidak seharusnya memberi pengecualian pendakwaan dan hukuman bagi individu berpengaruh yang menerima imbuhan atau terlibat secara langsung dengan penyeludupan dan eksploitasi mangsa.

Kosmo!

Tiada ulasan: