Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 30 September 2009

Umie Aida nikah Januari 2010 (Hiburan)


KUALA LUMPUR: Cincin tunang bertatahkan berlian daripada koleksi jenama mewah, Chopard mengikat pelakon jelita, Umie Aida atau Umie Kalsom Rahmad dengan putera idamannya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, malam tadi.

Cincin jenama kegemarannya itu disarungkan sendiri bakal ibu mentua, Balkish Ahmad, 70, dalam majlis pertunangan yang dilangsungkan dalam suasana ringkas, namun romantis bertemakan putih dan biru di kediaman mewah I-Zen, Mont Kiara.

Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik 2003 (Festival Filem Malaysia ke-16) itu yang pernah kecundang beberapa kali dalam percintaan kelihatan cukup manis dan anggun dengan persalinan biru firus rekaan Bill Keith.

Apabila ditemui di akhir majlis, Umie Aida memaklumkan media majlis pernikahannya akan diadakan pada Januari 2010.

Bagaimanapun, tunangan Umie Aida yang mesra disapa Abang K tidak hadir berikutan menghormati adat Melayu selain tidak sedia berhadapan dengan media.

“Insya-Allah, kami akan bernikah awal Januari tahun depan. Bagaimanapun, saya seorang yang suka berterus-terang dan di sini ingin memaklumkan majlis pernikahan kami hanya membabitkan keluarga kedua-dua pihak saja.

“Maaf kerana tidak dapat mengundang media kerana hasil perbincangan kedua-dua pihak, kami memutuskan agar diberikan sedikit ruang dan berharap wartawan dapat menghormati pendirian kami.

“Bagaimanapun, kami cuba memberikan kerjasama dengan memberi maklumat mengenai pernikahan itu nanti. Bagaimanapun, jangan risau kerana pada majlis persandingan nanti, pihak media pasti dijemput,” katanya.

Umie yang pernah menyatakan keengganan mendirikan rumah tangga sebelum ini turut berkongsi keistimewaan tunangan yang menduda 16 tahun sehingga dia terpikat dan terfikir untuk berkahwin.

“Saya nampak keikhlasannya bukan saja menerima diri saya seadanya, tetapi memikul tanggungjawab yang saya pikul selama ini.

“Saya lihat Abang K melakukan sesuatu tanpa perlu saya paksa. Dia sendiri berusaha menambat hati anak-anak begitu juga keluarga. Mungkin kerana itulah hati saya terpaut,” katanya yang mempunyai dua anak angkat Mohd Daniel Firdaus, 15 dan Mohd Dzulhelmy, 14.

Harian Metro

Tiada ulasan: