Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 4 September 2009

Hormat dan biadab di MTV

HIBURAN


SEGMEN khas bersama Michael Jackson memberikan kesan emosi tersendiri kepada penonton.


TIDAK seperti kebiasaan penganjuran majlis anugerah MTV Video Music umpama sebelum ini, acara yang berlangsung di dewan Radio City Music, New York Ahad lalu dilihat menjadi momen penuh dramatik apabila penghormatan kepada Raja Pop, Michael Jackson dipersembahkan.

Walaupun selepas dua bulan pemergian Michael, namun peminat termasuk selebriti lain tidak pernah sesekali melontarkan ingatan mereka terhadap penghibur kesayangan ramai itu.


DALAM persembahannya yang lincah, Janet kelihatan cukup terkesan dengan pemergian adik kesayangannya.


Anugerah MTV Video Music itu dimulakan dengan persembahan penghargaan daripada penyanyi terkenal, Madonna kepada Michael yang meninggal dunia pada usia 50 tahun.

"Kebanyakan daripada kita seperti melupakan kehebatan dia (Michael) semasa hayatnya.

"Dia merupakan seorang lelaki yang unik, tulen, istimewa, jarang ditemui dan sudah pasti tiada orang lain yang mampu menggantikan takhtanya.

"Michael ialah seorang raja," kata Madonna sempat mengimbas kenangan manis bersama Michael sebelum ini sewaktu memulakan ucapan pada majlis berkenaan.

Terus membutir bicara, Madonna menganggap Michael mampu membuatkan sesiapa sahaja yang mendengarkan lagu-lagunya untuk menari sama sekali gus membuatkan kita mempercayai diri mudah terleka dengan setiap hasil karyanya.


AKSI rakus Kanye 'merampas' mikrofon daripada Taylor mencemarkan acara.


Selepas memberikan pujian kepada Michael, Madonna sempat melahirkan sedikit kekesalan kerana tidak berpeluang berada di sisi Michael sewaktu dia sedang kesusahan.

Michael sebelum ini menjadi individu terpenting yang mempromosikan muzik video MTV miliknya sekitar tahun 80-an. Lantaran itu, penghargaan yang diberikan anugerah muzik video itu dilihat cukup bertepatan dengan bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Anugerah MTV Video Music itu tidak terkecuali menayangkan sedikit adegan yang dimuatkan dalam sebuah dokumentari istimewa tentang Michael yang dijangka bakal menemui umum bulan Oktober ini.

Paling menarik, peminat boleh menyaksikan paparan aksi Michael semasa dia sedang menjalankan latihan untuk konsert yang tidak sempat direalisasikan.


BEYONCE (kiri) memanggil Taylor sekali lagi ke pentas dan memintanya menghabiskan ucapan yang terhenti gara-gara sikap biadab Kanye.


Walaupun acara penghormatan kepada Michael itu diadakan dalam waktu singkat, hakikatnya hadirin yang berada dalam dewan berasa puas hati. Masakan tidak, mereka dapat melepaskan kerinduan kepada Michael yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu.

Kebiadapan Kanye cemari majlis

Atmosfera mendamaikan yang pada awalnya mengisi segenap ruang anugerah MTV Video Music itu bagaimanapun tercemar dengan sikap penyanyi rap popular, Kanye West.

Keadaan itu dapat disaksikan oleh semua penonton termasuk yang menyaksikan secara langsung di kaca televisyen apabila penyanyi yang berasal dari Amerika Syarikat, Taylor Swift diumumkan sebagai pemenang anugerah Video Muzik Terbaik Wanita menerusi lagu You Belong With Me.

Seperti manusia yang tidak mempunyai adab sopan, Kanye terus menaiki pentas tanpa diundang sewaktu Taylor sedang menzahirkan kata-kata tentang kemenangan yang diraih itu.


MADONNA berdiri ketika memberikan ucapan tentang Michael Jackson, seorang sahabat yang telah diabaikan.





Tidak berpuas hati dengan kemenangan Taylor yang berjaya menyingkirkan Beyonce Knowles dan Lady Gaga untuk kategori sama membuatkan Kanye mula naik angin dan rasa tidak berpuas hati.

Kanye yang memang terkenal dengan mulut lantangnya sewaktu berbicara melompat ke atas pentas dan merampas mikrofon Taylor sambil berkata: "Saya benar-benar gembira di atas kemenangan anda ini. Tetapi video muzik Beyonce lebih berhak untuk menang."

Gara-gara Kanye, gadis jelita itu terus tergamam dan tidak berkesempatan untuk melahirkan ucapannya di atas kemenangan itu dan Kanye dinasihatkan untuk meninggalkan majlis itu.

Ada sumber yang memberitahu, Kanye dilihat sudah tidak mampu mengawal diri semasa masih berada di karpet merah lagi kerana terlebih mengambil minuman beralkohol. Sikapnya pada majlis MTV Video Music itu sudah kelihatan seperti seorang badut yang berada dalam sarkis. Itu ayat paling tepat yang menggambarkan dirinya!

Hadirin yang berada dalam dewan bagaimanapun secara terang-terangan melaungkan perasaan kurang senang terhadap Kanye saat namanya disebut pengacara untuk membuat persembahan.

Beyonce mulai mengambil alih pentas anugerah MTV Video Music dengan mendendangkan lagu Single Ladies (Put a Ring on It) sambil memanggil teman lamanya yang merupakan ahli kumpulan Destiny's Child untuk menyanyi sama di pentas

Tahu hati Taylor barangkali terluka dengan perbuatan biadap Kanye, maka Beyonce pantas memanggil Taylor semula ke atas pentas untuk menamatkan ucapan yang terhenti gara-gara 'tragedi' dimalukan pada awal majlis.

"Saya mahu Taylor naik ke atas pentas dan menikmati saat manisnya sebagai pemenang," ujar Beyonce ringkas sambil Taylor segera mengucapkan terima kasih kepada sekalian pemujanya.

Anugerah MTV Video Music itu turut menyenaraikan Beyonce, Lada Gaga dan Green Day masing-masingnya memenangi tiga anugerah sekali gus berjaya menakluk majlis gilang-gemilang yang dihoskan oleh Russell Brand.

Dalam pada itu, Kanye barangkali menyedari perbuatan dan tindak-tanduknya kelihatan bodoh serta tidak matang, dia dilaporkan memohon maaf kepada Taylor menerusi laman web rasminya.

"Saya dengan perasaan rendah hati memohon maaf kepada Taylor Swift, ibu kesayangan dan seluruh peminat anda.

"Saya sedar perbuatan menaiki pentas mengganggu anda sewaktu hendak memberikan ucapan memang satu kesalahan."

Dalam pada itu, Taylor, 19, yang membawa pulang anugerah MTV Muzik Video Terbaik tidak mampu menyembunyikan perasaan teruja dengan kemenangan yang diraih pada malam itu.

Dia langsung tidak mengagak untuk membawa trofi yang dianggap keramat itu apatah lagi muzik dengan jalur country selalunya sering dipinggirkan dalam majlis itu. Malah ia sukar mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

"Saya menaiki pentas dengan perasaan sungguh gembira apatah lagi ia merupakan kemenangan awal saya setelah melangkah ke dalam dunia seni.

"Kemudian saya berasa sungguh teruja disebabkan Kanye berada di pentas bersama-sama saya. Tidak lama kemudian, perasaan teruja saya bertukar jadi jelek disebabkan sikapnya ini," sahut Taylor yang agak terkilan diperlakukan sedemikian rupa oleh Kanye.

Taylor meluahkan perasaan terima kasih kepada Beyonce yang disifatkan sebagai seorang individu sarat sikap merendah diri.

"Tenaga produksi anugerah MTV Video Music memanggil saya agar bersedia di tepi pentas. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada waktu itu.

"Tetapi saya boleh katakan bahawa majlis ini cukup menarik dan diingati sehingga bila-bila apatah lagi dengan apa yang dilakukan oleh Beyonce kepada saya," tutur Taylor sambil tersenyum.

Tidak dinafikan, sepanjang anugerah MTV Video Music itu diadakan sejak tahun 2006, kontroversi demi kontroversi muncul sehingga membuatkan orang ramai terlupa bahawa ia diumpamakan majlis penganugerahan untuk video muzik yang berkualiti.

Sebelum ini, hos anugerah MTV Video Music itu, Russell pernah membikin kontroversi apabila dia membuat jenaka sinis kepada Jonas Brothers tentang keaslian cincin milik mereka.

Russel yang ditemui di belakang pentas sempat berkata: "Kita sendiri tidak suka melihat orang lain berasa sedih. Oleh kerana itulah saya kena bercanda dan menarik perhatian orang ramai apatah lagi program ini disiarkan secara langsung di kaca televisyen."

Kosmo!

Tiada ulasan: