Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 2 Oktober 2009

Ratapan Minang

Ratapan Minang





PADANG: Titisan air mata darah sekalipun tidak cukup untuk menggambarkan kesedihan Suleiman Wijoyo, 46, yang kehilangan dua anak serentak apabila bangunan kelas tuisyen mereka menyembah bumi dalam kejadian gempa bumi di kota ini, petang kelmarin.

Berita sedih itu sekali gus mengembalikan nostalgia menyayatkan hati lelaki terbabit yang turut kehilangan isteri tersayang akibat tragedi sama, kira-kira dua tahun lalu.

Jenazah kedua-dua anaknya, Cahaya Putri, 10, dan Budi, 8, ditemui bersama mayat 16 pelajar lain yang tertimbus di bawah bangunan kelas tuisyen yang runtuh akibat gegaran gempa sekuat 7.9 skala Richter, pada jam 5.16 petang kelmarin (waktu Indonesia).

Dalam kejadian 7 Mac 2007, Suleiman yang juga seorang peniaga bakso kaki lima kematian isterinya, Hernawati Amed, 37, selepas rumah mereka menyembah bumi dan menghempap wanita berkenaan yang ketika itu sedang memasak di dapur.

Suleiman yang ditemui di perkampungan Jalan Amdul Muis di sini, malam tadi, berkata dalam kejadian gempa bumi mendadak petang kelmarin, kedua-dua anaknya yang sedang menghadiri kelas tambahan di kos Gama 1 di sini, tenggelam dalam runtuhan bangunan dua tingkat itu.

Menurutnya, dia yang ketika itu di gerai baksonya berasa tidak sedap hati sejurus gempa bumi menggegarkan kawasan sekitar kota Padang, menyebabkan rusuk belakang gerainya runtuh.

“Gegaran kurang satu minit itu cukup kuat sehingga menyebabkan saya terhoyong-hayang sebelum terjatuh. Malah, orang ramai yang berada di sekitar saya hanya mampu menjerit sambil berlari keluar dari rumah.

“Sebaik gempa bumi itu berakhir, saya yang masih dalam keadaan pening bingkas bangun dan terus berlari ke arah bangunan kelas tambahan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu yang terlintas di fikirannya hanyalah nasib Cahaya Putri dan Budi, yang ketika itu sedang mengikut kelas tuisyen di bangunan berkenaan bersama 39 pelajar lain.

Namun, sebaik tiba di bangunan kelas tambahan rakyat itu, dia terus longlai seolah-olah tidak percaya apabila mendapati keseluruhan bangunan dua tingkat berkenaan menyembah bumi.

“Ketika itu tiada langsung kedengaran suara jeritan kanak-kanak meminta tolong. Semuanya menjadi sepi seolah-olah semua pelajar di dalamnya sudah tidak lagi bernyawa.

“Saya cuba menenangkan diri dan beristighfar panjang, namun ketika itu hati saya berat mengatakan kedua-dua anak saya sudah tiada harapan lagi,” katanya sebak.

Menurut Suleiman, dia bersama beberapa penduduk dan ibu bapa pelajar lain kemudian terus berusaha mengangkat batu runtuhan terbabit, namun usaha mereka sia-sia kerana hanya menggunakan kudrat tulang empat kerat saja.

“Saya hanya mampu menangis sambil meratap dan menadah tangan ke langit memohon bantuan llahi.

“Dan sehingga kini (malam tadi), ramai lagi pelajar masih gagal dikeluarkan dari runtuhan konkrit itu,” katanya.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat semua kanak-kanak malang itu terbatas berikutan hanya satu jengkaut digunakan dengan bantuan satu generator kecil.

Sementara itu, seorang penduduk Kota Padang, Tuswandi Aria, 46, berkata kejadian gempa bumi kuat petang kelmarin bukan hanya meranapkan rumah usangnya, malah turut menyebabkan isterinya koma akibat dihempap kayu alang rumah.

Menurutnya, isterinya, Titi, 45, tidak sempat melarikan diri keluar dari rumah sebelum dihempap kayu di kepalanya.

“Isteri saya yang berlumuran darah itu dihantar ke Unit Gawat Darurat Rumah Sakit Tentera dan masih tidak sedarkan diri sehingga kini,” katanya.

Harian Metro

Kelop@k: Apakah ini semata bencana alam, musibah, bala atau fenomena alam semata?

Bencana sudah ragut 1,100 nyawa

PADANG (Indonesia): Suasana panik tercetus petang semalam apabila ratusan ribu penduduk bergegas meninggalkan Kota Padang di sini biarpun sudah hampir 24 jam gempa bumi kuat menghancurkan wilayah di Sumatera Utara ini.

Tindakan itu diambil berikutan khabar angin menyatakan satu lagi gempa susulan lebih kuat bakal berlaku dalam tempoh terdekat dan dijangka menyebabkan kebinasaan lebih besar.

Malah, berita dari mulut ke mulut itu tambah mencemaskan hampir sejuta penduduk yang bimbang gempa bumi terbabit turut membawa bersama tsunami seperti yang pernah dialami di Aceh pada 26 Disember 2004.

Setakat ini, gempa susulan hanya dirasai penduduk sekitar jam 5.15 pagi semalam dengan kekuatan mencecah 7.7 skala Richter berpusat di 57 kilometer di barat daya Pariaman dekat sini.

Wartawan Harian Metro yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di sini jam 2.45 petang waktu tempatan (3.45 petang waktu Malaysia) mendapati suasana cemas menyelubungi kawasan lapangan terbang terbabit apabila rata-rata warganya berpusu-pusu menaiki pesawat untuk meninggalkan bumi Minang ini.

Kesan kekuatan gegaran gempa bumi jam 5.20 petang kelmarin turut dapat dilihat apabila struktur bangunan lapangan terbang turut mengalami keretakan di merata tempat.

Bimbang berlaku gempa susulan, kebanyakan penumpang dan ahli keluarga yang menunggu di balai ketibaan diarah berkumpul di hadapan ruang legar lapangan terbang itu oleh pihak berkuasa.

Suasana tambah menekan apabila bekalan elektrik dan air di seluruh wilayah Padang terputus sama sekali selain kegagalan sistem komunikasi berfungsi hampir sepenuhnya.

Akibatnya, ribuan penduduk berpusu-pusu mencari bekalan air minuman bersih selain turut mengerumuni stesen minyak untuk mendapatkan bekalan petrol dan minyak tanah.

Tekanan makin memuncak apabila kebanyakan stesen minyak kehabisan bekalan petrol sehingga terpaksa mencatu jualan dengan mengehadkan pembelian hanya Rp100,000 (RM36) untuk kereta dan Rp10,000 (RM3.60) untuk motosikal.

Bagaimanapun, orang ramai yang terdesak sanggup berasak dengan masing-masing membawa botol atau bekas plastik untuk membeli minyak walaupun terpaksa menunggu giliran berjam-jam lamanya.

Walaupun anggaran awal menyatakan sekitar 240 mangsa terkorban, sehingga malam tadi angka itu terus meningkat kepada 1,100 orang seperti diumumkan Ketua Agensi Kemanusiaan Bangsa-Bangsa Bersatu, John Holmes.

Dia menyatakan angka itu dijangka terus meningkat.

Harian Metro

Kembara rawan tanah adat: Pengangkutan awam lumpuh

BIARPUN baru menjejakkan kaki di Kota Padang atau lebih dikenali sebagai Tanah Minangkabau, apa yang menghantui fikiran sebelum ini jelas bertukar menjadi terlalu ngeri dan menakutkan apabila bandar ini serta kawasan sekelilingnya hampir musnah sama sekali.

Sisa kemusnahan akibat gempa bumi petang kelmarin bukan calang-calang bencana alam apabila wartawan hanya mampu termangu dan buntu seketika.

Di sana sini rumah penduduk runtuh dan bangunan ranap menyembah bumi manakala penduduk seolah-olah hilang punca serta tidak tahu di mana hendak mengadu nasib.

Masalah awal mula dirasai apabila saya ditemani jurugambar, Effendy Rashid serta wartawan Berita Harian, Mohd Ifwan Tun Tuah dan wartawan New Straits Times (NST), Alang Bendahara gagal mendapatkan pengangkutan awam untuk ke bandar Padang hampir 24 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang.

Kebanyakan pemandu teksi atau van Toyota Kijang yang selalunya berkeliaran di lapangan terbang (lebih dikenali sebagai bandar udara) Minangkabau seolah-olah ghaib sehingga sukar mendapatkan perkhidmatan pengangkutan.

Selepas menanti hampir satu jam, seorang lelaki bernama Taufik, 39, seolah-olah seperti dihantar Tuhan sebelum menyatakan dia sedia menjadi ‘supir’ (pemandu) kami.

Perjalanan pintas melalui jalan belakang menaiki kenderaan sewa Toyota Avanza, milik Taufik menyajikan panorama kemusnahan demi kemusnahan.

Bermula dari Universitas Bait Rahmah yang musnah, puluhan kedai perniagaan hingga kepada masjid tertua di Padang, Masjid Raya Ganting, yang turut musnah.

Malah, penduduk Padang yang cuba menyelamatkan diri ke Pekan Baru, tambah menyesakkan jalan raya sehingga sukar untuk kenderaan kami melepasi laluan sempit berkenaan.

-Jamilul Anbia Md Denin

Harian Metr0

Cemas nasib keluarga

KUALA LUMPUR: “Kami cemas dan bimbang keadaan keluarga di Padang, Indonesia kerana sehingga kini mereka langsung tidak dapat dihubungi,” rintih beberapa penuntut Indonesia dari bandar itu yang kini mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, dekat sini, mengenai nasib keluarga masing-masing selepas gempa bumi melanda Sumatera Barat, petang kelmarin.

Selain gagal menghubungi anggota keluarga, mereka tidak dapat menghubungi saudara terdekat dan teman rapat untuk mengetahui perkembangan terkini keluarga masing-masing dan keadaan di Padang.

Midawati, 44, dari Kota Padang berkata, dia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau di Padang pada kira-kira 3 petang kelmarin untuk kembali menyambung pengajian di UKM selepas bercuti Aidilfitri.

“Ketika itu, tidak ada tanda akan berlaku gempa di sana...tetapi saya terkejut apabila dimaklumkan teman serumah kejadian gempa bumi di Padang selepas tiba di rumah sewa di Kajang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Midawati, yang mengikuti ijazah doktor falsafah Geografi Gender di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM berkata, dia juga dimaklumkan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terputus di Padang berikutan gempa bumi itu.

Akibatnya, dia tidak pasti keadaan keluarganya di Kuala Nyiur iaitu kawasan penempatan di tepian pantai berdekatan bandar Padang.

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 yang melanda Sumatera Barat sekitar 5.16 petang waktu Indonesia Barat (6.15 petang waktu Malaysia) mengakibatkan beberapa bangunan utama di Padang mengalami kerosakan teruk seperti Rumah Sakit Umum Pusat M Jamil Padang, Rumah Sakit Selasih dan Hotel Rocky.

Menurut laporan, Kota Padang juga diselubungi kegelapan malam kelmarin berikutan terputusnya bekalan elektrik selain hujan lebat yang memeritkan lagi keadaan penduduk yang masih terkejut kejadian gempa bumi itu.

Sementara itu, Syahrriramadona, 25, berkata dia amat bimbang kerana langsung tidak dapat menghubungi keluarga dan terpaksa bergantung laporan disiarkan portal berita dalam talian.

“Saya amat bimbang dan cemas kerana langsung tidak dapat berhubung sesiapa pun di Padang,” katanya.

Penuntut ijazah sarjana Pendidikan Islam di Fakulti Pengajian Islam UKM itu, bagaimanapun berharap mereka selamat kerana rumah keluarganya terletak di Paya Kumbuh iaitu kira-kira tiga jam perjalanan dari Kota Padang.

Selain itu, dia bimbangkan nasib adik lelakinya yang mengikuti pengajian di Universitas Negeri Padang di bandar Padang.

Sri Nengsih, 24, dari daerah Pesisir Selatan, Padang, juga berkongsi perasaan sama kerana masih gagal menghubungi keluarganya.

Penuntut ijazah sarjana sains Teknologi Nano Institut Kejuruteraan Mikro dan Elektrik Nano UKM berkata, selain ibu bapa, dia bimbangkan keadaan anggota keluarga yang lain.

“Teman sekuliah memberitahu semua saluran komunikasi terputus...justeru sukar untuk menghubungi keluarga. Tetapi saya akan terus cuba menghubungi mereka,” katanya.

Diah Febrina, 27, pula sedikit lega apabila menerima khabar mengenai keluarganya menerusi SMS daripada kakaknya, Yudian Fermina, 30, setengah jam selepas kejadian itu dan lewat malam kelmarin.

Menurutnya, dua SMS itu memaklumkan semua anggota keluarganya selamat tetapi rumah mereka di tepi pantai di daerah Air Tawar retak teruk dan tidak boleh dihuni. — Bernama

Debaran saudara di LCCT

SEPANG: Balai ketibaan di Terminal Tambang Murah (LCCT) di sini semalam dibanjiri orang ramai yang menunggu kepulangan saudara-mara mereka dari Padang, Sumatera Barat, Indonesia yang dilanda gempa bumi kuat, petang kelmarin.

Tinjauan mendapati suasana berbaur gembira dan cemas apabila ada sanak saudara berpelukan sebaik melihat anggota keluarga masing-masing selamat pulang manakala dan ada pula yang bersedih kerana anggota keluarga yang dinantikan tidak kunjung tiba.

Ketibaan Rostina Md Zain, 47, suri rumah, disambut pelukan anak-anaknya, Nurul Azzawana, 16, dan Nurul Syafiqah, 10, serta suami, Nordin Rasidi, 50, pegawai keselamatan.

“Kami sekeluarga susah hati apabila mendengar berita kampung halaman yang dikunjungi isteri saya mengalami tanah runtuh ekoran gempa bumi...alhamdulillah isteri saya berada dalam keadaan baik,” kata Nordin.

Mazwan Azua, 33, yang menceritakan pengalamannya menyifatkan kejadian gempa bumi yang melanda Padang sebagai amat dahsyat seperti hendak kiamat.

“Hampir 80 peratus rumah di kawasan kampung saya di Sungai Geringgil musnah disebabkan gempa bumi yang sangat kuat dan ini menyebabkan mangsa terpaksa tidur di luar rumah dalam keadaan bersesak-sesak,” katanya.

Bagi Mohd Syahmi Affendi, 20, perasaan risau menyelubungi dirinya mengenangkan ibunya serta anggota keluarga yang berada di Padang.

“Saya difahamkan bangunan hotel enam tingkat yang didiami keluarga saya ranap sejurus selepas mereka meninggalkan bangunan berkenaan untuk keluar makan.

“Orang ramai lari bertempiaran kerana panik dan kebanyakan mereka meluru ke dalam masjid yang berdekatan kerana risau tragedi tsunami berulang,” katanya yang sempat menghubungi ibunya, kelmarin. — Bernama

Gegaran susulan dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: Gegaran susulan dijangka berterusan untuk beberapa hari berikutan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang berlaku di Padang, Sumatera Barat, Indonesia, kelmarin.

Orang ramai dinasihatkan tidak bimbang kerana kekuatan gempa bumi susulan semalam dan pada beberapa hari akan datang dijangkakan semakin lemah, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

JMM berkata, sejak kelmarin, lapan gegaran susulan direkodkan berskala 4.5 hingga 6.8 Richter. — Bernama

Lancar tabung

KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Bhd dan Media Prima Bhd semalam melancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima bagi membantu mangsa taufan Ketsana di Vietnam dan Filipina, mangsa tsunami di Samoa serta mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.

Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima yang juga Pengarah Eksekutif Editorial NSTP, Datuk Ahmad A Talib, berkata tabung itu bagi membantu meringankan penderitaan mangsa yang terbabit bencana alam di negara berkenaan.

Katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghantar ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

“Mereka juga boleh menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dengan menulis Tabung Bencana NSTP-Media Prima di belakang cek,” katanya.

Sumbangan juga boleh disampaikan di cawangan NSTP seluruh negara. Maklumat lanjut hubungi Unit Komunikasi Korporat NSTP menerusi talian 03-22823131, sambungan 2575/2475/2592.

Harian Metro

Prihatin

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan nasib pelajar Malaysia di Padang, Indonesia, Kelab Umno Luar Negara menghulurkan bantuan segera kepada mereka yang menjadi mangsa gempa bumi di Wilayah Sumatera Barat itu, semalam.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata sebagai bantuan segera pihaknya memberikan RM10,000 bagi meringankan beban dan kesukaran yang dihadapi pelajar terbabit.

Menurutnya, bantuan itu diserahkan melalui Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) di Indonesia, Dr Junaidy Abu Bakar.

Harian Metro

Tidur tidak lena

Oleh Saipul Adli Mohamad, Hayati Ibrahim dan Zulfa Mohamad
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: “Saya hanya tidur-tidur ayam malam tadi (semalam) sebab takut gegaran berulang, tambahan pula bila tengok kesan retakan sepanjang 10 meter pada siling rumah,” kata Mazuaidi Mustafar, 27.

Mazuaidi yang tinggal di tingkat 15, Blok B, Sub-Presint 14-12, sebuah daripada bangunan yang turut bergegar akibat gempa bumi di barat Sumatera, kelmarin, mengesan keretakan itu kira-kira jam 8 malam selepas pihak penyelenggaraan bangunan meminta penduduk memeriksa keadaan rumah masing-masing.

Katanya, dia yakin keretakan itu berlaku selepas gegaran kerana kesan itu tidak kelihatan sebelum ini.

“Pihak penyelenggaraan bangunan sudah datang dan mengambil gambar keretakan itu dan akan memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memeriksa rumah saya,” katanya.

“Saya dan isteri tidak tenteram, takut dan asyik berdebar-debar bimbang gegaran berulang,” katanya.

Pangsapuri Sub-Presint 14-12 yang juga kuarters menempatkan kakitangan kerajaan mempunyai dua blok dengan 500 unit rumah.

Sheikh Aziz Sheikh Said, 74, yang tinggal berjiran dengan Mazuaidi berkata, keretakan juga dikesan di rumahnya terutama di ruang tamu, bilik, bilik air dan dapur.

“Dua keping jubin di sinki dapur turut tertanggal akibat kejadian itu,” katanya yang tinggal bersama anaknya di rumah itu.

Setakat ini, hanya dua unit berkenaan dikesan mempunyai kesan retak, bagaimanapun pihak pengurusan menampal notis supaya penduduk melaporkan sebarang kesan retak di rumah masing-masing, bagi mengenal pasti jumlah rumah yang terbabit akibat gegaran itu.

Harian Metro

Kipas bergoyang, perabot bergerak

KUALA LUMPUR: “Saya cemas melihat kipas dalam rumah tiba-tiba bergoyang laju dan beberapa perabot bergerak sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Apabila menjenguk melalui tingkap, saya lihat ramai penghuni lain turun menyelamatkan diri,” kata N Raknal, 47, kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menghuni di tingkat sembilan, Blok B, Pangsapuri Pantai Permai, Lembah Pantai di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang sedang mengecat rumah ketika itu turun dan berkumpul bersama penduduk lain di tempat letak kenderaan pangsapuri itu, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Zaharani Mohd Said, 45, kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula berkata, dia tiba-tiba pening dan suasana dalam rumah seperti bergoyang.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, berkata pihaknya pergi ke pangsapuri itu sebaik dimaklumkan mengenai retakan dinding di bangunan itu, kelmarin.

“Selepas diperiksa, pangsapuri itu didapati selamat diduduki kerana hanya membabitkan keretakan kecil di luar,” katanya.

Harian Metro

Lebih 10 bangunan tinggi bergegar lagi

JOHOR BAHRU: Orang ramai yang berada di bangunan tinggi di sekitar bandar raya ini, sekali lagi gempar dan bertempiaran menyelamatkan diri sejurus gegaran susulan daripada kejadian gempa di Indonesia, pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Larkin, berkata lebih 10 bangunan tinggi terutama di pusat bandar raya merasai gegaran menyebabkan beratus-ratus penghuni dan pekerja yang berada dalam bangunan terbabit bergegas turun, jam 9.58 pagi semalam.

“Antara bangunan mengalami gegaran termasuk Menara MAA, Plaza Kotaraya, Hotel Selesa, Menara Landmark, Menara Pejabat City Square, Menara Ansar, Bangunan Komtar dan Apartmen Sri Impian tetapi hanya mereka yang bertugas di bahagian tingkat atas bangunan dapat merasai gegaran itu.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya bertenang kerana gegaran itu susulan kejadian gempa bumi di Indonesia. Pada masa sama, mereka boleh meninggalkan dan mengosongkan bangunan terbabit selama kira-kira setengah jam bagi meredakan keadaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Bangunan Komtar setinggi 25 tingkat di pusat bandar mendapati orang ramai mula keluar daripada bangunan itu selepas merasai gegaran yang didakwa berlaku antara dua hingga tiga minit.

Lebih 400 orang berkumpul di luar bangunan selama hampir satu jam bagi memastikan ia stabil dan selamat dimasuki semula.

Seorang kerani Jabatan Akauntan Negara (JKN) yang bertugas di tingkat lima bangunan itu, Nafiza Mohd Zainal, 29, berkata ketika gegaran kira-kira jam 10 pagi, dia sedang menaip di komputer.

“Ketika itu, kerusi terasa bergegar dan badan seolah-olah bergoyang ke kiri dan kanan. Selepas gegaran, kepala saya terasa pening.

“Saya mencapai beg dan berpimpinan tangan dengan rakan lain menuruni tangga keluar meninggalkan bangunan.

Menurutnya, dia bimbang kestabilan bangunan terjejas berikutan gegaran itu kerana tingkat satu hingga tiga memang sudah kosong bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf bangunan.

Sementara itu, gegaran gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter di Sumatera Barat, petang kelmarin menyebabkan Bangunan Sultan Iskandar yang menjadi pintu masuk utama Malaysia-Singapura, diarah dikosongkan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata orang ramai serta kakitangan kerajaan yang berada dalam bangunan itu diarah mengosongkan bangunan kira-kira jam 6.30 petang.

“Semua operasi bangunan itu yang diberhentikan selama kira-kira 40 minit menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di kedua-dua hala laluan Singapura dan Malaysia.

“Proses pengosongan selama hampir sejam berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak, malah tidak ada sebarang kemalangan atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

Harian Metro

Nelayan Kuala Muda enggan ke laut

KEPALA BATAS: Ratusan nelayan di Kuala Muda, Penaga dekat sini, tidak mahu mengambil risiko ke laut berikutan bimbang tragedi ombak besar tsunami berulang, sebaliknya memilih menambat bot mereka di jeti sejak kelmarin.

Selain faktor dan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, nelayan terbabit mengambil langkah berjaga-jaga selepas mendapat maklumat dari media mengenai amaran tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.7 Ritcher di Padang, Indonesia, petang kelmarin.

Difahamkan, hanya kira-kira 20 daripada 700 bot nelayan ke laut semalam, kerana tiada pilihan berikutan ketiadaan wang perbelanjaan harian.

Nelayan, Rozali Ahmad, 39, berkata dia tidak ke laut sejak seminggu lalu berikutan cuaca tidak mengizinkan dan bertambah bimbang mengenai kemungkinan bencana tsunami selepas gempa bumi di negara jiran.

“Kelmarin, saya dapat maklumat mengenai kejadian gempa bumi dan amaran tsunami. Jadi, saya tidak mahu mengambil risiko ke laut hari ini (semalam).

“Malah, pada jam 2 pagi tadi (semalam) saya ke tepi pantai memeriksa bot kerana bimbang dihanyutkan ombak kuat,” katanya.

Menurut Rozali, dia bimbang kejadian seperti Disember 2004 berulang yang menyebabkan bot serta pukat miliknya rosak dipukul ombak kuat lalu mengambil keputusan tidak menangkap ikan.

Harian Metro

Tiada ulasan: