Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 2 Oktober 2009

Suntikan HPV selepas dapat izin ibu bapa

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mendapatkan pengesahan daripada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka diberi pelalian ‘human papillomavirus’ (HPV) bertujuan melindungi mereka daripada kanser pangkal rahim.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ibu bapa akan diberi pilihan sama ada membenarkan anak perempuan mereka diberi suntikan itu atau sebaliknya melalui surat persetujuan daripada sekolah.

“Setakat ini, kementerian masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan berkaitan pelaksanaan suntikan itu yang dikatakan akan bermula tahun depan.

“Jika diarahkan, kementerian bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi melaksanakannya. Bagaimanapun, ibu bapa perlu menandatangani surat kebenaran menyatakan persetujuan mereka suntikan HPV diberikan kepada anak mereka,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai Jumaat lalu mengenai bermula tahun depan, remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberikan pelalian.

Mengenai laporan akhbar semalam seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di Britain maut selepas dua hari diberikan suntikan pelalian HPV daripada vaksin keluaran GlaxoSmithKline, yang akan menimbulkan kerisauan ibu bapa di negara ini, Alimuddin berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan atau bantahan. - Bernama

Tiada ulasan: