Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 2 Oktober 2009

Sajak CINTA SYAWAL dll

CINTA SYAWAL

Cinta Syawal lambang kemenangan
kemenangan mendidik hati dan perasaan
perasaan yang membernaskan keinsafan
keinsafan yang membangkitkan keluhuran.

Cinta Syawal cinta hakiki
hakiki sejahtera ke puncak abadi
abadi yang merai dan mewarnai
mewarnai silaturahim erat abadi.

Cinta Syawal tak pernah pudar
berganti musim cahaya bersinar
adalah penawar segala sabar
sabar keimanan menjulang syiar.

Cinta Syawal membibitkan ketakwaan
ketakwaan menzahirkan keimanan
mesra dihulur kemaafan bersulam
bersulam jiwa terlerai dendam.

Cinta Syawal anugerah Ilahi
mendekatinya - akan mengenali diri
cinta Syawal cinta terpuji
menghayatinya - menjauhi hina dan keji.

MAZEMIE MAZ
Taman Selasih, Sikamat, Seremban.

MALAM AIDILFITRI


Keluarga yang berkumpul itu, aduhai cerianya
mencampakkan bayang-bayang ke sekeliling kita
malam masih mudah buat mereka
yang sudah begitu tua buat kita.

Tak mengapa ibu, biar kita terus menunggu
masih ada cukup cahaya
menyuluhi lorong ke jalan raya
meskipun dari pintu
cahaya bagaikan tersimbah percuma.

Cukuplah ibu, tiada bayang-bayang lagi
memanjang ke arah kita
kecuali bayang-bayang kita
menirus ke sudut gelita.

Tak berapa lama lagi
anak perempuan ibu ini pula
akan menanggalkan apron
seperti pohon-pohon menggugurkan
daun-daun menjelang musim salji.

Dan bersedialah, tak dapat kita mengelak
kulit album hampir tertutup.

RAMLAN ABD. WAHAB
Kg Rantau Panjang, Klang, Selangor.

LAMBAIAN AIDILFITRI


Lambaian Aidilfitri
menggamit rindu
kampung halaman
tersenyum ceria
menyambut pulang anak rantau.

Aidilfitri merimbunkan kenangan
kampung halaman
mencantumkan hati dan perasaan
hulurkan salam Aidilfitri
bersulam kemaafan di hati
air mata membasuh rindu
dan mensyukuri segala Rahmat-Nya.

YUSDI MD YUSOFF
Parit Buntar, Perak.

HARI INI DAN ESOK


i
Hari ini,
kita menepuk dada
kononnya sudah berada di puncak takhta
menggulung hamparan emas tempawan
mengejar waktu menghambat siang malam
kerana di segenap penjuru benua
berkelipan sinar mutiara
sehinggakan kita lalai
menghitung manik-manik tasbih
di lorong-lorong yang mengarah ke syurga.

Hari ini,
kita menepuk dada
mengangkat mata
menjulang kata
kononnya peralihan waktu
kita yang mencipta arah tuju
setelah dinobatkan cendekiawan
yang sesiapa tak boleh pertikaikan.

ii.
Hari esok
detik waktu belum pasti berdetik
segala kemungkinan mencacak tiba
segala harta bisa habis belaka
segala kecerdasan otak bisa celaka
kerana setitis embun amat bermakna
untuk ditadahkan sewaktu sengsara
kerana Tuhan lebih mengetahui.

Hari esok
kemungkinan kita mati
menggali lahad sendiri!

NAAPIE MAT
Alor Gajah-KKB

SEBUAH KAMPUNG
(Kepada warga dunia, cintailah kedamaian ini)


Sebuah kampung
sebatang jalan raya
dan aku
lengkap sebuah senario
bernama nostalgia
tapi untuk apa?

Pertanyaan ini
sering aku tanya di sini
kepada diri
tapi ....

Sudah ke utara, selatan
timur dan barat tapi
tidak juga kutemui
pemutus kata
antara hitam dan putih
melainkan merah belaka
hampa.

Esok,
akan kuterus pencarian ini
jika kaulihat aku di jalanan
khabarkan kepada semua orang
Tuhan itu satu.

SABRI HASHIM
9:44pagi 09-09-09

RUMAH KEKASIH (2)


Ini rumah sepurnama Syawal al-Faizin
masuklah para kekasih dengan salam
membuka pintu sopan silaturahim
eratkan genggam tangan Aidilfitri
tulus ikhlas disusun sepuluh jari
duduklah atas ruang jujur bicara
moga kusut masai semusim terlerai
tiada daki dendam api fitnah
biar lebur di dapur al-Mubarak.

Kemesraan bertapak di rumah ini
terpancung prejudis dhamir Muslimin
usah dinodai lagi dengan merah marah
dilanda darah dua rona
egois dan individualis
sedang kelopak Syawal mengembang
di mana-mana dan bila-bila.

Rumah kekasih ini bersih suci
pasrah istiqamah takwa Muslimin
atas teguh tiang silaturahim
atas sapaan salam mewangi
dengan kebahagiaan yang sejati
dengan petunjuk kasih nur Ilahi.

D J DOLASOH
Batu 19, Badak, Bachok.

AIDILFITRI INI


Aidilfitri ini, anakku
saat kemenangan paling indah
seusai berdepan ujian sebulan
senjata iman menundukkan nafsu
tak terbelit akar kebatilan
beribadah tulus mencari hikmah
di bawah terangnya purnama barakah
terpancar cahaya kebaikan
sempurna pembersihan diri
dalam kejernihan nurani.

Aidilfitri ini, anakku
detik kebahagiaan pemberian Allah
betapa damai, hening dan syahdu
dianugerahi kesempatan
menikmati kemanisan
dalam perjalanan hayat
dilingkari kabut rindu
jiwa disentuh takbir bergema
dari menara kebesaran
mengembang cahaya kasih pada Ilahi
mengorak kelopak syukur di taman hati.

Aidilfitri ini, anakku
sesuci kurniaan bersemarak wangi
maknakan anugerah ini
dengan memperteguh cinta hakiki.

NAZIM MOHD SUBARI
Endau, Johor.

Tiada ulasan: