Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 2 Oktober 2009

‘Tolak hukum Islam murtad’

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Kalau kita menolak hukum Islam, itu murtad namanya,” tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengulas cadangan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dianggotai Sisters in Islam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain supaya hukuman sebat dalam undang-undang syariah dinilai sekali gus dimansuhkan.

JAG yang dibangun atas nama pembela hak asasi manusia sebelum itu menggesa kerajaan menilai kembali dan memansuhkan undang-undang syariah yang menerapkan hukuman sebatan berikutan menurut mereka dianggap mendera selain mencabul prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggapnya kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah.

Mereka turut mendakwa mengikut peruntukan Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah menyebut dengan jelas wanita dilarang daripada tindakan sebat sekali gus bercanggah dengan sebatan mengikut undang-undang Syariah yang aktif dijalankan Perlis, Pahang dan Kelantan.

Mengulas isu itu, Harussani berkata, Allah SWT secara terang menyebut dalam al-Quran bahawa apa yang didatangkan dan dihukum Rasullah s.a.w hendaklah diambil sekali gus diikuti, manakala larangannya perlu dipatuhi dan jangan sesekali diamalkan dalam kehidupan harian.

“Jadi hukuman ini (sebat kerana minum arak) memang disuruh Nabi Muhammad s.a.w, kenapa pula kita tidak ikut, dan mereka ini (JAG) atau Sisters in Islam ini sebenarnya menentang Islam ke, bukannya mereka mengikut ajaran Islam.

“Mereka anggap hukum Allah itu kolot ke...(sedangkan) kita ini pun dijadikan oleh Allah, cukup anggotanya, diberi akal fikiran...(tengok) betapa hebatnya Allah yang mencipta dan menghidupkan semua perkara.

“Jangan kita pula hendak memperkecilkan Allah dan hukum-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengenai hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, beliau menjelaskan sebatan yang diputuskan di bawah undang-undang Islam bukan sama seperti dilaksanakan kerajaan Pusat untuk penjenayah yang melanggar undang-undang Persekutuan.

Menurutnya, sebat yang dilaksana tidak mendatangkan sakit atau kemudaratan teruk, bahkan jelas menggunakan rotan yang hanya sebesar jari, manakala tangan tukang sebat yang menghayun rotan pula diangkat tidak melebihi daripada ketiak.

“Maknanya rotan yang digunakan itu kecil, ketika menghayunkannya (untuk hukum) pula tidak boleh tinggi, menjelaskan tangan hanya diangkat sedikit saja....tidak sakitlah maknanya dan taklah seperti dibuat di penjara...terlalu berat.

“Saya nasihatkan mereka supaya janganlah buat kenyataan sebarangan, hati-hati bila berucap sesuatu, jangan sampai menyebabkan mereka terkeluar dari landasan Islam sebenar,” katanya.

Harussani turut memberitahu hukuman enam sebatan ke atas Kartika kerana kesalahan meminum arak bukan bertujuan mendera, jauh sekali mendatangkan kesakitan sebaliknya dibuat untuk mengajar dan wajar disaksikan ramai orang sebagai pengajaran bermakna.

Harian Metro

Kelop@k: Sekadar mengajar bukan mendera. Tak harus ini isu ini asyik digembar-gemburkan.

Usah persoal lagi

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

KUANTAN: “Saya minta semua pihak hormati dan tunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh dia akan menjalani hukuman itu (sebat),” kata Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berhubung tarikh sebenar bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, akan disebat.

Beliau berkata, mahkamah perlu diberi masa dan ruang menentukan tarikh dan masa sesuai untuk melaksanakan hukuman terhadap wanita berkenaan.

“Hukuman sudah dijatuhkan dan tunggu saja keputusan bila akan dilaksanakan...mahkamah perlu diberi masa berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman dan Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abdul Rahman Md Yunus.

Menurutnya, pihaknya tidak melihat ada sebarang masalah berhubung kontroversi mengenai tarikh sebenar model berkenaan akan disebat, cuma mereka perlu bersabar dan akur dengan keputusan dibuat pihak bertanggungjawab.

Beliau turut menyelar tindakan beberapa NGO yang masih tidak berpuas hati dengan hukuman dijatuhkan kepada wanita berkenaan.

“Mereka perlu menghormati keluhuran perlembagaan negara yang sudah tertulis dan tidak perlu mempersoalkan keputusan dibuat mahkamah,” katanya.

Katanya, tindakan pihak berkenaan yang terus mempersoalkan keputusan yang sudah dibuat hanya akan mengeruhkan keadaan.

Julai lalu, Kartika Sari dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku bersalah meminum arak di sebuah pusat hiburan di Cherating pada Disember tahun lalu.

Ibu beranak dua yang tetap dengan pendirian enggan merayu pengurangan hukuman dan berulang kali menyatakan kesediaan disebat pada bila-bila masa, kini menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan memberi arahan kepadanya untuk menjalani hukuman itu.

Akhbar ini kelmarin melaporkan hukuman sebatan terhadap bekas model sambilan itu boleh dilaksanakan bila-bila masa kerana Jabatan Penjara sudah mempunyai tukang sebat bertauliah untuk melaksanakan hukuman itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dipetik sebagai berkata, jabatan itu hanya menunggu arahan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan untuk melaksanakan hukuman terbabit dan sebarang masalah di luar perlu diselesaikan pihak berkenaan.

Harian Metro

Tiada ulasan: