Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 3 Disember 2009

Isu ketuanan Melayu disentuh lagi



ISU ketuanan Melayu yang disentuh seorang wakil pembangkang membuatkan Dewan Rakyat gamat seketika apabila beberapa Ahli Parlimen bangun bersama hujah masing-masing, sehingga memaksa Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia campur tangan menenangkan keadaan.

M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berkata, isu perpaduan menghadapi halangan dan kekangan seperti isu ketuanan Melayu yang disifatkan sebagai satu diskriminasi kepada kaum lain di negara ini.

"Dasar Ekonomi Baru juga sangat memberi tentangan kepada keharmonian," katanya, menyentuh isu terbabit ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon berkaitan perpaduan di kalangan rakyat.

Namun, soalan yang dibangkitkannya itu mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa wakil Barisan Nasional, sehingga mereka bangun dan membantah kenyataan terbabit, sekali gus membawa kepada pertikaman lidah.

Pandikar Amin yang cuba mententeramkan keadaan, meminta ahli dewan terbabit berhujah sebagai seorang Ahli Parlimen, bukannya sebagai ahli politik setiap kali mahu berhujah.

"Apabila bersikap sebagai Ahli Parlimen, ahli Yang Berhormat akan ingat dengan peraturan mesyuarat, jangan sama sekali menzahirkan perkataan yang menggamit reaksi negatif dari kawan sebelah.

"Kalau mahu bercakap seperti ahli politik, buat di luar, bukan dalam waktu perbahasan, tolonglah ini mesyuarat ahli Yang berhormat, jadi jangan timbulkan lagi perkara begini, Ipoh Barat,” katanya.

Speaker kemudian mengarahkan semua Anggota Parlimen terbabit duduk sebelum meminta Koh menjawab soalan tambahan Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) dan mengetepikan soalan Kulasegaran.

Harian Metro

Tiada ulasan: