Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 3 Disember 2009

PM enggan jumpa Chin Peng

LANGKAWI 2 Dis. - Bekas Setiausaha Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng boleh melupakan hasratnya untuk berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di selatan Thailand ketika Perdana Menteri dijadual mengadakan lawatan ke wilayah itu 7 Disember ini.

Menurut Perdana Menteri, pertemuan antara beliau dengan bekas pemimpin komunis itu yang kini tinggal di Thailand tidak perlu diadakan.

"Tidak perlu berjumpa," katanya ketika ditanya tentang hasrat Chin Peng yang mahu berjumpa dengannya bagi menyampaikan hasrat untuk pulang ke negara ini.

Najib berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) iaitu tempat berlangsungnya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di sini hari ini.

Perdana Menteri dijadual melawat wilayah itu minggu depan sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia membantu mewujudkan keamanan di kawasan bergolak itu.

Kelmarin, Chin Peng dilaporkan sebagai berkata, beliau tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi sebaliknya menggunakan saluran sesuai untuk menyampaikan hasratnya kepada Perdana Menteri bagi membenarkannya kembali ke Malaysia.

Jika boleh, beliau melahirkan hasrat untuk dapat bertemu Najib apabila Perdana Menteri melawat selatan Thailand yang dijadual minggu depan.

Bagaimanapun hasrat bekas pemimpin parti komunis itu yang telah banyak menimbulkan kesengsaraan kepada rakyat dan negara ini ditentang oleh banyak pihak terutama di kalangan keluarga mangsa kezaliman komunis dan anggota tentera yang terlibat mempertahankan negara daripada ancaman pengganas tersebut.

Chin Peng yang berasal dari Sitiawan, Perak dan pernah melarikan diri ke China dan kini dilaporkan tinggal di Bangkok telah beberapa kali menyatakan hasratnya untuk pulang ke negara ini bagaimanapun tidak dibenarkan oleh kerajaan.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: