Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 3 Disember 2009

Nik Aziz tidak ambil peduli

KOTA BHARU 2 Dis. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak ambil peduli desakan supaya beliau meletakkan jawatan daripada orang UMNO yang dianggapnya ‘budak-budak nakal’.

Beliau juga menegaskan tidak perlu memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ‘doa kemusnahan’ terhadap pemimpin negara itu.

Malah Mursyidul Am Pas itu mencadangkan kepada orang ramai supaya terus berdoa beramai-ramai tanpa menyebut nama Najib kononnya bagi menjaga hati Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya kepada media berhubung perhimpunan aman oleh ratusan orang semalam yang menunjukkan bantahan terhadap tindak-tanduknya, beliau berkata:

“Mustahil saya perlu akur (letak jawatan) semata-mata kerana digesa oleh 200 ‘budak-budak nakal’, bawah pohon jati di pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Jika sebab desakan UMNO, sudah tentu saya berbuat begitu semasa Tan Sri Annuar Musa jadi ketua pembangkang negeri, sebaliknya dia pula yang ‘ghaib’ dari arena politik tanah air.”

Di samping itu, beliau mempersoalkan mengapa harus tunduk kepada suara kumpulan itu yang jumlahnya begitu kecil agar meminta maaf kepada Najib yang juga Presiden UMNO.

“Sedangkan Presiden UMNO selaku orang nombor satu tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik,” ujarnya.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas mengulas mengenai perhimpunan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) semalam.

Mereka berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darulnaim di sini bagi menunjukkan rasa tidak senang hati terhadap kemelut dalam kepimpinan negeri dan memintanya melepaskan jawatan.

Kumpulan tersebut menyerahkan memorandum dua muka surat kepada Nik Abdul Aziz yang memintanya melepaskan jawatan, menarik balik ‘doa kemusnahan’ dan meminta maaf secara terbuka kepada Najib.

Nik Abdul Aziz sebaliknya bersyukur kerana perhimpunan semalam seolah-olah sebagai tanda kejayaannya mengkucar-kacirkan UMNO.

“Secara logiknya semua orang kena faham bahawa saya bekerja dengan Pas. Jika UMNO yang mendesak saya, maka saya sewajarnya bersyukurlah bahkan berbangga kerana sudah dikira berjaya mengkucar-kacirkan mereka.

“Mereka sudah keluh kesah. Jika saya terus dilarang untuk memohon kemusnahan UMNO secara terbuka, maka saya masih lagi boleh mengangkat doa secara bersendirian.

“Saya masih boleh meminta supaya umat Islam terus berdoa secara senyap-senyap agar Allah menurunkan kemusnahan termasuklah pemimpin UMNO yang menyekat Islam dan menyekat pemberian wang royalti itu daripada melalui kerajaan negeri,” tambahnya.

Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini, beliau bertegas dengan pendiriannya membenarkan rakyat negeri ini mendoakan agar diturunkan bala terhadap Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, doa itu biarlah dibuat secara individu bukan dilafazkan secara umum atau beramai-ramai.

Jelasnya, rakyat tidak perlu menyebut nama Najib ketika melafazkan doa tersebut secara beramai-ramai dan hanya melakukannya secara peribadi untuk menjaga perasaan pemimpin nombor satu kerajaan itu.

“Oleh kerana Perdana Menteri terasa hati bahawa sebut nama dia dalam doa maka saya minta tak payah sebut nama Yang Berhormat beramai-ramai cuma boleh sebut dalam doa bersendirian,” katanya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: