Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 25 Disember 2009

Wanita diculik rakan sembang

Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my

Mangsa sanggup datang dari Jepun dikurung lima hari lelaki Afrika

SUBANG JAYA: Seorang wanita Filipina yang diculik dan didera sekumpulan lelaki Afrika yang dikenalinya melalui laman sembang internet, diselamatkan polis di sebuah kondominium di Bandar Sunway di sini, beberapa hari lalu.

Dalam serbuan itu, polis menahan lapan suspek iaitu lima warga Afrika dan tiga rakyat tempatan, termasuk tiga wanita.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata mangsa berusia 44 tahun dan bekerja di sebuah kilang di Jepun menjadi mangsa selepas sanggup datang ke Malaysia pada 12 Disember lalu, semata-mata mahu bertemu seorang suspek yang dikenali melalui laman sembang itu beberapa bulan sebelum itu.

"Perhubungan atas dasar bersembang di internet itu berlanjutan sehingga mangsa nekad datang dari Jepun ke Malaysia untuk bertemu suspek, namun sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mangsa dijemput empat lelaki warga Afrika sebelum dibawa ke sebuah kondominium di sini.

"Di situ, mangsa dikurung, diikat dan didera suspek dan rakannya lima hari sebelum dilepaskan dan ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Bandar Sunway, dua hari kemudian.

"Sebaik dilepaskan, mangsa menghubungi kakaknya di Jepun dan ketika itu mangsa terkejut apabila kakaknya memberitahu suspek meminta wang tebusan 3 juta yen jika mahu adiknya dibebaskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pondok bit polis di Jalan Kekwa, Puchong Perdana di sini, semalam.

Khalid berkata, kakak mangsa yang tidak membayar wang tebusan membuat laporan polis.

Hasil maklumat daripada mangsa pada hari sama polis menyerbu dua rumah serentak di Mentari Court di sini dan di Taiping, Perak sehingga membawa kepada penahanan lapan suspek iaitu lima warga Afrika dan tiga warga tempatan termasuk dua wanita.

"Dalam serbuan ke kondominium itu, polis menemui beberapa barang berharga milik suspek seperti komputer riba.

"Difahamkan suspek juga terbabit dalam satu lagi kes culik yang membabitkan seorang wanita warga Kazakhstan di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, sumber polis berkata wanita warga Kazakhstan yang menjadi mangsa culik di Kuala Lumpur itu berusia 42 tahun.

Difahamkan, dia juga diculik dan dikurung di rumah sama malah menggunakan modus operandi sama iaitu berhubung dengan suspek menerusi internet.

Tiada ulasan: