Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 10 Disember 2009

Karisma: Sambal tumpah bakar semangat Noorazli

Oleh NAZARALI SAERIL
nazarali@hmetro.com.my

KESEDIHAN teramat sangat dirasai Noorazli Said apabila mengetahui ibunya terjatuh sewaktu menolak basikal usang berseorangan dalam hujan ketika menjual nasi lemak hingga sambal tumpah ke badan demi sesuap nasi untuk membesarkan lima anak.

Ini menyebabkan beliau bertekad mengubah nasib keluarganya yang miskin 18 tahun lalu.


Mengimbau kembali peristiwa itu, Noorazli dengan air mata berlinangan menceritakan bagaimana susahnya ibu, Normala Shamsuddin mencari rezeki selepas suami tercinta, Said Ali, meninggal dunia pada 1991.

"Ketika itu saya berusia 13 tahun dan sangat sedih mengenangkan penderitaan ibu. Setiap kali berpeluang, saya menolak basikal usang itu membantu ibu berniaga nasi lemak di Pekan Tanjung Sepat, Banting, Selangor.

"Saya bulatkan tekad untuk berjaya dalam hidup bagi membantu ibu serta anggota keluarga. Selepas mendapat pangkat satu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah, tetapi mulanya enggan menerimanya," katanya.

Beliau yang kini berusia 31 tahun berkeras mahu bekerja untuk membantu ibu demi menampung keluarga. Hasratnya turut dibantah makcik dan pakciknya yang mahukan dia berjaya dalam pelajaran.

Bagaimanapun, Noorazli tetap nekad dengan keputusan itu hingga ibu dikasihinya masuk campur.

"'Jika mahu tolong ibu, kau pergi sambung belajar. Itu saja caranya mahu bantu ibu dan keluargamu, nak'. Inilah kata-kata keramat ibu dan saya ingat hingga kini. Berlinang air mata saya melihat ibu menolak basikal usang setiap hari untuk menjual nasi lemak bagi menyara perbelanjaan saya," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana saudara keluarga seperti Mak Usu dan lain-lain sanggup mengeluarkan belanja untuk pengajiannya.

Ketika mengikuti matrikulasi di UUM, Noorazli turut menempuh pengalaman susah kerana kesempitan wang.

"Saya berjimat dalam berbelanja kerana sepanjang setahun dalam matrikulasi, saya tidak mahu menyusahkan ibu dan saudara. Untuk makan, saya tetapkan hanya satu buku roti sepanjang tiga hari.

"Selain itu menu lain adalah mi segera dibahagi dua iaitu separuh untuk makan tengah hari dan selebihnya makan malam," katanya yang kini memiliki tiga anak comel.

Kesempitan hidup ketika itu membuatkan insan bernama Noorazli itu terpaksa mencari pendapatan sampingan untuk meneruskan kehidupan juga pengajian.

Beliau meminjam wang beberapa rakan dan memulakan perniagaan membaiki komputer.

Untuk memajukan diri, beliau disertai seorang rakan sama kursus akhirnya sepakat menggunakan apa yang dipelajari untuk memulakan perniagaan lebih besar.

"Selepas matrikulasi, saya serta rakan baik iaitu Aman Rashidi menyambung pengajian juga dalam bidang Teknologi Maklumat. Perniagaan pertama kami ialah sebagai pengurus acara jualan komputer di UUM.

"Kami pergi ke 12 kedai komputer di pekan Alor Setar dengan menjaja idea menganjurkan pameran komputer, tetapi hanya sebuah menerima serta menyokongnya," katanya.

Pekedai berkenaan setuju mengeluarkan modal berupa barangan komputer dan beberapa keperluan lain bernilai RM30,000 dan pameran komputer selama lima hari pada 1999 itu mendapat sambutan hebat dengan keuntungan diperoleh dua sahabat baik berkenaan sebanyak RM5,000.

Wang berkenaan dibahagi dua dan perkara pertama dilakukan Noorazli dengan keuntungan itu ialah memberi sebahagiannya kepada keluarga manakala selebihnya digunakan untuk membeli telefon bimbit sebagai keperluan utama perniagaan.

"Selepas kejayaan pertama, kami tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya terus menguruskan pameran itu setiap semester hinggalah tamat pengajian pada 2001.

"Selepas itu saya bekerja dengan sebuah syarikat tetapi akhirnya berhenti pada awal 2002. Saya kemudian membuka perniagaan dengan beberapa rakan, namun saya keluar dari syarikat pada pertengahan 2002 kerana beberapa masalah," katanya.

Noorazli bersama Aman seterusnya membuka perniagaan bantuan kecemasan automatif juga kad anugerah kesetiaan (reward card) dengan nama syarikatnya Narsqo Tech Sdn Bhd pada 2003. Ketika itu usianya 25 tahun dan baru melangsungkan perkahwinan.

Memang diakui banyak dugaan dihadapi kerana ramai tidak yakin dengan kemampuan syarikatnya menguruskan perniagaan jenis itu tetapi beliau dan Aman cekal dengan dugaan terbabit dan akhirnya, Narsqo Tech Sdn Bhd dikenali sebagai antara yang terbaik dalam perniagaan bantuan kecemasan automotif di negara ini.

"Saya dan Aman merana ketika itu. Bayangkan, saya terpaksa tinggalkan isteri, Norsyalita Abdul Rahim juga anak sulung yang baru lahir, Dhia Natasya, di rumah hingga jauh malam semata-mata mahu menguruskan perniagaan yang baru bertapak.

"Walaupun sukar, isteri memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada saya demi kejayaan juga masa depan kami. Akhirnya, syukur kami berjaya melangkah lebih jauh dengan menubuhkan beberapa anak syarikat dengan Kumpulan Narsqo sebagai syarikat induk," katanya.

Berkaitan keluarga, Noorazli sangat berterima kasih kepada Norsyalita, ibu serta anggota keluarga lain yang dianggap sebagai pembakar semangat untuknya berjaya.

Katanya, tanpa perangsang juga dorongan, beliau pasti tidak akan sampai ke tahap dicapai hari ini.

"Ibu, isteri, anak juga anggota keluarga lain sungguh penting dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak akan ada di sini. Setiap kali berdepan masalah, saya kenang apa yang berlaku masa lalu, juga pengorbanan insan istimewa berkenaan sebagai penguat semangat.

"Kerana itu jika ada masa lapang, saya lebih gemar menghabiskannya dengan keluarga kerana keluarga tetap yang utama dalam hidup saya," katanya mengakhiri perbualan.


PROFIL
NAMA: Noorazli Said
UMUR: 31 tahun
JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan Narsqo
PENDIDIKAN: Sekolah Kebangsaan Batu Laut, Banting, Selangor; Sekolah Menengah Batu Laut dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM)
ADIK BERADIK: Kedua daripada lima beradik
ISTERI: Norsyalita Abdul Rahim
ANAK: Dhia Natasya (5), Dhia Dariena (3) dan Dhia Kaiyeshah (1)
AYAH: Said Ali
IBU: Normala Shamsuddin

Tiada ulasan: