Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 16 Julai 2011

Polis siasat menyeluruh dakwaan serbu hospital

2011/07/17

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan dua pasukan khas bagi menyiasat secara menyeluruh kejadian yang berlaku sepanjang perhimpunan haram BERSIH 2.0, Sabtu lalu termasuk dakwaan sekumpulan doktor mengatakan polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air di kawasan Hospital Tung Shin, Jalan Pudu di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata pasukan khas berkenaan akan mengambil kira semua faktor sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Satu pasukan menyiasat dakwaan kumpulan doktor berkenaan manakala satu lagi menyiasat secara menyeluruh di semua lokasi mengenai apa yang berlaku hari itu kerana cerita yang disampaikan adalah berbeza. Kita tak menolak atau menyangkal sebarang dakwaan yang dibuat sebaliknya menyiasat secara menyeluruh,” katanya.

Bercakap kepada pemberita ketika menghadiri Sambutan Hari Keluarga Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), di sini semalam, Ku berkata, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) juga akan mengadakan inkuiri awam dan polis menyifatkan langkah itu paling sesuai bagi membuktikan kebenaran sebelum hasil siasatan dikemukakan.

“Polis akan turut mendapatkan keterangan saksi kejadian, petugas pada hari perhimpunan termasuk kakitangan hospital berkenaan. Sehubungan itu, kita harap tiada sebarang spekulasi ditimbulkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Sementara itu, kehadiran kira-kira 30 individu yang menggelarkan diri mereka Generasi 709 gagal mendapat sambutan orang ramai apabila mereka berhimpun di KLCC semalam dalam usaha meraih simpati serta sokongan.

Mereka hadir untuk memperingati kematian Allahyarham Burhanuddin Ahmad yang meninggal dunia kerana serangan jantung ketika perhimpunan haram BERSIH Sabtu lalu. Peserta terbabit sempat berhimpun selama kira-kira 15 minit di Taman KLCC bermula jam 2.15 petang sebelum diarahkan bersurai oleh petugas keselamatan KLCC kerana dikhuatiri mengganggu pengunjung di kawasan itu.

Kumpulan itu yang turut memakai kemeja-T berwarna kuning, mendakwa perhimpunan yang mereka lakukan adalah perhimpunan aman dan ia dibuat seminggu selepas penganjuran perhimpunan haram BERSIH 2.0 minggu lalu bagi memperingati kematian Burhanuddin.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Bekas Veteran Tentera dan Polis dengan kerjasama 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan program menghimpun tandatangan rakyat Malaysia untuk program 'Ikrar Taat Setia kepada Raja-Raja Melayu.

Mereka mahu mengumpulkan lebih 100,000 tandatangan rakyat Malaysia yang menentang demonstrasi haram BERSIH dan dilancarkan di pekarangan kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, semalam.

Presiden PVTM, Mohd Ali Baharom berkata objektif program ini adalah untuk menunjukkan sokongan padu rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Sejurus kita mengumpulkan tandatangan dan komen rakyat yang menentang BERSIH dan langkah mereka pada 9 Julai lalu yang banyak mendatangkan masalah kepada rakyat dan dalam masa dua minggu kita akan serahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Tiada ulasan: