Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 16 Julai 2011

Rugi RM1.5j angkara BERSIH

2011/07/17

MOHD Ridzuan  (kanan) bersama  Timbalan Pengerusi Bazar Moden Melayu, Syed Yusof Abdullah bertemu peniaga, Noraina Najiron,  ketika membuat lawatan  di, Jalan Masjid India, semalam.
MOHD Ridzuan (kanan) bersama Timbalan Pengerusi Bazar Moden Melayu, Syed Yusof Abdullah bertemu peniaga, Noraina Najiron, ketika membuat lawatan di, Jalan Masjid India, semalam.

KUALA LUMPUR: Hampir RM1.5 juta. Itu jumlah kerugian yang ditaksirkan ditanggung peniaga dan penjaja kecil sekitar Jalan Masjid India, di sini akibat perhimpunan haram BERSIH 2.0, 9 Julai lalu.

Seorang wanita pula mendakwa kerugian kira-kira RM45,000 selepas lebih 2,000 tetamu tidak dapat menghadiri kenduri perkahwinan anaknya pada hari berkenaan, manakala kira-kira 31,000 pemandu teksi juga mengeluh kerana sukar mendapatkan penumpang.
Semua aduan itu diterima Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) yang menyediakan khidmat guaman percuma untuk mereka yang terjejas akibat perhimpunan haram terbabit mengambil tindakan undang-undang ke atas Pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga.

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah, berkata golongan peniaga dan penjaja kecil amat kecewa dengan Ambiga kerana menganjurkan perhimpunan haram berkenaan tanpa mengambil kira kebajikan pihak lain.

“IKHLAS tampil membantu golongan itu membuat laporan polis dan menuntut ganti rugi daripada pihak BERSIH 2.0. Kami ada dua peguam yang kini meneliti segala aduan yang diterima. Kami juga akan membuka bilik gerakan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang sehingga 12 Ogos ini bagi membolehkan orang ramai membuat aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Masjid India, di sini semalam. Turut hadir Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA), Yusoff Lahir; Setiausaha Persatuan Penjaja Kecil Masjid India, J Asogan dan Timbalan Presiden Pemandu Teksi Eksekutif Se-Malaysia, Abdul Aziz Bahran.

Sementara itu, Yusoff berkata, perhimpunan haram berkenaan menjejaskan hampir 31,000 pemandu teksi yang tidak dapat menjalankan operasi kerana sukar memasuki kawasan sekitar ibu negara.

“Pemandu teksi tidak mempunyai pendapatan tetap sebaliknya perlu bekerja keras mencari pendapatan tetapi akibat perhimpunan haram itu, mereka menanggung kerugian besar,” katanya.

Bagi Kamariya Rejab, 58, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM45,000 selepas lebih 2,000 tetamu tidak dapat menghadiri perkahwinan anaknya.

“Ramai jemputan tak dapat hadir perkahwinan anak saya di Desa Pandan, Kampung Pandan. Kami tempah makanan untuk 3,000 tetamu, tetapi hadir 500 orang,” kata pekerja am di Kedutaan Malaysia di Singapura itu.

Berita Harian

Kerugian: Rakyat patut salahkan BN

Posted on Friday, July 15 @ 01:14:41 PDT by paktam
Penulis TamuOleh: Mat Zain Mat Isa

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Sabtu lalu sepatutnya menghimpunkan tidak kurang 300,000 pencinta demokrasi dari seluruh pelusuk tanahair. Ia bagaimana pun tidak dapat direalisasikan.

Dikatakan hanya tidak sampai sepuluh peratus jumlah itu yang sempat berkumpul di beberapa lokasi sekitar ibukota. Manakala 90 peratus lagi terhalang daripada memasuki pusat bandaraya.

Kewujudan berpuluh sekatan jalan raya oleh pasukan polis membantutkan hasrat mereka menyertai rakan-rakan yang telah berada di lokasi himpunan lebih awal. Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan menutup hampir 60 jalan utama yang menyirati pusat bandaraya.

Akibatnya, seluruh kawasan sekitar lokasi dijadualkan berlaku perhimpunan itu didakwa kaku dan beku. Banyak premis perniagaan ditutup. Aliran trafik, termasuk kenderaan awam juga lengang.

Seperti diduga, suasana itu dimanipulasi secukupnya oleh BN dan segenap agen propagandanya. Para peniaga, pengusaha hotel, premis makanan dan pengangkutan awam di kawasan terbabit dikatakan mengalami kerugian teruk.

Bagaikan diapi-apikan pihak tertentu, mereka ini tampil dengan taksiran kerugian masing-masing. Jumlahnya antara puluhan ribu RM sehingga mencapai jutaan RM. Ada tukang congak mendakwa jumlah taksiran seluruh kerugian itu melebihi RM100 juta.

Dengan mudah pula pihak penganjur Bersih 2.0 dipersalahkan. Kononnya ia akibat kedegilan mereka meneruskan hasrat mengadakan perhimpunan di pusat bandaraya.

Di sinilah sepatutnya rakyat diajak berfikir dan menilai dengan mata hati, bukannya berdasarkan emosi atau sentimen kepartian melulu. Rakyat juga sepatutnya diajar menerima sesuatu keadaan secara positif dan mengelakkan sedari awal mengandaikan keburukannya sahaja.

Namun itulah yang jelas dilakukan BN. Bermula daripada para pemimpin tertingginya hinggalah kepada pemimpin bawahan, kesemua mereka hanya ghairah melontarkan andaian negatif terhadap Bersih 2.0.

Media talibarut BN pula menyemarak dan mengapikan lagi perasaan benci dan gambaran negatif terhadap Bersih. Rakyat ditakutkan dengan berbagai kemungkinan buruk yang kononnya akan belaku.

BN bertanggungjawab menjaja kononnya Himpunan Bersih 2.0 adalah perhimpunan ganas, pencetus huru-hara, bakal merosakkan negara dan ketenteraman awam.

Itulah khianatnya BN. Ia dibayangi ketakutan melihat penerimaan rakyat terhadap tuntutan diperjuangkan Bersih 2.0. Ia sudah dapat mencium implikasi politik yang tidak menguntungkannya. Gambaran kesan negatif diterima BN hasil Himpunan Bersih yang pertama pada 2007 menambahkan lagi kegusaran itu.

Ketika itu apa yang tidak dikatakan BN terhadap pihak penganjurnya. Segala gambaran buruk dilontarkan, bermacam label dan imej negatif dikaitkan kepada pembangkang. Namun, walau pun dikatakan warga ibukota sangat marah dan makin menolak pembangkang, keputusan Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan sebaliknya. BN hanya bertahan di satu kerusi di Kuala Lumpur dan kerajaannya di Selangor turut tumbang.

Sebab itu jika dikatakan Bersih 2.0 bakal memberikan implikasi politik negatif terhadap Pakatan Rakyat, ianya semata-mata saraf BN. Parti pemerintah itu sebenarnya sudah menjangkakan impak politik lebih teruk sekiranya Bersih 2.0 dibenarkan dilangsungkan semahunya.

Lalu bagi menggagalkan usaha itu, ia digambarkan sebagai sesuatu yang boleh menggugat keselamatan negara, mengancam kesejahteraan rakyat dan merugikan aktiviti ekonomi. Sedangkan segala-galanya hanya bergantung kepada bagaimana sebuah kerajaan menanganinya secara wajar.

Bayangkan saja sekiranya kebanjiran ratusan ribu individu dari segenap pelusuk tanahair ke ibukota itu ditangani secara positif. Kita percaya ia sebenarnya bukan sahaja boleh berlangsung secara aman dan tenang, malah mampu menjana aktiviti ekonomi sangat rancak dan menguntungkan.

Jika mahu, kerajaan boleh mengerahkan ribuan anggota polis dan tentera untuk memastikan himpunan itu berjalan dengan baik dan teratur. Daripada melonggokkan kumpulan demi kumpulan anggota polis di sekatan-sekatan jalan raya, sekali gus mencipta kesesakan teruk, mengapa tidak ditugaskan mereka mengawal dan menyurai lalulintas di lokasi yang dijangkakan akan mengalami kesesakan?

Jika itu dilakukan, sudah tentu Kuala Lumpur dibanjiri pengunjung Sabtu lalu. Mereka ini akan berbelanja, tidak banyak pun, sedikit. Premis-premis perniagaan boleh beroperasi seperti biasa. Mereka tidak akan rugi.

Ambil saja contoh beberapa premis yang dilaporkan meneruskan operasi tanpa mempedulikan gembar-gembur suasana menakutkan yang digemariuhkan media talibarut BN. Dikatakan premis-premis itu tidak menang tangan melayani para pengunjung. Mereka malah kehabisan sajian untuk dinikmati pelanggan.

Ertinya, jika ditangani secara positif, inilah sebenarnya peluang bagi bermacam sektor ekonomi di Kuala Lumpur meraih keuntungan besar.

Justeru, sekiranya benar bagai didakwa beberapa pihak bahawa mereka kerugian besar akibat Himpunan Bersih 2.0 minggu lalu, maka mereka tidak sepatutnya terlalu mudah menyalahkan pihak penganjur himpunan itu.

Salahkanlah kepada sekatan jalan raya dan penutupan berpuluh jalan menuju ke ibukota. Itulah punca utama Kuala Lumpur tiada pengunjung.

Salahkan juga BN yang menjadi punca tindakan bodoh dan merugikan itu.


Tiada ulasan: