Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 25 November 2009

Cetusan kejadian ngeri (Ceritera)

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pereka laman web tidak dapat melupakan detik ngeri melihat rakannya berlumuran darah selepas ditetak geng samun ‘Mat Rempit’ hingga menyebabkan jari kelengkeng tangannya putus.

Dalam kejadian Mac lalu, rakan mangsa yang berusia 20-an dikatakan dikepung tiga lelaki yang menunggang beberapa motosikal sebelum ditanya pelbagai soalan pelik ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Petaling Jaya, di sini.

Pereka laman web Malaysian Crime terbabit, Kegan Gan, mendakwa kejadian ngeri terbabit mencetuskan idea untuk dia mewujudkan laman web khas bagi meningkatkan kesedaran rakyat negara ini terhadap jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.

Menurutnya, dalam kejadian itu, rakannya yang di rompak cuba melawan penjenayah terbabit namun nasibnya malang apabila ditetak pada jari kelingking hingga putus.

“Dalam kejadian itu, rakan saya itu sempat mengambil gambar tangannya dalam keadaan berlumuran darah dengan hanya empat jari masih tertinggal sebelum gambar ngeri itu dihantar melalui emel kepada saya.

“Saya benar-benar terkejut sebaik melihat gambar berkenaan dan tidak menyangka jenayah terbabit boleh menimpa rakan baik saya,” katanya ketika ditemui ketika pelancaran laman web www.malaysiacrime.com, semalam.

Menurutnya, kejadian itu menyedarkannya bahawa jenayah bukan lagi hanya isu kecil yang muncul di dada akhbar malah boleh terjadi kepada orang di sekeliling, keluarga malah diri sendiri.

“Berikutan itu, saya mengambil pendekatan mewujudkan laman web khas yang boleh dijadikan rujukan dan amaran awal kepada orang ramai supaya berhati-hati daripada menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Menurutnya, laman web itu turut bekerja sama dengan Amax yang juga pembekal perkhidmatan Wimax sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu membantu membina masyarakat Malaysia yang lebih aman.

“Kedua-dua pihak kini saling bekerjasama dan mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyalurkan maklumat mengenai statistik jenayah melalui laman web www.malaysiacrime.com dan www.amax.my,” katanya.

Melalui laman web itu, masyarakat satu Malaysia akan menerima maklumat terkini, tepat dan data masa kegiatan jenayah berlaku secara percuma dengan melayari kedua-dua laman web itu.

Sementara itu, Naib Presiden (Operasi dan Pemasaran) Amax Ahmad Shah berkata, syarikat itu akan menggunakan kepakarannya dalam komunikasi bergerak berkelajuan tinggi untuk membantu dan menyokong PDRM melalui kerjasama bersama laman web terbabit serta aktiviti kemasyarakatan.

“Idea berkongsi maklumat mengenai jenayah itu sudah dicadangkan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui kerjasama dengan Koridor Raya Multimedia beberapa minggu lalu dan Hishammuddin memberikan maklum balas yang positif mengenai idea itu,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: