Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 25 November 2009

Parah dibelasah selepas nasihati anak saudara (Ceritera)


KUALA TERENGGANU: Teguran seorang bapa saudara yang sakit mata melihat anak saudara perempuannya bebas bergaul dengan lelaki tidak mampu mengubah tabiat sosial wanita berkenaan apabila dia terus bersikap demikian.

Malah, teguran bapa saudara berusia 35 tahun itu yang mahu melihat wanita berkenaan berubah menerima padah apabila dia menjadi mangsa belasahan empat lelaki termasuk dua yang dipercayai mempunyai hubungan keluarga dengan wanita terbabit, kelmarin.

Tindakan empat lelaki terbabit dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap teguran lelaki itu yang dianggap menjaga tepi kain orang apabila menasihati wanita berkenaan supaya berubah sikap.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang kayu berada di rumahnya di Kampung Gong Kapas di sini, kira-kira jam 7.15 malam.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa yang sedang berehat di rumahnya didatangi empat lelaki dan dua daripada kumpulan lelaki terbabit dikenali mangsa berikutan mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

“Menyedari kehadiran empat lelaki terbabit, mangsa keluar untuk bertemu lelaki berkenaan.

“Sebaik mendapati mangsa keluar, keempat-empat lelaki terbabit terus menyerang mangsa dengan kayu menyebabkan mangsa yang terkejut dengan tindakan pantas kumpulan lelaki terbabit gagal mengelak menyebabkan betis kirinya patah dan luka di tapak kaki kanan,” katanya.

Sumber itu berkata, pergaduhan itu menimbulkan suasana bising menyebabkan kejadian itu disedari jiran yang kemudian datang memberi bantuan sebelum membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 11.50 malam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Harian Metro

Tiada ulasan: