Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 3 November 2009

Dua samseng maut dibelasah





KUALA LUMPUR: Cubaan sekumpulan lapan samseng menyamun seorang lelaki di Pasar Borong Selayang di sini gagal apabila dua daripada mereka maut selepas dibelasah lebih 50 lelaki warga asing bersenjatakan parang, kayu dan pisau yang melihat kejadian itu, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, kumpulan lelaki terbabit yang menaiki dua kereta dipercayai melanggar mangsa yang berusia 37 tahun di tempat kejadian sebelum mereka yang bersenjatakan parang turun dari kereta lalu menyamunnya.

Mereka turut menetak mangsa di bahagian belakang sebelum kejadian itu disedari pekerja warga asing yang masih berada di pasar terbabit.

Bagaimanapun, mangsa sempat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh orang ramai untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, semua suspek tidak menyedari mereka diperhatikan pekerja pasar berkenaan.

“Berang dengan tindakan keterlaluan kumpulan lelaki itu, sekumpulan lebih 50 pekerja pasar berkenaan cuba membantu mangsa sambil membawa parang, pisau dan kayu.

“Melihat kehadiran pekerja berkenaan, semua lelaki terbabit melarikan diri dengan dua kereta,” katanya.

Bagaimanapun, dalam usaha melarikan diri, kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebuah kedai telefon bimbit.

“Beberapa suspek cuba melarikan diri tetapi dua daripadanya gagal lari lalu dibelasah beramai-ramai.

“Seorang daripada lelaki itu maut di tempat kejadian manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Khairi berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata secara berkumpulan.

Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian dan sekumpulan lelaki yang menghulurkan bantuan kepada mangsa samun berkenaan supaya tampil memberi maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

Harian Metro

Tiada ulasan: