Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 3 November 2009

Si cilik betah disengat keli

Oleh Ridzuan Ahmad
am@hmetro.com.my

PENDANG: Usianya baru tujuh tahun, namun kemampuan dan keberanian luar biasa seorang budak lelaki di Kampung Bukit Raya Dalam, di sini, yang mampu berada di dalam kolam dipenuhi ribuan ikan keli berbisa dan menangkap dengan menggunakan tangan cukup menarik perhatian.

Malah, Mohamad Maulidul Sharif Esomuddin tidak pernah serik dan takut untuk menangkap ikan keli terbabit walaupun beberapa kali disengat ikan itu di kolam bapanya, Esomuddin Idris, 42.

Selain mampu memilih gred ikan keli mengikut standard ditetapkan, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raya itu juga mampu menandingi kebolehan orang dewasa yang terbabit dalam kursus penternakan ikan keli dijalankan di kolam itu.

Mohamad Maulidul Sharif berkata, dia mula berminat untuk mengikuti jejak bapanya yang mula menternak ikan keli sejak 15 tahun lalu selepas dia sentiasa mengikuti bapanya ke kolam itu sejak berusia empat tahun.

Katanya, pada mulanya dia tidak berani untuk menangkap ikan keli, namun selepas mendapat tunjuk ajar dari bapanya, dia kini mampu menangkap ikan keli terbabit dengan hanya menggunakan tangan.

“Saya suka bermain ikan keli walaupun ikan ini mempunyai sengat berbisa. Kalau datang ke kolam ini, saya rasa tidak puas jika tidak memegangnya.

“Walaupun beberapa kali disengat ikan keli ini, saya tidak berasa sakit dan takut untuk menangkap ikan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Esomuddin berkata, dia mula melihat keberanian anaknya itu selepas anak bongsunya itu turun ke kolam seorang diri dan menangkap ikan keli berkenaan.

Katanya, ketika mengajar peserta kursus yang hadir di kolam itu, anaknya turut sama mendengar taklimat berkenaan dan turut melakukan aktiviti diajar kepada setiap peserta.

“Saya sendiri kagum dengan kebolehan luar biasa dimiliki anak saya. Ikan keli ini tidak akan bergerak apabila dia menangkapnya. Ramai peserta dewasa yang hadir kursus di sini tidak mampu untuk menandinginya.

“Ketika berusia lima tahun, saya melatihnya berenang dan tempoh singkat dia sudah boleh berenang. Dia cepat belajar dan tidak takut pada cabaran,” katanya yang turut melatih anaknya seni mempertahan diri iaitu tomoi sejak berusia lima tahun.

Esomuddin berkata, Mohamad Maulidul Sharif adalah seorang murid aktif di sekolah dan juga mampu menjadi imam di sekolahnya.

“Untuk memelihara ikan keli ini perlu ada kasih sayang dan anak saya mempunyai sifat berkenaan. Apa yang saya lakukan ini sebagai bekalan untuk dirinya pada masa depan kelak,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: