Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 25 November 2009

‘Saya kecewa’ (Hiburan)


KUALA LUMPUR: “Memang saya kecewa kerana bayaran itu (royalti) tidak sepadan dengan titik peluh saya selama ini,” kata penyanyi terkenal Asmawi Ani atau Mawi yang hanya menerima bayaran royalti RM320 menerusi persembahan awam sepanjang empat tahun bergiat dalam industri hiburan negara.

Mawi, 28, berkata dia tidak pasti jumlah sebenar royalti yang patut diterimanya namun jumlah RM320 memang menyakitkan hati.

“Saya tidak tahu berapa jumlah sebenarnya tetapi difahamkan royalti diberi setahun sekali. Saya hanya terima bayaran itu selepas empat tahun malah (penyanyi) Dayang Nurfaizah turut menerima nasib seperti saya,” katanya yang dihubungi malam tadi.

Menurutnya, perkara itu kini diserahkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk membantu mendapatkan haknya.

“Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan rundingan cara baik. Biarlah hasilnya itu berbaloi dengan penat lelah golongan artis yang sekian lama berkecimpung dalam industri ini,” katanya.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, semalam kecewa dengan tindakan Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) kerana tidak membayar royalti setimpal populariti seseorang artis.

Harian Metro

Rezeki ‘celah gigi’ RM320 hina Mawi

Oleh Hayati Ibrahim

ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Rezeki ‘celah gigi’ RM320 yang dinikmati penyanyi terkenal Mawi atau Asmawi Ani, hasil royalti persembahan awam sepanjang lebih empat tahun bergelumang dalam industri hiburan bagaikan satu penghinaan terhadap penyanyi itu.

Bukan itu saja, bayaran royalti ‘penghinaan’ itu langsung tidak masuk akal jika dibandingkan dengan populariti penyanyi anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor, yang sudah merangkul pelbagai anugerah selain muncul Juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Bayaran diterima pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular selama tiga tahun berturut-turut sejak 2005 juga dianggap tidak munasabah berbanding royalti sehingga RM300,000 setahun mampu diperoleh seorang komposer popular di negara ini.

Pendedahan itu dilakukan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, yang mengakui kecewa dengan tindakan Performers And Artistes Rights (M) Sdn Bhd (Prism) kerana tidak membayar royalti setimpal populariti seseorang artis.

Menurutnya, bayaran yang diberikan Prism amat rendah dan tidak berbaloi, malah ia diberi selepas empat tahun Mawi berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.

“Mawi hanya menerima cek royalti daripada Prism berjumlah RM320 minggu lalu selepas empat tahun menjadi artis dan bagi saya bayaran itu tidak masuk akal langsung berdasarkan kemampuan Mawi sebagai penyanyi yang amat popular dan lagunya diputarkan di merata tempat.

“Apa yang menjadi persoalannya sekarang, mengapa seorang komposer popular boleh memperoleh sehingga RM300,000 setahun tetapi penyanyi paling popular seperti Mawi tidak menikmati jumlah sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe, wakil Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Prism, di sini, semalam.

Prism adalah antara badan dipertanggungjawabkan mengutip royalti lagu artis rakaman yang disiarkan di kawasan awam, pusat karaoke dan kelab malam, sebelum menyerahkan kembali kutipan itu kepada artis berkenaan mengikut sistem pengiraan yang dibuat badan terbabit.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Freddie berkata, Mawi pernah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan jumlah bayaran royalti yang diterima dan mahu tindakan susulan dilakukan pihak berkenaan.

“Sepatutnya dia (Mawi) menerima lebih banyak dari jumlah yang diterima sekarang kerana dia sudah terkenal di seluruh Malaysia dan negara jiran. Lagipun Mawi sudah berdaftar dengan Prism,” katanya.

Sehubungan itu, Freddie berkata, beliau meminta kementerian menjadi ‘orang tengah’ bagi menangani isu pembayaran royalti bagi memastikan setiap artis memperoleh bayaran setimpal dengan populariti mereka.

Sementara itu, Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu, yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata, Prism hanya membayar royalti kepada artis yang mendaftar dan memberi mandat kepada badan berkenaan untuk mengutip royalti bagi pihak mereka.

“Kalau seseorang artis itu tidak memberi hak kepada kita untuk mengutip royalti, kita tidak berhak mewakili mereka untuk membuat kutipan, kita kena mendapat persetujuan daripada artis itu terlebih dahulu dengan mendaftarkan lagu mereka.

“Jika tidak mendaftar, kita tidak boleh memberikan royalti kerana pembayaran hanya dibuat berdasarkan jumlah lagu yang didaftarkan seseorang artis. Kalau artis tidak memberi senarai lagu, kita tidak boleh membuat kutipan,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: