Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 9 November 2009

Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu

oleh Qaiyum

ASPEK DAN TUNTUTAN DIBERI PENEKANAN TINGGI (sumber : Mingguan Malaysia)

PERLEMBAGAAN

i. Mempertahankan hak, keistimewaan dan kedudukan kaum Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan

ii. Menentang segala pindaan yang boleh melemahkan kedaulatan dan kedudukan kaum Melayu dalam Perlembagaan dan perundangan Malaysia.

iii. Menentang segala tafsiran sewenang-wenangnya yang bersifat memilih terhadap fasal-fasal Perlembagaan bagi tujuan kepentingan dan perkauman.

POLITIK

i. Memohon Majlis Raja-Raja Melayu menyempurnakan tugas, tanggungjawab dan obligasi untuk memelihara dan mempertahankan seluruh kedaulatan Melayu.

ii. Menentang tafsiran hak asasi manusia dan proses demokrasi yang mengetepikan kedaulatan Melayu.

iii. Mendesak supaya peruntukan Perlembagaan dan undang-undang tubuh mengenai pentadbiran negara dikekalkan.

iv. Menentang usaha untuk mempolitikkan pentadbiran pihak berkuasa tempatan demi memelihara kesejahteraan seluruh rakyat.

v. Memperjuangkan peranan prinsip kedaulatan Melayu sebagai teras dan ideologi parti-parti politik Melayu dan menolak segala ideologi asing berkenaan Malaysian Malaysia.

vi. Menuntut parti-parti politik Melayu sentiasa memperjuangkan dan membentuk pemikiran strategik dalam mengekalkan ketahanan dan kelangsungan kedaulatan Melayu.

EKONOMI

i. Menuntut pelaksanaan keadilan sosial dan kesaksaman pengagihan kekayaan negara bagi semua warganegara seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

ii. Menuntut dilaksanakan penyusunan semula pemilikan ekonomi bagi mencapai matlamat pembasmian dan penghapusan kegiatan ekonomi berasaskan kaum.

iii. Memperluaskan gerakan Jihad Ekonomi berasaskan dua matlamat besar, pertamanya untuk membentuk pendorong dinamik dan memperkasakan kaum Melayu hingga tercapai sasaran 65% penguasaan dan kedua, menyusun semula sistem ekonomi supaya lebih adil dan saksama.

iv. Membina strategi bagi meluaskan penyertaan pertubuhan korporat Melayu untuk menguasai sistem ekonomi negara dan antarabangsa.

ISLAM

i. Menuntut kawalan berkesan pembinaan rumah ibadat agama lain mengikut prinsip keperluan sebenar saiz komuniti dan lokasi.

ii. Menolak gagasan pluraslisme agama yang bercanggah dengan Perlembagaan negara.

BAHASA MELAYU

i. Menolak usaha sebarang pihak mewujudkan dasar multilingualisme di negara ini.

ii. Menuntut pengekalan Fasal 152 Perlembagaanyang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan.

iii. Memastikan kedudukan bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam pembinaan ilmu dan menggalakkan penterhemahan ke bahasa Melayu dan menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai media pengajaran di semua institusi pengajian tinggi.

iv. Menuntut dasar pengajaran dan peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

v. Menggalakkan penggunaan tulisan jawi sebagai satu daripada bentuk tulisan bahasa Melayu.

PENDIDIKAN

i. Memperkasakan sistem pendidikan kebangsaan sebagai teras sistem pendidikan nasional.

ii. Menuntut pengukuhan penggunaan bahasa kebangsaan dalam sistem Pendidikan Kebangsaan sebagai wahana komunikasi dan keilmuan bagi mencapai matlamat pembinaan bangsa.

iii. Memastikan supaya jurang perbezaan penyampaian pendidikan dihapuskan di seluruh negara.

iv. Mendesak pengajaran ilmu pengetahuan kenegaraan yang berlandaskan Rukun Negara diajar di semua peringkat persekolahan dan pendidikan tinggi.

v. Memastikan semua sistem pendidikan swasta mengutamakan unsur kebangsaan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran mereka.

vi. Mendesak ujian lisan bahasa Melayu di semua peringkat peperiksaan dilaksanakan.

BUDAYA

i. Menuntut Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan citra dan imej kebangsaan dan antarabangsa.

ii. Menerapkan nilai Islam dan budaya kebangsaan sebagai asas amalan mendalam dan bermakna anggota masyarakat Malaysia.

iii. Menolak sekeras-kerasnya gagasan, dasar, dan pelaksanaan ‘multiculturalism’ yang menggunakan tafsiran serong Perlembagaan.

Kongres Permuafakatan Melayu kini masih lagi sedang bersidang bagi menggembleng idea bagi menentukan hala tuju dan kesan masa depan kepada anak Melayu kelak. Kongres ini sangat penting pada tahap kemelut politik Melayu yang berpecah-belah. Malam ini bakal terbitlah resolusi terakhir di atas beberapa aspek dan tuntutan yang disebutkan di atas.

Apa yang dilihat situasi ini adalah disebabkan parti-parti politik yang bertunjangkan Melayu tidak lagi mampu untuk memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu hari ini. Khususnya UMNO. Parti ini dilihat semakin gagal dalam membawa suara orang Melayu yang budayanya, hala tujunya, ekonominya, masa depannya kian kabur. Masalah utama parti politik ini adalah apabila berada di bawah payung Barisan Nasional yang mengamalkan perkongsian kuasa. Lebih² lagi setelah tsunami politik 8 Mac dilihat keupayaan UMNO semakin merudum. Parti² komponen Barisan Nasional semakin berani untuk membuat tuntutan yang pelbagai dan dalam masa yang sama UMNO berusaha untuk memulihkan parti mereka sendiri. Jadi di mana tinggalnya orang Melayu jika keadaan ini berterusan ??

Ahli² Kongres ini pastinya adalah antara pejuang Melayu yang semakin tidak sabar melihatkan nasib bangsa mereka. Lalu gabungan² pertubuhan bukan kerajaan akhirnya bersatu di meja bulat selama dua hari bagi mencari formula untuk mempertahankan nasib bangsa Melayu yang dilihat kini semakin lemah.

Isu² yang Kongres timbulkan sangat saya sokong. Walaupun ada antara agenda yang dibawa mereka dilihat terlalu sukar untuk direalisasikan, tetapi usaha titik permulaan ini adalah sesuatu yang sangat penting pada saya. Antaranya seperti “..menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai media pengajaran di semua institusi pengajian tinggi..” Ini saya lihat adalah tuntutan yang sukar untuk direalisasikan di negara ini. Tetapi jika ada permulaan usaha keras untuk perjuangan ini, InsyaAllah hasil positifnya dapat kita lihat kelak.

Dilihat dari segi ekonomi pula dilaporkan Melayu hanya menguasai ekonomi sebanyak 3% sahaja jika diasingkan dengan syarikat milik kerajaan (GLC). Apabila digabungkan pun hanya 18% sahaja penguasaan ekonomi Melayu. Jika anda sukar untuk menggambarkan keadaan orang Melayu melalui peratusan ini, silalah berkunjung ke Midvalley Megamall ataupun Suria KLCC dan perhatikan keadaan lot² kedai di dalamnya. Dapatkah anda mencari lot kedai yang tuannya adalah orang Melayu ?? Jika ada pun hanyalah sekadar pekerja lot kedai yang bermuka Melayu.

Kongres² seperti ini perlu selalu diadakan oleh pertubuhan² bukan kerajaan (NGO) bagi menjadi tunjang dan ‘think tanker‘ kepada ahli-ahli dan parti-parti politik. Rakyat sendiri perlu mempunyai semangat juang dalam menyelamatkan bangsanya. Kerajaan pastinya tidak mampu untuk melihat situasi dalam aspek yang lebih luas jika tiada respon daripada rakyat sendiri. Semoga ini adalah permulaan bagi suatu yang membanggakan kelak. Doa²kan agar semangat Melayu itu akan kembali menyala-nyala agar anak bangsa kita tidak lupa siapa diri mereka dan apa agama yang mereka pegang..

Allahu’alam..

Tiada ulasan: