Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 3 November 2009

Fahrin hanya sejarah lampau




KEDUA-DUANYA sudah kembali solo, apakah akan muncul semula putik-putik cinta sementelah mereka hanya baru setahun berpisah?

Disebabkan perpisahan Fahrin Ahmad dengan pelakon baru, Scha Al-Yahya yang juga kandas sebelum ke pelamin impian, timbul juga persoalan sama ada Linda yang kini solo berkemungkinan akan kembali ke pangkuan Fahrin? Nampaknya ramai orang telah memberi komen termasuk di forum-forum maya dengan harapan Linda dan Fahrin akan kembali bersama.

Ada peminat yang nampaknya bersetuju benar kalau Linda dan Fahrin kembali terjalin, kemudian disuruh segera ke gerbang perkahwinan supaya tiada lagi perpisahan.

Tidak mahu lagi mengambil tahu mengenai bekas teman tapi mesranya itu, Linda Onn enggan mengulas lanjut saat ditebak dengan persoalan terkini.

Saat hal itu pertama kali diajukan kepada wanita tinggi lampai itu, gelengan kepala Linda jelas menunjukkan bahawa dia tidak mungkin akan berpatah balik dan Fahrin hanya sebahagian dari sejarah masa lalunya.

"Semasa kami bersama, ramai yang bertanya mengapa kami rapat? Macam-macam orang cakap. Apabila kami berpisah pula, orang mula tanya mengapa kami hendak berpisah?

"Kini apabila Fahrin dan Scha berpisah, orang suruh kami kembali bersama. Jadi orang akan terus bercakap walau apa pun yang terjadi.

"Saya tidak boleh memuaskan semua orang dan tidak dapat menghalang mereka daripada terus bercakap," kata Linda sedikit tegas.

Solo lebih baik

Berjaya dalam segala aspek kehidupan, satu-satunya kekosongan yang dirasai adalah ketiadaan lelaki di sampingnya. Bukannya Linda terdesak tetapi dia mengakui bahawa dirinya sudah bersedia untuk berkahwin. Cuma buat masa ini, belum ada calon yang sesuai untuk mengisi ruang hatinya.


LINDA dan Fahrin dikatakan memilih untuk membeli kediaman ini, tetapi perancangan hancur berkecai setelah cinta mereka putus di tengah jalan.

Maka, juruhebah yang pernah berlakon dalam filem Gila Bola ini pasrah menanti siapakah jodoh terbaik yang akan mengisi ruang hidupnya pada masa depan.

"Jodoh tak perlu dicari, ia akan datang sendiri. Buat masa sekarang, saya perlu benar-benar fokus kepada kerja dan bisnes selain menjalani kehidupan seperti biasa, macam wanita lain.

"Saya tidak mempunyai masalah kalau ada lelaki ingin mendekati saya. Sekarang ini, saya tidak kisah untuk berkawan dengan siapa kerana apa yang penting adalah hati budi lelaki itu," tambahnya yang merupakan hos program Ritma Muzik Aktif di saluran Muzik Aktif (Astro 180)," katanya yang mengakui lebih mudah hidup tanpa pasangan bergelar kekasih.

Idola wanita yang mahu berjaya

Kekayaan dan karier yang berjaya, Linda Onn boleh dikatakan menjadi idola kepada kaum wanita kerana dia mengecapi sukses pada usia muda iaitu 32 tahun. Bukan sahaja mencipta nama dalam dunia penyiaran radio, figura tinggi lampai berambut perang ini juga merupakan pengusaha restoran.

Bertugas di radio Sinar FM, apa yang lebih menarik perhatian kini adalah kemewahan Linda sehingga dia mampu memiliki banglo bernilai jutaan ringgit serta memakai kereta mewah.

Aset terbaru Linda itu yang terletak di Bukit Indah, Ampang, Selangor sudah menjadi perbualan ramai walaupun sebelum Linda mendudukinya. Ramai sebenarnya yang tertanya-tanya dari mana Linda memiliki kemewahan sebegitu.

Pertanyaan itu menimbulkan pelbagai khabar angin sehingga menyatakan apa yang dimiliki oleh juruhebah itu adalah tajaan orang kenamaan. Itu tanggapan ramai dan ketika dijemput oleh Linda untuk memeriahkan majlis hari terbuka di banglo barunya, Linda dengan tenang menjawab soalan itu.

"Kemewahan yang saya miliki adalah hasil kerja keras diri sendiri. Bukannya tajaan orang. Seperti apa yang orang nampak, saya ada enam rangkaian restoran.


SAMA seperti Linda, hubungan Scha dan Fahrin juga menemui kegagalan.


"Selain daripada My Mom's Chicken Rice, saya juga membuka medan selera, Asam Pedas. Terbaru saya baru buka cawangan Asam Pedas di Tesco Cheras dan Shah Alam," tegas Linda.

"Saya tidak pernah ditaja seumur hidup saya. Kejayaan perniagaan saya sudah cukup bagi saya untuk memiliki apa yang dikehendaki. Semua ini hasil titik peluh saya," katanya.

Selain keluarga dan saudara-mara, majlis itu juga diserikan dengan artis, warga kerja Sinar FM dan pendengar Sinar FM.

"Saya suka bila ramai orang datang ke rumah. Ketika tinggal di rumah lama juga saya selalu mengadakan rumah terbuka hari raya untuk menjemput kawan-kawan," kata Linda.

Rumah konsep moden

Memilih warna merah dan hitam sebagai tona utama banglo mewahnya, Linda memberitahu ada sebabnya mengapa dia menyukai kedua-dua warna itu. Selain kelihatan menarik, gabungan merah dan hitam dikatakan mampu menaikkan keterujaan.

Baru dua hari menetap di banglo baru itu sebelum mengadakan majlis rumah terbuka hari raya, Linda turut menyatakan rumah itu mempunyai ciri-ciri rumah idamannya semasa kecil. Itu yang menjadi antara sebab mengapa dia tertarik untuk membelinya.

"Semua orang ada rumah idaman sendiri sejak kecil. Apabila melihat rekaan rumah ini, saya terus membeli. Sebenarnya saya tidak berniat langsung untuk rumah sebesar ini. Tapi apabila melihat kemampuan dan mendapat sokongan daripada ibu bapa, saya membelinya.

"Saya berpuas hati dengan rumah ini kerana 100 peratus termasuk rekaan, warna dan perabot adalah pilihan saya sendiri. Saya berani bermain dengan warna untuk bersesuaian dengan konsep moden.


TANPA suami, kehidupan Linda lengkap dengan kasih sayang keluarga besarnya.


"Sebenarnya saya mendapat kunci beberapa bulan yang lalu. Jadi sejak itu saya sudah mula mencari perabot yang sesuai. Saya suka membuat perbandingan harga sebelum membeli barang kerana saya suka berjimat," kata Linda yang merupakan bekas penyampai Radio Era.

Banglo enam bilik ini akan dijadikan rumah persinggahan Linda kerana dia masih lagi menetap di rumah lamanya.

Ditanya sama ada banglo itu dibeli kerana mempunyai perancangan untuk hidup bersama Fahrin seperti diperkatakan banyak pihak, Linda hanya tersenyum, juga tidak mahu berbicara lebih lanjut mengenainya.

"Saya pernah terfikir sama ada hendak menjual, sewa atau tinggal saja di rumah ini. Namun, selepas melihat rekaannya, saya hendak tinggal buat seketika.

"Tengoklah macam mana nanti. Kalau pada masa akan datang, saya ada pasangan dan dia mahu menetap di sini, saya akan ikut katanya," sambung Linda mengenai hartanahnya yang berkeluasan 8,000 kaki persegi itu.

Kosmo!

Tiada ulasan: