Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 21 November 2009

Syak mentua seterika muka anak

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my


KUANTAN: Alasan tidak masuk akal apabila seorang nenek mendakwa cucunya terkena seterika panas di beberapa bahagian badan akibat perbuatan kanak-kanak itu sendiri, sekali gus mengundang curiga menantunya yang juga bapa budak perempuan berusia dua tahun terbabit yang mengesyaki anaknya didera.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, lelaki terbabit yang berada di tempat kerjanya di Indera Mahkota di sini, menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka yang dijaga wanita berusia 49 tahun itu cedera.

Bapa berusia 32 tahun yang juga seorang mekanik bergegas ke rumah ibu mentuanya di Kampung Tengah di sini, bagi mendapatkan kepastian.

Namun, setiba di sana, dia terkejut mendapati kecederaan dialami anak sulungnya itu tidak mungkin akibat perbuatan sendiri kerana kesan melecur terdapat pada muka dan kedua-dua tangan.

Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, anak perempuannya dijaga ibu mentuanya dan mereka tinggal berasingan.

Dia yang dihubungi semalam berkata, anak sulungnya itu baru enam bulan dijaga ibu mentuanya selepas dia menghadapi krisis rumah tangga dengan isterinya yang berusia 30 tahun.

“Saya tak boleh terima alasan anak saya terkena seterika selepas dia bermain dengan alat menggosok pakaian itu seperti didakwa emak mentua.

“Jika benar dia terkena seterika akibat perbuatan sendiri, tak mungkin kecederaan dialaminya membabitkan bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.

“Bukan satu bahagian saja yang kena, tapi banyak bahagian badan lain,” katanya yang tidak puas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Berikutan itu, katanya dia membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian itu.

Menurutnya, ini kejadian pertama menimpa anaknya sejak dijaga wanita berkenaan enam bulan lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.

Katanya, lelaki berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menghantar anaknya untuk pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Polis sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dilakukan.

“Jika benar kanak-kanak itu didera, polis akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: